SEARCH

#REVIEW JOKER Adalah Orang Baik Yang Tersakiti

#REVIEW JOKER Adalah Orang Baik Yang Tersakiti

Arthur Fleck (Joaquin Phoenix) adalah badut yang mengalami masalah mental. Ketika dia hanya mencuba untuk mengharungi kehidupan jerih perit di Gotham, serangkaian peristiwa ganas bakal mencetus pemberontakan sivil sehingga terlahirlah JOKER.

JOKER REVIEW Orang Jahat Adalah Orang Baik Yang Tersakiti

Filem: Joker (2019)
Sutradara: Todd Phillips
Pemeran: Joaquin Phoenix
Verdik: 9/10

 

Bandaraya Gotham. Si kaya semakin kaya dan si miskin semakin papa. Permulaan filem dimulakan dengan mogok tukang sampah, tikus mega bermaharajalela di timbunan limbah dan sarap. Pemandangan bandar tidak ubah seperti setinggan. Dan Arthur Fleck (Joaquin Phoenix) ialah badut kesepian yang menyimpan cita-cita menjadi pelawak terkenal, duduk berhadapan cermin, perlahan-lahan menyolek wajahnya. Dia cuba untuk tersenyum. Memaksa jari menarik dari bucu ke bucu mulut hampir ke telinga. Setitis air mata jatuh memukul pipi, seraya merosakkan solekannya tadi. Bermulalah Joker. Tiada sebarang kostum atau kesan khas CGI. Hanya sosok seorang lelaki. Badut yang sedang kesedihan.

Joaquin Phoenix JOKER

“I just hope my death makes more cents than my life” – Arthur Fleck (Joker)

 

Arthur adalah mangsa kehidupan. Dia digelar orang aneh. Walau bagi seorang badut. Dia sering dipukul, diejek dan didera. Rasa darah sangat akrab di dalam mulutnya. Dia bukan setakat seorang penyendiri, malah tak dapat langsung ikut serta dan berasa terlibat dengan masyarakat. Mengharungi kehidupan sehari-hari seakan melangkah ke spektrum mustahil. Meski untuk sebuah bandar rosak seperti Gotham (yang seharusnya dia berasa terkait). Dia berdiri di luar dunia. Menjerit ketawa dalam keadaan tegang, matanya pekat dengan kesakitan dan membias kesedihan. Orang seperti Arthur tiada tempat dalam masyarakat. Baik golongan miskin, apa lagi golongan kaya.

 

“I used to think that my life was a tragedy. But now I realize, it’s a f*cking comedy” – Arthur Fleck (Joker)

 

“Aku tak mahu merasa jelek lagi,” bisik Arthur, yang juga dalam pantauan ahli psikologi (seterusnya dihentikan perkhidmatan dek kekangan belanjawan kerajaan). Dia tak lagi berada dalam pengaruh tujuh jenis pil yang terpaksa ditelan sepanjang hidupnya. Sistem ini tiada lagi masa untuk peduli rakyat marhaen yang tiada kepentingan seperti Arthur. Ia salah satu penyumbang kepada permulaan dia berubah menjadi Joker. Permulaan cerita. Satu-satunya babak yang dekat dengan jalan cerita asal di Semesta Sinema DC.

 

JOKER QUOTES

“The worst part of having a mental illness is people expect you to behave as if you don’t” – Arthur Fleck (Joker)

 

Ini boleh dilihat, khususnya dalam iklim isu-isu masalah mental saat ini, dipandang sebagai ratapan bagi orang-orang yang terabaikan. Joker memberi jawapan mudah. Ia penelitian yang menyedihkan, kacau dan huru-hara. Perlahan membakar semangat seseorang yang tidak pernah dianggap wujud seperti Joker. Namun perasaan empati, bahkan simpati sekarang tidak berguna lagi. Kerana Arthur sudah berada di hujung tanduk. Sedia untuk bertindak dan membinasa. Inilah kita tidak boleh lupa, kisah bagaimana Joker bermula. Tetapi apa yang sutradara Todd Phillips dan penulis Scott Silver mahukan adalah watak Joker sebagai perkembangan karakter. Apa yang mereka mahu suntik dalam filem ini adalah isu-isu berkaitan penyakit mental, moral dan emosi serta penampilan solekan ikonik, lelaki yang akhirnya menjadi Joker.


Joker the sad clown
Todd Philips merubah keseluruhan jalan cerita asal komik. Tiada lagi Joker yang jatuh ke tangki penuh asid.

Lakonan Joaquin Phoenix sebagai Arthur/Joker sangat membekas. Phillips percaya dengan kebolehan berlakon Joaquin di layar perak semasa dia menulis skrip, ternyata berbaloi. Phoenix menghidupi Arthur. Dia sanggup berhabis berat demi menjayakan watak yang memiliki sosok tubuh kurus kerempeng dan anggota yang kering bangsai. Sentiasa lapar namun tiada selera. Bayangan jelas terlihat di sebalik kerangka pipi yang mencengkung. Tulang-temulang selangka tajam mencucuk-cucuk.

Bahasa badan Arthur bernas – melihat pada caranya bergerak, berjalan, berlari, duduk, merokok dan menari. Lagaknya persis seorang pesakit mental yang perlukan bantuan. Perkara-perkara yang mungkin dianggap remeh ini dimainkan Arthur dengan baik sekali. Tampilannya itu sungguh menawan, bahkan mengagumkan. Bersatu dengan momen. Di balik tawa dan senyuman, ada tersemat kesakitan. Saya cuba mencari-cari kesalahan dalam filem ini, namun tak jumpa-jumpa.

Joaquin Phoenix JOKER REVIEW


Membandingkan Joaquin Phoenix dengan Heath Ledger (The Dark Knight, 2008) atau Jack Nicholson (Batman, 1989) mahupun Jared Leto (Suicide Squad, 2016) adalah SEsuatu yang tidak masuk akal. Ia Joker yang tidak pernah lagi kita jumpa. Ia Arthur.

Joaquin Phoenix Joker Quotes

Ia adalah langkah yang sengaja lari dari sumber. Meskipun, Philips memberitahu ada juga unsur-unsur yang diambil dari novel asal, The Killing Joker (1988) – di mana Joker sebagai pelawak yang gagal – filem ini tidak mengikuti jalan cerita asal. Satu langkah berani menghasilkan filem adiwira yang punyai pentas peminat setia tersendiri. Tidak hanya itu, watak-watak dalam filem ini jauh sepenuhnya dari filem dan komik DC, sebelumnya. Ia adalah watak dan filem yang dibebaskan. Bebas untuk menjadi apa sahaja dan sesiapa sahaja yang disukai JOKER.

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE