SEARCH

#REVIEW Logan: Filem Bertaraf Sejuta Bintang

#REVIEW Logan: Filem Bertaraf Sejuta Bintang

Pertama kali Wolfverine muncul di layar lebar Logan ini, dia kelihatan sangat tua dan kepenatan. Cakar dia tersekat antara buku lima dan hilang upaya membaiki luka. Selalu memikirkan untuk membunuh diri dan meminum arak secara keterlaluan. Dia bukan lagi seorang adiwira perkasa dengan cakar logam Adamantium yang selalu kita kenali.

Ya, segalanya yang kamu dengar itu benar. Logan (Hugh Jackman) yang tua ini sudah hilang arah tuju. Seorang yang pemarah dan bersikap buas seperti pertama kali Professor X (Patrick Stewart) jumpainya dahulu. Logan seperti seekor serigala yang sedia memakan mangsa.

Kali ini tampil dengan lebih serius, ia penampilan kali terakhir Hugh Jackman sebagai Wolverine. Seperti yang kita semua ketahui, sudah sembilan kali Jackman memegang peranan sebagai ‘The Wolverine’. Mungkin sudah sampai masanya dia berundur. Bukan kerana kita semua tidak menyukai lakonannya, tetapi kerana permintaan dia sendiri yang sedang menghadapi kanser dalam dunia realiti.

LOGAN: SEBUAH FILEM YANG LAYAK MENGAKHIRI ‘THE WOLVERINE’

Wolverine selalu menjadi antara adiwira perkasa Marvel kesukaan semua. Mereka tidak membuat tiga filem solo semata-mata untuk seorang adiwira, jika tiada permintaan yang lumayan.

Namun, walau sebesar mana pun status popular watak adiwira itu atau semangat dedikasi Hugh Jackman terhadap karakter ‘The Wolverine’ ini, tetap tidak boleh mematahkan fakta yang dia sebenarnya watak adiwira yang terperangkap dalam pulau manusia-manusia mutasi terbuang bawah jagaan Profesor Xavier.

#REVIEW Logan: Filem Bertaraf Sejuta Bintang

He’s a lone wolf. Sebagai Logan yang tua, akhirnya filem ini berkisarkan tentang dia. Tentang sifat azali ganasnya yang seakan seekor serigala.

Sungguh pun begitu, filem ini tetap tidak boleh lari daripada drama yang berkaitan manusia-manusia mutasi. Tahunnya 2019, Logan lari jauh dari tumpuan ramai hingga ke Mexico, memandu limo yang seakan UBER untuk menyara kehidupan hari-hari terakhir bersama Profesor Xavier yang semakin sakit tenat.

Dia gembira begitu. Berada jauh dari binasa dan pembantaian manusia-manusia mutasi yang sedang terjadi di Amerika Syarikat. Namun tanpa diduga, datang anak perempuan kecil bernama Laura (Dafne Keen) bersama seorang penjaga wanita Mexico. Laura, bersama anak-anak mutasi lain, dijadikan ujikaji ketenteraan oleh kerajaan. Mereka terlepas dari neraka dunia itu dan sedang dalam perjalanan untuk mendapatkan suaka politik di Kanada.

Laura, kebetulan memiliki kebolehan mutasi dan cakar logam Adamantium yang sama seperti Logan. Dia terpisah dengan rakan-rakan mutasi dan sangat perlukan bantuan Logan untuk sampai ke ‘Heaven’, sebuah santuari rahsia buat anak-anak mutasi malang ini.

Pada mulanya, Logan berkeras untuk tidak terlibat. Namun, setelah dipujuk rayu oleh Profesor X dan menerima kenyatan bahawa Laura adalah anak kandungnya, dia mengambil keputusan untuk membantu. Sebaik sahaja dia terbaca nama sebenar dia, “James Howlett” tertera di fail perubatan Laura, hatinya subur kembali.

Sutradara, James Mangold melihat ini masa yang terbaik bagi menamatkan watak ‘The Wolverine’ ini. Apa lagi permintaan seorang yang tidak boleh mati, selain mati? Mungkin setelah beratus-ratus tahun menghela nafas, Logan sudah tiada hati lagi meneruskan kehidupan. Melihat orang-orang yang dia sayangi, mati satu-per-satu dipangkuannya. Anugerah kehidupan abadi (immortal) ini baginya satu sumpahan.

Profesor X juga sudah pergi, menambahkan lagi derita di hati. Melihat dirinya dalam diri Laura, Logan tahu legasinya masih selamat. Mematikan watak ini dengan cara yang penuh maruah, bagi saya bijak sekali.

Pada akhirnya, ia penghabisan yang cukup sempurna bagi menamatkan watak adiwira perkasa separa-serigala yang paling mendunia ini.

#REVIEW Logan: Filem Bertaraf Sejuta Bintang

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE