SEARCH

#REVIEW ‘Chinta’ – Monoloque ft NJWA: Mengangkat Martabat Gamelan & Hikayat Rakyat

#REVIEW ‘Chinta’ – Monoloque ft NJWA: Mengangkat Martabat Gamelan & Hikayat Rakyat

review Chinta Monoloque ft NJWA muzik video by STAIL.MY gamelan melayu 1Chinta adalah nukilan pertama daripada album “Lagu Perang” (Bunyi-Bunyian Gamelan Malaysia Abad ke-21) yang pada hari ini sudah pun dimainkan secara visual di alam maya yakni Youtube dalam bentuk muzik video berunsur filem pendek.

Rangka dan corak hikayat dengan sentuhan moden ini juga adalah adaptasi daripada cerita rakyat “Mahsuri” yang semakin dilupakan kerana peredaran zaman.

Uniknya, monoloQue mengujikaji pula suatu percanggahan di mana hikayat moden ini dihembus dalam bentuk stop-motion.

Semua boneka ini hidup melalui tangan kreatif insan seni yang bernama Zyin. Meskipun berada di zaman yang serba maju dan canggih teknologinya, Zyin pandai menghias dan mengenakan busana Melayu purbakala ke atas boneka-boneka ini dan memainkannya pula dalam gerak-geri stop-motion yang renyah.

Ia persilangan yang dianggap sebagai jambatan yang menghubungkan seni zaman silam dan tradisional dalam bentuk masakini yang berbeza. Lain daripada yang lain. Di mana lagi kamu pernah melihat wayang boneka tetapi dalam persembahan stop-motion bukan?

Sejajar dengan nama album itu sendiri, ‘Chinta’ dimainkan dengan bunyi-bunyian gamelan sebagai instrumen utama yang menemani Orkes Gamelan DiRaja Pahang.

Saya melihat ia sebagai satu inisiatif yang membanggakan. Paling tidak monoloQue berani menerapkan instrumen muzik tradisional kita di medan muzik abad ke-21 ini. Usaha ini mengembalikan ingatan kita kepada kesenian lampau yang pernah memenuhi ruang-ruang Istana Kesultanan Pahang yang bersejarah.

review Chinta Monoloque ft NJWA muzik video by STAIL.MY gamelan melayu 2

Bintang utama ‘Chinta’ adalah gamelan itu sendiri.

Lagi pula pembawaan kisah Mahsuri yang jika kita tidak war-warkan kepada generasi milenial, akan rakus ditelan dek zaman. Namun terdapat sedikit pintalan yang terdapat di dalam filem pendek ini, yang saya kira harus diberikan perhatian supaya kisah asalnya tidak disalah anggap oleh generasi muda.

Seperti yang dibilang loQue di sidang bersama media tempohari, bintang utama ‘Chinta’ adalah gamelan itu sendiri. Bukan Dang Merdu, bukan Long Pungguk mahupun Sultan. Gamelan adalah warisan Melayu kita yang tiada galang ganti. Saya faham kenapa loQue bilang begitu kerana cinta itu bukan sekadar mencakup cinta kepada sang pencipta atau cinta sesama manusia (dan segala isi alam), tetapi cinta itu juga boleh dizahirkan dalam bentuk budaya.

Menurut loQue, “Muzik video ‘Chinta’ adalah cita-cita saya untuk membawa kesedaran Gamelan Melayu supaya ia relevan di mata masyarat Malaysia. Baik dari segi penceritaan, seni animasi dan paling penting seni bunyi di abad ke-21 ini. Stop-motion ialah medium animasi yang sangat leceh pembikinannya tetapi hasilnya sangat memuaskan hati. Apatah lagi ia menceritakan sebuah cerita rakyat yang sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Sayang seribu kali sayang, cerita-cerita rakyat ini semakin ditelan globalisasi. Jadi menjadi naluri semula jadi kami semua yang terlibat dalam pembikinan dan penerbitan filem pendek ini untuk mengadaptasi dan menurunkan ia melalui medium yang diharapkan lebih senang untuk generasi milenial memahami, menghargai, diserap dan diterap oleh acak cucu cicit kita sampai ke generasi seterusnya, insya-Allah,” ucapnya tak berhenti kalimah.

Paling istimewa, amanat untuk membawa ‘suara’ kepada Chinta, dialun gemersik oleh NJWA sebagai pelengkap wadah. Saya kira NJWA adalah pilihan paling tepat kerana ciri-ciri nyayiannya serta pembawaan lagu-lagu dia sebelum ini yang amat bersesuaian. Seolah-olah lagu ‘Chinta’ ini dikarang khas buat NJWA

review Chinta Monoloque ft NJWA muzik video by STAIL.MY gamelan melayu 3

Sebelum menutup kalam, seperti Long Pungguk yang cintakan Dang Merdu yang mati teraniaya, seperti itulah cintanya loQue terhadap budaya.

Gamelan Melayu itu bukan sekadar membangkitkan kenangan dan kebanggaan, ia erti jati diri dan kebijakan seni klasik yang saya harapkan akan terus kekar subur di persada muzik serta mampu menghiburkan kita pada hari ini, esok dan sampai bila-bila.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE