SEARCH

#REVIEW Pengalaman Menonton Sejarah Melaka Di Encore Melaka Yang Sangat #InSTAILgramworthy

#REVIEW Pengalaman Menonton Sejarah Melaka Di Encore Melaka Yang Sangat #InSTAILgramworthy

Saya, Ardi bersama Ryan dan tukang video kami, Darius Chu bergegas dari The Majestic Hotel tepat jam 6 petang ke Impression City @ Kota Syahbandar, Melaka bagi menyaksikan teater sejarah dan budaya Melaka bertaraf dunia di Encore Melaka sebagai salah satu lokasi wajib kamu pergi untuk #inSTAILgramworthy 2018.

Untungnya saya mengenali jalan ini kerana pernah kuliah di Melaka selama tiga tahun di UiTM Alor Gajah, jadi saya tahu jalan pintas untuk lekas sampai ke tanah tambak terbesar di negeri Melaka ini.

Dari jauh sudah nampak kelibat bangunan teater yang gah berdiri di hadapan Selat Melaka. Bangunan putih porselin itu disimbahi warna biru malam itu. Seolah-olah kiub ais yang terapung bebas di laut lepas, mencari parkir memang perkara mudah kerana bangunan parkir tersedia untuk pengunjung, dibina betul-betul bersebelahan Encore Melaka.

Kami pun bergegas ke pintu masuk dan disambut baik oleh pegawai perhubungan Encore Melaka di hadapan gerbang masuk dengan senyuman. Setelah bersalam-salaman dan berbual kecil, kami diberikan tiket VVIP untuk memasuki teater yang serba eksklusif ini. Perasaan kagum melihat bangunan ini yang dibina menepati standard antarabangsa.

Sedikit trivia, bangunan Encore Melaka ini direka oleh Wang Ge dari Institut Reka Bentuk Seni Bina Beijing, China dan merangkumi kawasan seluas 15 hektar tanah yang berhadapan pemandangan Selat Melaka. Struktur bangunan berkonsep moden dan menggunakan porselin putih dan biru sebagai hiasan luaran serta kehadiran kanopi organik, yang terbentang dari pintu masuk menuju ke ruang legar utama.

Seperti biasa, kami diberhentikan pekerja di bahagian hadapan bagi memeriksa tiket sebelum masuk. Bezanya, kami tidak perlu mengikuti laluan biasa seperti pengunjung yang lain berkat tiket VVIP yang diperolehi. Lihat harga tiket di SINI.

review Encore Melaka #instailgramworthy 1

Ruang masuk berbentuk kubah dengan lampu biru menyinari segenap ruang. Sebelum sampai ke kerusi masing-masing, kami diberhentikan pekerja bahagian tengah yang sedia menangkap foto kumpulan. Nah di sini saya jadi kagum lagi melihat set pentas lengkap haudralik bertingkat dengan pencahayaan dan teknik akustik yang mencengangkan.

Ruang penonton berada di tengah-tengah isi perut teater, berhadapan pentas melengkung itu tadi. Ia pentas teater terbesar di Asia yang boleh menempatkan lebih 2,000 penonton dalam satu sesi pementasan, di atas platform unik yang boleh berputar 360 darjah. Teater pun bermula dengan projeksi video tentang sejarah awal Melaka yang mengagumkan.

Penampakan sosok Parameswara yang sedang memburu kancil di bawah pohon Melaka. Projeksi video yang inovatif berjaya menangkap perhatian saya dan semua penonton. Seperti lakaran hidup, Parameswara melihat kekuatan mamalia kecil ini menendang anjing sehingga berjaya menyelamatkan diri. Semuanya dipentaskan dalam ilustrasi yang kreatif.

review Encore Melaka #instailgramworthy 2

Dari awal hingga akhir kostum-kostum dan busana tradisional yang dikenakan pemain-pemain teater sangat cocok buat masanya. Peralihan demi peralihan zaman dipersembahkan, dengan evolusi dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah migrasi awal masyarakat Tiong Hua dari Tanah Besar China ke empayar Melaka.

Babak kedatangan mereka diinterpretasikan dalam bentuk pemain gendang Cina yang ramai, sambil diselang-seli dengan dialog tentang penghijrahan serta ikrar taat setia akan langit dijunjung dan tanah baru yang dipijak.

Babak seterusnya disalin dengan kehadiran masyarakat Peranakan atau Baba Nyonya yang masuk ke pentas secara penuh gemalai. Kebaya nyonya yang berwarna-warni memenuhi pentas. Tidak lupa juga kehadiran ras-ras awal di Melaka yang lain, seperti masyarakat Chetti dan Portugis, disamping peribumi Melayu menari-nari riang.

A post shared by STAIL.MY (@stail.my) on

Encore Melaka bukan teater tentang peperangan, malah jauh sekali tentang kesengsaraan. Persembahan teater ini diarahkan oleh Wang Chaoge, pengarah seni yang sama bertanggungjawab membuka Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008 yang lalu.

review Encore Melaka #instailgramworthy 3

Bayangkan kehalusan dan ketertiban persembahan di upacara pembukaan itu? Ya, kami tidak sudah-sudah dihidangkan dengan persembahan teater di encore melaka yang bertaraf dunia.

Cuma ada beberapa khilaf yang saya lihat berlangsung sepanjang pementasan teater ini. Jalan cerita di babak budaya memang tidak boleh dinafikan kehebatannya, namun saya kira babak-babak tambahan tidak perlu diadakan. Pada hemat saya, ia sedikit meleret. Babak-babak sketsa yang mengemaskan. Ia sedikit sebanyak menambah jurang masa yang akhirnya bikin penonton agak kebosanan.

Satu perkara lagi, penggunaan tiga alih bahasa (Melayu, Inggeris dan Mandarin) saya kira tidak perlu. Persembahan dialog jadi sedikit bercelaru dengan ketiga-tiga bahasa ini berjalan serentak. Sampai ada babak yang saya hilang langsung akan pengetahuan jalan ceritanya akibat dialog yang terlalu banyak dan berulang-ulang dalam tiga bahasa itu tadi. Cukup kiranya, Wang Chaoge gunakan satu wadah bahasa sahaja, misalnya wacana Bahasa Melayu secara lisan, Inggeris dan Mandarin pula secara tulisan.

Maksud saya, sediakan sari kata untuk pengunjung dan pelancong asing memahami isi cerita. Tidak perlulah wahana sampai tiga bahasa. Yang membuat saya resah tiap kali ada sesi dialog di atas panggung pementasan. Dan penting untuk pihak Encore Melaka merombak semula Bahasa Melayu yang digunakan. Terdapat beberapa kesalahan tatabahasa yang begitu jelas. Asal kamu tahu, bahasa teater tidak sama dengan bahasa kolokial dan jauh sekali dengan bahasa formal. Ada garisan halus yang memisahkan.

Saya rasa itu sahaja kekurangan pada pementasan Encore Melaka. Yang boleh pula diperbaiki untuk masa mendatang. Pada akhirnya, Encore Melaka dipentaskan dengan pelbagai lagu dan tarian yang menarik, pementasan ini adalah kompilasi cerita budaya yang mencerminkan masyarakat majmuk di negeri Melaka.

Kisah-kisah pembentukan, pelayaran awal, penghijrahan, asimilasi masyarakat, interaksi dan pertembungan kaum yang berbilang. Ia meraikan kepelbagaian dan keberagaman yang menzahirkan keharmonian yang wujud di negeri sang kancil ini sejak turun-temurun, dari zaman dahulu sehingga sekarang.

review Encore Melaka #instailgramworthy 4

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE