SEARCH

#REVIEW Justice League – Populariti The Flash Vs Batman

#REVIEW Justice League – Populariti The Flash Vs Batman

Justice League (JC) ialah anomali yang jarang sekali berlaku dalam sesebuah keluaran DC. Selain Suicide Squad (2016), JC satu-satunya filem DC yang menyatukan pelbagai adiwira dalam satu filem. Berlawanan pula dengan filem adiwira keluaran Marvel, JC lebih bersifat gelap berbanding ‘The Avengers’ (TA).

Zack Snyder selaku pengarah mengaplikasikan resepi Joss Whedon (pengarah TA) dengan menyuntik unsur humor dalam JC. Tidak seperti Superman V Batman: Dawn of Justice (2016) yang mendapat kritikan dahsyat tahun lalu, JC diarahkan dengan lebih ringan berbanding filem-filem keluaran DC yang lain.

Mungkin Snyder terpaksa akur dengan permintaan majoriti penonton sekarang yang lebih gemarkan filem adiwira yang bersifat ringan dan lucu. Lihat sahaja ‘Thor: Ragnarok’ (2017) yang penuh dengan lawak-lawak spastik. Seperti filem parodi pula jadinya.

Namun usaha Snyder supaya tidak jatuh ke tahap komedi murahan seperti itu wajar diberikan tepukan. Sekurang-kurangnya JC tidak lah terlalu bernada serius, juga dalam masa sama kamu masih boleh merasakan ini filem DC.

Justice League Review by STAIL.MY 1

Terdapat babak-babak yang cukup dramatik dan melantun dari satu adegan ke satu adegan yang lain dengan baik. Aksi yang padat dan jalan cerita yang mudah dan ringkas juga membuatkan filem ini tidak berlagu bosan dan meleret.

Kredit patut diberikan pada The Flash (Ezra Miller) dan Aquaman (Jason Momoa) yang sesungguhnya lebih bersinar dan menyerlah daripada adiwira-adiwira utama yang lain. Kedua watak ini amat menyenangkan dan lucu. Lakonan Ezra yang spontan dan Jason yang bersahaja membuatkan JC lebih menghiburkan.

Tidaklah seperti lakonan kaku Ben Affleck (selaku Batman). Saya tidak faham kenapa dia terpilih bagi menjayakan watak penting ini.  Lakonan dia seperti patung kelawar yang tidak berjiwa jika dibandingkan dengan Christian Bale sebelum ini, yang jauh lebih bernas ketika memegang peranan sebagai Batman.

Justice League Review by STAIL.MY 2

Mujur persembahan menawan Henry Cavill selaku Superman berjaya menyelamatkan lakonan longlai Ben Affleck itu tadi. Selayak namanya, Superman adalah watak yang paling berkarisma untuk JC kali ini dan nampaknya The Flash lebih mencuri tumpuan berbanding Batman.

Akhirnya, mesej yang tersirat dalam Justice League tidak lain tidak bukan adalah nilai persahabatan. Kebahagiaan di sebalik topeng adiwira-adiwira yang selama ini berjuang secara bersendirian.

Justice League Review by STAIL.MY 3

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE