SEARCH

#REVIEW Annabelle: Creation – Kisah Asal Usul Boneka Yang Tidak Terduga, Sangat Mengejutkan Namun Serba Canggung

#REVIEW Annabelle: Creation – Kisah Asal Usul Boneka Yang Tidak Terduga, Sangat Mengejutkan Namun Serba Canggung

David F Sandberg selaku pengarah pandai memainkan emosi penonton untuk filem sekuel kedua boneka seram yang bertajuk Annabelle: Creation ini.

Bila tiba masa atau babak-babak yang senyap dan sepi, penonton seakan tidak boleh menjangka apa yang bakal terjadi. Saya pun beberapa kali tersalah agak. Namun kalau menurut saya, babak-babak yang “mengejutkan” itu biasa-biasa sahaja.

Saya berfikiran begitu kerana sudah tiga tahun berlalu sejak filem “Annabelle” (2014) pertama dikeluarkan dan empat tahun berlalu sejak “The Conjuring” (2013) dilepaskan. Formulanya sama sahaja.

Ada satu babak yang sangat mirip dengan babak-babak tipikal dalam filem hantu Malaysia, yang bagi saya sangat melucukan. Cuba letak pelakon-pelakon Hollywood itu menjadi pelakon Malaysia. Nah, sekarang kamu faham maksud saya. Sebenarnya terlalu banyak babak-babak yang tak perlu dan babak-babak yang kelihatan sedikit canggung.

Misalnya, babak Linda (Lulu Wilson) yang menunggu di depan pintu bilik untuk menembak sang hantu. Lalu hantu itu menangkap bola yang ditembak dan berlari untuk tidur di bawah katil? Untuk apa? Saya kurang mengerti. Yang saya lihat hanya semata-mata bagi mengisi kekosongan dalam transisi jalan cerita.

Babak Janice (Talitha Bateman) yang berkali-kali melanggar perintah memasuki bilik larangan itu juga semacam tidak masuk akal. Ya, saya faham mereka ini anak-anak yatim piatu yang kuat perasaan ingin tahu, tetapi tidaklah sampai “terkena” sekali malah bertambah mahu. Saya kurang pasti apakah ia jalan cerita sebenar atau hanya sekadar akal-akalan si sutradara. Yang pasti perbuatan mereka kurang bijak.

Namun yang saya perasan aliran filem ini berjalan dengan lancar. Dari satu babak ke satu babak diatur sempurna. Oleh sebab itu, saya bilang penonton tidak boleh mengagak bila sang hantu bakal menjelma kerana flow filem ini berjaya membuat penonton terleka.

Naratif filem pula berjalan secara terbalik dan bagi saya sangat kreatif. Pengakhiran filem ini adalah permulaan bagi filem “Annabelle” (2014). Saya kagum melihat transisi yang berjalan begitu lancar ini.

Apakah trend ini akan digunakan semula untuk filem sekual seterusnya? Boleh jadi nanti kita melihat pula kisah nenek moyang Annabelle? Buat masa sekarang, “Annabelle: Creation” berlatarbelakangkan era 1940-an di Amerika Syarikat. Ia tentang asal muasal boneka seram yang bernama Annabelle ini.

Kisah pasangan Mullins – Samuel Mullins (Anthony LaPaglia), seorang tukang boneka bersama isteri, Esther Mullins (Miranda Otto), yang kehilangan satu-satunya anak perempuan mereka, Annabelle “Bee” Mullins (Samara Lee) dalam kemalangan kereta yang mengharukan.

Setelah 12 tahun berjalan mereka redha dengan kehendak Ilahi dan menjemput sekumpulan anak-anak yatim (kebetulan kesemuanya terdiri daripada anak-anak gadis) bersama seorang biarawati, Sister Charlotte (Stephanie Sigman) untuk tinggal bersama bagi mengisi kekosongan yang melanda keluarga mereka sejak insiden berdarah itu.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE