SEARCH

#REVIEW Kingsman 2: The Golden Circle – Sekuel Risikan Yang Lebih Grand, Lucu & Berbaloi Untuk Kamu Ke Panggung Wayang

#REVIEW Kingsman 2: The Golden Circle – Sekuel Risikan Yang Lebih Grand, Lucu & Berbaloi Untuk Kamu Ke Panggung Wayang

Kingsman 2: The Golden Circle (Kingsman 2) adalah sambungan kedua filem francais tahun 2015, Kingsman: The Secret Service (Kingsman 1).

Ia menemukan semula sidang kreatif hebat seperti Jane Goldman (lakon layar), George Richmond (sinematografi), Eddie Hamilton (suntingan) dan Matthew Vaughn selaku sutradara. Filem pertama Kingsman adalah berdasarkan komik grafik berjudul “The Secret Service” nukilan Mark Millar (penulis) bersama Dave Gibbons (pelukis grafik).

Untuk sekuel kedua ini, Kingsman 2 mengikuti lanjut pengembaraan Gary ‘Eggsy’ Unwin (Taron Egerton) sebagai penyiasat rahsia, menambah lagi elemen segar dan muda dalam filem yang bergenre sama seperti filem James Bond ini.

Seperti aksi-aksi lawan unik di dalam filem pertama sebelumnya, Kingsman 2 juga tidak ketinggalan dalam menambah kesan khas pada teknik kameranya yang seakan-akan komik. Close-up semuanya! Dari watak sehinggalah senjata-senjata yang digunakan. Slow-motion untuk melengkapkan.

Pembuka filem sahaja bermula dengan aksi lawan mendebarkan antara Eggsy dengan Charlie (Edward Holcroft) di dalam teksi. Tambahan Vaughn pandai memilih muzik latar yang sesuai dengan aksi-aksi yang dipertontonkan. Kombinasi teknik dengan muzik yang begitu jitu dan sangat menarik untuk dipertonton.

Ia seperti aksi lawan di dalam gereja pada Kingsman pertama. Sama-sama bertenaga, sama-sama berbekas. Saya kira teknik kamera dan muzik adalah kekuatan utama Kingsman 2.

Kelebihan lain Kingsman 2 pula tersemat kemas pada antagonis atau watak jahatnya – seorang ahli perniagaan wanita yang manis dengan senyuman tetapi gila dan kejam bernama Poppy Adams.

Seperti Valentine (antagonis Kingsman pertama) yang dimainkan oleh Samuel L. Jackson, Poppy Adams (Julianne Moore) sangat mencuriga, kontra dengan realiti dan aneh dalam dunia tersendiri. Moore berjaya menangkap esen brutal dalam perwatakan lemah lembut Poppy. Dia tak akan duduk diam selagi tak dapat apa yang dimahukan.

Perwatakan Poppy yang bercanggah ini lah yang menyebabkan Kingsman 2 seronok ditonton. Sungguh pun dia menghias kem dadahnya dengan tema 50-an, namun ia lengkap dengan senjata-senjata, perangkap dan jerangkap berteknologi tinggi. Poppy Land adalah biasan mawar merah ini. Sebuah dunia fantasi yang cukup cantik tetapi berduri.

Sementara Poppy memainkan watak penjahat yang berkesan, sebuah lagi syarikat risikan bernama ‘Statesman’ adalah penambah cerita yang baik untuk Kingsman. Stateman adalah Kingsman versi Amerika Syarikat. Channing Tatum dan Halle Berry menyerlah dalam watak-watak sendiri.

Kingsman 2 juga tidak melakukan dosa kecil yang selalu dilakukan filem-filem adiwira yang lain. Memperlihat watak jahat seterusnya sangat klise. Nasib baik Vaughn tidak mengikut jejak trend yang bosan ini. Biarlah membuat penonton tertanya-tanya siapa penjahat seterusnya.

Kingsman 2: The Golden Circle adalah penyambung yang kukuh untuk filem francais Kingsman. Ia mengambil risiko yang besar, namun Matthew Vaughn memastikannya lengkap dengan elemen-elemen segar yang berganda. Mempersembahkan filem penyiasat seserius James Bond ini menjadi lebih fun untuk tontonan golongan milenial.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE