SEARCH

#REVIEW DUKUN – Seni Sastera & Lagu Tema Yang Merinding

#REVIEW DUKUN – Seni Sastera & Lagu Tema Yang Merinding

DUKUN yang 12 tahun ditahan tarikh penayangannya, akhirnya diterbitkan juga ke panggung wayang Malaysia. Filem pertama arahan sutradara Dain Said ini pandai memanipulasi perspektif dan mainan perasaan penonton.

REVIEW DUKUN by STAIL.MY 1

Pertama, seperti filem-filem arahan Dain Said yang lain – misalnya ‘Bunohan’ dan ‘Interchange‘ – ‘DUKUN’ dibawa dengan begitu baik sekali. Sukar untuk percaya filem ini dibikin pada 2006. Sinematografi ‘DUKUN’ sangat cantik dan melangkaui zamannya.

Pelakon-pelakon yang membintangi ‘DUKUN’ juga bukan calang-calang. ‘DUKUN’ dibintangi oleh barisan pelakon kelas A seperti Umie Aida, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nam Ron dan Adlin Aman Ramlie serta dibantu oleh Elyana, Soffi Jikan dan Chew Kin Wah. Faktor ini juga sedikit sebanyak mempengaruhi kelancaran filem ‘DUKUN’ yang begitu real cara lakonannya. Mereka tidak nampak terlalu berlakon.

Selain itu, faktor nostalgia juga membuatkan ‘DUKUN’ sangat menarik untuk ditonton. Jalan cerita yang sedikit sebanyak dicedok dari peristiwa besar negara dan mendapat inspirasi dari kisah benar “Mona Fandey”, boleh dikatakan satu formulasi yang bagus. Walaupun jalan cerita ‘DUKUN’ diubah dan tidaklah mengikut 100% kisah salah satu pembunuhan profil tinggi negara itu, penonton dapat kaitkan dengannya.

REVIEW DUKUN by STAIL.MY 2

Ia tentang kisah perbicaraan Diana Dahlan (Umie Aida), wanita pengamal ilmu hitam yang disyaki membunuh ahli perniagaan, Datuk Jefri (dimainkan oleh Adlin Aman Ramlie) dengan cara yang sungguh kejam sekali. Khabar angin tentang peristiwa yang luar biasa ini akhirnya menggamit perhatian khalayak ramai untuk mengikuti perkembangan kes pembunuhan yang jarang berlaku ini.

Diana Dahlan dikatakan membunuh untuk kepentingan ritual dan kesaktiannya sebagai dukun wanita tunggal yang berasal dari susur jalur kaum Batak di Sumatera, Indonesia. Satu yang saya perasan dan perhatikan, setiap filem arahan Dain Said, mesti menyelit unsur-unsur budaya ke dalam filem-filemnya. Contohnya, ‘Bunohan’ dengan budaya Kelantan dan ‘Interchange’ yang pekat dengan budaya Sarawak.

REVIEW DUKUN by STAIL.MY 3

Perician-perician terperinci seperti inilah yang membuatkan filem arahan Dain Said sangat menonjol dan unik dari filem-filem Melayu yang lain.

Bercakap soal filem Melayu, satu tabik boleh diberikan kepada Huzir Sulaiman selaku penulis skrip dan lakon layar ‘DUKUN’.

Bahasa sastera yang digunakan untuk DUKUN, berat namun mudah difahami dan punya lenggok seni yang tersendiri.

REVIEW DUKUN by STAIL.MY 4

Perasaan seperti menonton filem tahun 90’an. Bahasanya bersahaja, berhumor gelap, satira politik dengan sedikit selingan jenaka dan sentuhan surealis.

Huzir Sulaiman pandai menyulam bahasa-bahasa sastera yang berat dengan ringkas dan tidak kedengaran terlalu kekok diucapkan sepanjang filem berlangsung.

Ditambah pula dengan lagu tema dan runut bunyi filem yang merinding. Secara keseluruhannya, DUKUN pantas ditonton di pawagam berhampiran kamu.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE