SEARCH

#RamadanRaya Temui Ejen Ali di Central i-City Mall, Shah Alam

#RamadanRaya Temui Ejen Ali di Central i-City Mall, Shah Alam

Kedatangan Ramadan dan kemeriahan Raya memang sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat di Malaysia.  Bersempena dengan kempen #RamadanRaya’, Primeworks Studios tidak ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan sambutan setahun sekali ini menerusi penganjuran aktiviti lapangan bersama Ejen Ali dan Alif & Sofia di Central i-City, Shah Alam pada 25 dan 26 Mei 2019 ini.

Siri animasi utama dengan usahasama Primeworks Studios dan Wau Animation Sdn Bhd iaitu ‘Ejen Ali’ akan bersama-sama turun padang bagi memeriahkan sambutan #RamadanRaya pada tahun ini. Di waktu yang sama, menerusi acara ini juga Primeworks Studios bakal memperkenalkan satu siri animasi baharu iaitu ‘Alif & Sofia’ kepada peminat animasi tempatan.

“Kami teruja dengan kedatangan #RamadanRaya kali ini kerana buat pertama kalinya Primeworks Studios membawakan gabungan dua siri animasi popular Ejen Ali dan Alif & Sofia lebih dekat ke hati peminat setia rancangan ini. Menerusi inisiatif yang dianjurkan ini diharapkan akan memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi dengan watak-watak siri animasi ini dengan lebih dekat,” ucap Airin Zainul, Pengarah Unit Aset Digital Primeworks Studios.

Majlis pelancaran siri animasi baharu Alif & Sofia juga akan diadakan secara umum bertempat di ruang legar Central i-City Mall, Shah Alam pada hari Sabtu (25 Mei 2019) bermula jam 3 petang.  Pelancaran pada hari tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk kehadiran voice cast (pelakon suara) karakter Alif & Sofia. Turut sama menceriakan keseluruhan acara adalah penampilan Ejen Ali dan Ejen Alicia yang akan memanaskan pentas sebelum acara pelancaran berlangsung.

“Alif & Sofia adalah siri animasi yang menampilkan dua karakter kanak-kanak yang dinamik, membawa penonton mempelajari mengenai asas-asas pembelajaran Islam di saluran YouTube. Kami berharap dengan tercetusnya siri ini penonton dapat menyelami nilai-nilai murni sekaligus memberikan sesuatu yang lebih bermakna di bulan Ramadan ini,” tambah Airin Zainul lagi.

Buat mereka yang terlepas peluang di hari Sabtu, Alif & Sofia sekali lagi akan berjanji temu pada hari Ahad (26hb Mei 2019), dari jam 11 pagi hingga 4 petang di lokasi yang sama. Manakala Ejen Ali akan ‘menyelinap’ ke Melaka, tepatnya di Freeport A’Famosa bermula jam 12 tengahari hingga 9 malam. Pengunjung berpeluang menyertai aktiviti yang disediakan seperti peraduan mewarna serta bergambar bersama maskot karakter kesayangan, Ejen Ali dan Ejen Alicia.

Sambutan #RamadanRaya ini dianjurkan bersempena kempen ‘Setulus Ikhlas’ oleh Media Prima Berhad bagi menimbulkan rasa tulus dan ikhlas dalam mendidik jiwa warga Malaysia, terutama generasi muda.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE