SEARCH

#REVIEW Bird Box – Bukti Wanita Punyai Naluri Survivor Yang Kuat

#REVIEW Bird Box – Bukti Wanita Punyai Naluri Survivor Yang Kuat

Bird Box bermula dengan kisah Malorie (Sandra Bullock) yang sarat mengandung, terperangkap pula di dalam rumah bersama beberapa orang yang terselamat daripada ‘melihat’ makhluk misteri yang apabila kamu melihat kamu akan bertindak membunuh diri. Lima tahun kemudian, Malorie kini bersama dua anak kecil nekad membalut mata dan menempuh perjalanan melewati sungai yang merbahaya untuk sampai ke kawasan perlindungan yang selamat untuk didiami manusia.

Itu adalah plot ringkas yang boleh saya ringkaskan, seringkas-ringkasnya untuk kamu faham jalan cerita filem keluaran Netflix yang tular ini. Mungkin untuk memberi kamu gambaran lanjut, ‘Bird Box’ sama seperti ‘A Quiet Place’, bezanya kamu tidak boleh melihat makhluk misteri itu, sedangkan di ‘A Quiet Place’ kamu tidak boleh bercakap atau membuat sebarang bunyi langsung di hadapan raksasa ganas tersebut. Oh satu lagi perbezaannya adalah makhluk misteri di dalam ‘Bird Box’ tidak kelihatan dengan mata kasar berbanding raksasa di dalam ‘A Quiet Place’ yang boleh dilihat dengan mata bogel.

Review Bird Box by STAIL.MY 1

Susanne Bier selaku pengarah mempersembahkan ‘Bird Box’ dalam naratif gelap dengan teknik imbas kembali tentang kisah kelangsungan hidup manusia di akhir zaman. Ia adalah filem adaptasi novel nukilan Josh Malerman dengan judul yang sama dan diterbitkan pada 2014.

Cerita bermula dengan Malorie sebagai watak pelukis wanita yang sedang sarat mengandung, tidak peduli tentang kandungannya dan tidak mahu anak (pada mulanya). Ditekan oleh kakaknya Jessica (Sarah Paulson), untuk memeriksa kandungan di sebuah hospital tempatan, kedua-duanya terperangkap di satu suasana haru-biru apabila orang-orang di sekitar mereka mula bertindak di luar kawalan dan mula membunuh diri setelah ‘terlihat’ makhluk misteri yang dicanangkan tadi.

Review Bird Box by STAIL.MY 2

Nasib tidak menyebelahi kakaknya apabila dia turut terlihat makhluk tersebut dan bertindak membawa kereta sehingga menyebabkan mereka kemalangan. Secara spontan, Jessica tiba-tiba membunuh diri (di hadapan mata adiknya Malorie) walaupun kedua-dua mereka selamat dari kemalangan tersebut. Malorie akhirnya diselamatkan oleh Tom (Trevante Rhodes) dan terpaksa berlindung di sebuah rumah rawak bersama beberapa orang asing termasuk si pemabuk yang panas baran, Douglas (John Malkovich), polis wanita yang penting diri, Lucy (Rosa Salazar), badboy Felix (Machine Gun Kelly), pekerja pasaraya, Charlie (Lil Rel Howery) dan beberapa orang lagi.

Review Bird Box by STAIL.MY 3
Bird Box: Sandra Bullock Sebagai Simbol Wanita Yang Kuat Naluri Survivor

Mungkin ini mesej utama yang ingin disampaikan di dalam Bird Box. Sekuat mana otot kamu atau sepintar mana pun otak kamu, kamu tidak boleh melawan kuatnya naluri seorang ibu. Apa lagi di masa akhir zaman ini. Jalan cerita sedikit perlahan, namun diselamatkan Sandra Bullock berkat lakonan hebatnya.

Dia bersinar sebagai wanita kuat yang bergantung pada naluri kelangsungan hidupnya tanpa menghilangkan sifat-sifat manusiawi di dalam diri. Sandra Bullock seperti ibu singa di dalam filem ini. Wanita kasar dan pintar, namun sebenarnya baik hati. Sama seperti wanita-wanita di luar sana, watak yang dibawa sangat keras, tetapi jauh di sudut hati dia adalah seorang ibu yang penyayang.

Review Bird Box by STAIL.MY 4

Sejujurnya bagi saya, jalan cerita ‘Bird Box’ ini tidak masuk akal. Akan tetapi apa lagi yang tidak masuk akal selain membunuh diri setelah melihat makhluk misteri, bukan? Namanya sahaja filem fiksyen, filem ini kamu perlu melihat dengan lapang dada. Just enjoy the movie.

Review Bird Box by STAIL.MY 5

Namun terdapat beberapa persoalan yang bermain di fikiran saya sepanjang menonton Bird Box ini yang harus saya ketengahkan. Pertama, kenapa makhluk misteri yang super ganas ini tidak mampu memasuki rumah dengan sendiri? Kenapa ada kehadiran orang-orang jahat yang tidak terkesan apabila melihat makhluk misteri ini? Dan sepanjang Malorie bercucuk tanam dengan Tom di kawasan luar halaman rumah perlindungan sementara mereka, apakah mereka tidak pernah terserempak dengan makhluk misteri ini, barang sekali?

Saya faham orang gila (yang di sungai) atau manusia mental seperti Gary (Tom Hollander) dan kawan penagih dadah Charlie yang terperangkap di bilik stor di pasaraya itu tidak terkesan kerana mereka kurang siuman. Watak Gary sangat mengelirukan tetapi sekurang-kurangnya kita boleh faham yang dia sebenarnya manusia psiko yang nampak normal (yang ramai pun wujud di kalangan kita tanpa kita sedari), tetapi apabila datang sekumpulan orang jahat yang lengkap dengan senjata api, saya jadi penasaran.

Dari mana mereka datang dan apa sebab mereka sepakat ingin membunuh orang-orang normal yang terselamat, masih tergantung dan menjadi tanda-tanya. Mungkinkah terdapat sambungan untuk filem kedua? Saya kurang pasti.

Yang pasti, Bird Box masih mampu membuat kamu meremang bulu roma melihat aksi bunuh diri yang brutal dan beberapa babak yang mencengkam perasaan, terima kasih kepada lakonan membekas Sandra Bullock dan konsep filem gelap yang dibawa oleh Bier.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE