SEARCH

#Review Konsert Inspirasi 2019 – Afgan ‘Membelai’ Jiwa Penonton Dengan Suara Jantannya

#Review Konsert Inspirasi 2019 –  Afgan ‘Membelai’ Jiwa Penonton Dengan Suara Jantannya

Konsert Inspirasi 2019 Meninggalkan Memori Indah Buat Peminat Malaysia, Indonesia & Brunei

Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 berjaya memukau hampir 2,000 peminat setia Afgan. Saya berpeluang menghadiri konsert yang turut menampilkan Dato’ Sheila Majid ini dan apa yang boleh saya rumuskan, Afgan sememangnya penyanyi yang versatil, yang punyai suara jantan yang menawan.

Konsert berlangsung jam 9 malam di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur. Ia dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Arjuna. Membawakan lagu-lagu cinta Indonesia yang pernah hits di Malaysia seperti ‘Kenangan Terindah’, ‘Mungkin Nanti’, ‘Kekasih Gelapku’ dan ‘Januari’ sudah cukup untuk membuat peminat teruja dan turut sama menyanyi.

Jeritan peminat dan tepukan gemuruh kedengaran sebaik sahaja Afgan muncul. Dimulakan dengan lagu ‘Jalan Terus’, Afgan mendendangkan 16 buah lagu di konsert ini termasuk duet bersama Dato’ Sheila Majid menerusi lagu “Bawalah Cinta” dan “Begitulah Cinta”.

Kolaborasi kedua-dua penyanyi terkemuka ini berjaya mencipta magis tersendiri dan penonton seakan dibuai perasaan kala mendengar nyanyian tersebut. Ternyata penyanyi kelahiran Jakarta ini berjaya memberikan kelainan berbanding konsert-konsert yang pernah diadakannya sebelumnya.

Membawakan tema Inspirasi, Afgan berharap peminat dapat rasa suntikan semangat untuk terus berusaha dan mengejar impian. Bersesuaian juga dengan tema, impian Afgan untuk membuat persembahan bersama idolanya di atas pentas Kuala Lumpur kini tercapai.

Konsert Inspirasi 2019 - Afgan dan Dato' Sheila Majid

“Dato’ Sheila Majid menyanyi bersama di konsert inspirasi 2019 ini cukup istimewa dan satu penghormatan buat saya” – Afgansyah Reza, 2019

Konsert anjuran Popcorn Studio Sdn Bhd ini konsert terakhir Afgan (buat masa ini) sebelum dia mengambil keputusan untuk berehat seketika dari menganjurkan sebarang konsert kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap penghasilan lagu baru yang lebih segar. Afgan berpuas hati mengadakan konsert tiga tahun berturut-turut di Malaysia.

Sambutan yang diterima luar biasa. Mana tidak, sejak konsert DEKADE tahun lalu lagi, tiket ke konsert Afgan pasti habis terjual. Menurut Erik Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Popcorn Studio, “Kami berpuas hati dengan sambutan peminat terhadap konsert ini. Ia memberi suntikan semangat buat kami terus membawa dan menganjurkan persembahan yang lebih baik dan bertaraf antarabangsa, di masa hadapan,” ucapnya.

Di lokasi konsert, peminat yang hadir turut ditawarkan dengan pilihan makanan dan minuman sementara menanti konsert bermula. Paling menarik, bertih jagung dan cendol durian turut disediakan oleh Durian King TTDI. Selain itu, konsert turut mendapat tajaan dan kerjasama dari Ganad, Redbox dan Greenbox.

Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 memberi satu kepuasan. Kolaborasi Afgan bersama idolanya Dato’ Sheila Majid bak impian yang dinanti-nanti oleh Afgan sejak sekian lama. Membuat peminat dan saya jadi gembira dan ikut sama teruja melihat persembahan bersungguh Afgan di atas pentas.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE