SEARCH

#Review Anne Marie Live In Kuala Lumpur – Peminat Histeria?!?!?

#Review Anne Marie Live In Kuala Lumpur – Peminat Histeria?!?!?

#AnneMarieLiveinKL yang berlangsung pada malam Isnin minggu lalu mendapat sambutan baik peminat muziknya di sini sehingga ada yang sanggup beratur dari awal pagi demi memastikan mereka dapat ruang berdiri paling hadapan sekali untuk melihat penyanyi kesayangan mereka dengan lebih dekat dan jelas. Konsert yang bermula sekitar jam sembilan malam itu dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Amir Hassan, Layla Sania dan Bunga yang bergandingan menyampaikan lagu ‘These Days’ nyanyian asal Rudimental serta Jess Glyne.

Anne Marie

Kemudian pentas KL Live dihangatkan lagi dengan kemunculan Andi Bernadee yang sempat menyampaikan dua lagu popularnya, ‘Satu peluang’ dan ‘Donde’ khas untuk menaikkan semangat peminat Anne Marie yang sabar menunggu dan beratur panjang sebelumnya. Suasana ternyata sangat meriah, orang ramai bagaikan berada di konsert Andi buat seketika. Saya harus puji showmanship Andi yang sangat bertenaga sehingga berjaya ‘menghidupkan’ lagi suasana.

Anne Marie

Tak lama selepas itu terdengar jeritan lantang “Apa khabar?!” Anne Marie naik ke pentas diikuti dengan sorakan gemuruh dari seluruh KL Live, penyanyi berusia 28 tahun itu senantiasa tersenyum dan melambai girang ke seluruh pelosok dewan membuatkan peminatnya menjerit tidak henti bagaikan terkena histeria. ‘Ciao Adios’ menjadi lagu pertama yang didendangkan sebelum diikuti dengan ‘Cry’ serta ‘Do It Right’.

Anne Marie

Suasana terus digamatkan dengan ‘Bad Girlfriend’ yang berjaya membuatkan semua di situ melompat sekali mengikut rentak lagu, dari kanak-kanak sehinggalah mereka yang sudah di pertengahan usia saya lihat semuanya turut serta menyanyi sakan. Energy yang sama dapat dirasakan ketika ‘Alarm’ disampaikan, lagi-lagi pada bahagian korus “There goes the alarm” bergaung kuat tanda kesemua mereka enjoying themselves singing along to Anne Marie.

Sebagai seorang yang versatil Anne Marie kemudiannya terus menyanyikan ‘Heavy’ diikuti dengan ‘Perfect To Me’ yang dikenali sebagai ‘self-love anthem’ di kalangan peminatnya. Dia juga sempat mengingatkan peminat pada malam itu bahawa penting untuk setiap daripada kita mencintai diri kita sendiri apa adanya dan tak perlu cuba untuk menjadi orang lain. Berbekalkan semangat keyakinan dan cintakan diri sendiri yang sedang membara, dia meneruskan konsert dengan ‘Can I Get Your Number?’ sebelum menyampaikan ‘Let Me Live’ salah satu lagu kolaborasi terbaiknya bersama Rudimental dan Major Lazer.

Anne Marie

Anne Marie sepertinya sangat menghargai setiap seorang daripada peminatnya yang hadir ke konsert sulungnya di Malaysia ini. Dia tidak henti-henti melambai dan tersenyum meskipun konsert sudah semakin menuju ke penghujungnya. Sekali-sekala dia akan berinteraksi bersama peminat, antara yang paling saya ingati adalah kegigihannya yang cuba untuk berbahasa Malaysia. Katanya “aku cinta padamu” dan “saya suka makanan Malaysia” malah dia mengakui bahawa dia ingin untuk menetap di Malaysia kerana makanan dan orang-orangnya.

Dia yang ramah, juga sempat dihadiakan dengan karikatur lukisan wajahnya dan jersi Malaysia oleh peminat-peminat yang tidak pernah lelah menyokong karier seni wanita kelahiran Essex, England itu.

Bahang konsert kian terasa saat diteruskan dengan ‘Trigger’, ‘Don’t Leave Me Alone’ dan juga lagu berentak balada “Then”. Kemerduan suara Anne Marie jelas lebih terselah melalui lagu ini. Boleh saya katakan suaranya langsung tiada beza seperti dalam rakaman, sangat lunak dan mengusik jiwa. Bahkan ada ketikanya saya rasa seperti nyanyian secara langsungnya pada saat itu lebih merdu berbanding rakaman.

Anne Marie

Orang ramai semakin sakan menyanyi bersama di kala lagu ‘Rockabye’ dan ‘2002’ dinyanyikan. Sepertinya tiada seorang pun di antara kira-kira 1200 orang yang hadir pada malam itu tidak turut sama bernyanyi atau bersiul mengikut rentak dua lagu popular yang biasa menghiasi corong-corong radio tempatan hampir setiap hari sebelum ini. Suasananya memang gamat sekali!

Seketika kemudian Anne Marie kelihatan berlari ke belakang pentas untuk menukar bajunya kepada jersi Malaysia tanda dia menghargai pemberian peminatnya itu. Dia mengakhiri #AnneMarieLiveInKL dengan lagu hasil kolaborasi bersama DJ dan produser terkenal Marshmello iaitu ‘FRIENDS’.

Anne Marie

Anne Marie

Kredit Gambar : @CHRISCHEW dan MORETHANGOODHOOKS

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE