SEARCH

#REVIEW Munafik 2 – Dakwah Seram Yang Tak Seimpak Munafik 1

#REVIEW Munafik 2 – Dakwah Seram Yang Tak Seimpak Munafik 1

SYAMSUL YUSOF review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY 1Munafik 2 menempa nama dalam sejarah apabila berjaya mengutip RM21.6 juta dalam hanya 4 hari tayangan dengan jumlah kutipan tiket masih lagi meningkat. Mungkin kerana impak filem Munafik pertama membuatkan ramai orang berbondong-bondong ke pawagam bagi menyaksikan filem ‘dakwah-seram’ arahan Syamsul Yusof ini.

Ia adalah filem kesinambungan daripada filem Munafik yang ditayangkan pada 2016 dan dibintangi oleh Syamsul sendiri sebagai Ustaz Adam.

Tambah pula penampilan Maya Karin sebagai Sakinah berjaya memancing ramai. Siapa yang tidak kenal Pontianak Harum Sundal Malam? Kemunculan semula Maya dalam arena filem hantu setelah lama berehat tentunya menggoda ramai untuk menonton Munafik 2.

Munafik 2 turut dibintangi oleh pelakon-pelakon senior seperti Datuk Rahim Razali (Ayah Rahim) dan Nasir Bilal Khan (Abuja) serta disokong oleh Fizz Fairuz (Ustaz Azhar), Fauzi Nawawi (Umar), Mawi (Azhar) dan seorang pelakon Indonesia, Weni Panca sebagai penunggu wanita bertelekung hitam.

Nasir Bilal Khan sebagai abuja review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY

Kali ini, Munafik 2 memberi lampu sorot kepada perjuangan Ustaz Adam yang berhadapan dengan kultus ajaran sesat di perkampungan yang sangat terpencil, yang diketuai oleh Abuja dan menyelamatkan seorang ibu tunggal (Sakinah) dari kejahatan Abuja. Setelah dua tahun berlalu selepas peristiwa kematian isteri dan anaknya yang tidak disangka dan kejadian-kejadian di Munafik pertama, lautan kehidupan Ustaz Adam kembali bergelora.

Cukup rasanya saya memberi gambaran tentang filem sekuel ini, takut-takut mengganggu pula kamu menontonnya pula di pawagam nanti. Munafik 2 mengandungi eleman seram dan sarat dengan mesej dakwah. Seperti filem Munafik pertama, kesemua watak wanita dalam Munafik 2 mengenakan pakaian menutup aurat dan memakai tudung atau sekurang-kurangnya anak tudung sepanjang filem berlangsung.

SYAMSUL YUSOF review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY 2

Mesej-mesej dakwah yang bukan kepalang banyak memenuhi Munafik 2. Syamsul Yusof bijak menyelitkan ayat-ayat pendinding serta dalil Al-Quran dan maksud tafsirnya yang mendalam, mampu mengalirkan air mata jika dihayati sempurna.

mawi review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY

Mutu lakonan tidak perlu dipertikaian kerana Munafik 2 dibintangi oleh barisan pelakon-pelakon hebat seperti yang saya bilang tadi. Selain Maya Karin, pelakon-pelakon lain seperti Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz dan Dato Rahim Razali memainkan peranan masing-masing dengan sempurna.

SYAMSUL YUSOF review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY 3

Suka saya melihat solekan dan perincian hantu-hantu di dalam Munafik 2 yang tidak lah terlalu palsu dan berjaya pula membangkit bulu roma kerana keangkerannya.

Namun atas kebaikan dan kelebihan yang dinyatakan di atas, entah kenapa saya rasakan terlalu banyak khilaf dan cela yang tidak boleh dipandang lepas sepanjang saya menonton Munafik 2. Terlalu banyak babak-babak yang tidak masuk akal dan plot twist yang tidak perlu. Berkerut-kerut dahi saya memikirkan apa relevannya sesetengah babak yang dipaparkan? Misalnya, babak ketika Ustaz Adam terperangkap dalam keranda bersama mayat yang membusuk. Babak ini benar-benar canggung.

Lain pula plot twist di Munafik pertama. Kematian anak dan isteri Ustaz Adam yang tidak disedarinya dan penampilan watak antagonis di akhir cerita iaitu Maria (Nabila Huda) sendiri dan bapanya, Pak Osman (Razib Salimin). Itu baru namanya plot twist yang berkualiti, bukan sembarangan seperti Munafik 2 ini.

Babak pertembungan ketika Ustad Adam dan orang kampung bersua dengan Abuja dan pengikutnya juga, saya kira sangat mencengangkan. Lawan punya lawan sesi berdialog antara mereka, akhirnya disudahi dengan ugutan laporan polis oleh Ustad Adam dan bersurai begitu sahaja. Saya sempat tertawa kecil kerana rasa lucu yang amat. Rasa seperti menonton filem KL Gangster pun ada. (Oh, sampai ke sudah pihak polis tak sampai-sampai).

fizz fairuz Nasir Bilal Khan sebagai abuja review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY

Plot Munafik 2 juga terlalu banyak sehingga ia berceramuk dan panjang berjela. Jalan cerita yang meracau-racau. Bukan sekadar kultus ajaran sesat, ia turut sarat dengan elemen hantu, saka, jin, sihir dan Dajal yang silih berganti. Saya sarankan agar Munafik 2 ini memberi fokus kepada ajaran sesat sahaja agar ia tidaklah terlalu padat dan terlalu banyak gangguan sehingga membuat penonton hilang fokus. Apa kata simpan elemen yang lain untuk filem sambungan Munafik yang seterusnya?

Maya karin review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY 1

Ya saya faham Syamsul ingin menghadirkan perasaan kelam di dalam filemnya, tetapi tidak perlulah dari awal sehingga akhir, gelap senantiasa. Jika di rumah orang kampung, saya faham, mungkin kerana kampung ini sangat terpencil (jalan masuk hanya melalui sungai paya bakau) bekalan elektrik tidak sampai ke kediaman mereka. Mereka hanya menggunakan lampu tanah sebagai penerang suasana, tetapi janganlah sampai rumah Ustaz Adam pun gelap gelita. Mustahil rumah banglo yang cantik seperti itu juga tiada bekalan elektrik bukan?

SYAMSUL YUSOF review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY 3

Satu lagi yang saya perasan, tingkap rumah mereka terbuka sepanjang masa. Tiada rumah orang Melayu yang tidak menutup tingkap di malam hari. Baik rumah kampung mahupun rumah bandar. Ini mungkin remeh, tetapi ini logik dan budaya kita. Bagi menghindar kecelakan seperti pencuri atau kemasukan makhluk-makhluk halus yang tidak diundang, tingkap hendaklah ditutup di malam hari ya Syamsul.

Maya karin review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MYDari segi teknikal, kesan bunyi-bunyian terlalu kuat dan bingit. Kadang-kadang agak menggangu dan bosan. Penonton boleh meneka bila agaknya hantu akan muncul. Ia mematikan mood untuk menonton. Bunyi sepatutnya merangsang deria. Apabila babak seram, atau apabila sedih, muzik memainkan peranan. Saya rasakan seperti semua bunyi hanya mahu memeranjatkan penonton semata-mata.

Oh tidak lupa juga, kelajuan yang aneh, seperti dipercepatkan (fast forward) yang sedikit sebanyak mencacatkan mutu lakonan (apakah Syamsul mengejar masa?).

Dan masih ada lagi orang yang sanggup tinggal di gua? Mana pergi penduduk kampung? Mana pergi badan kebajikan? Belum lagi ditambah dengan adegan bunuh-membunuh yang tidak masuk akal dan merepek. Seperti negara ini tidak punya undang-undang. Dan sebenarnya, dari awal sehingga tamat filem, saya tidak faham apa sengketa Sakinah dan Abuja? Kisah mereka seperti tiba-tiba masuk di pertengahan filem. Saya sampai sudah tidak jumpa klimaks filem ini kerana semuanya seakan klimaks. Meninggi sehingga tamat. Bagi saya banyak lagi jalan cerita yang tergantung. Harapnya, mungkin Munafik 3 akan diterangkan nanti?

weni panca iblis wanita SYAMSUL YUSUF review trailer sinopsis Munafik 2 by STAIL.MY jin wanita

Di sebalik semua ini, yang paling saya suka adalah hantu penunggu wanita bertelekung hitam (jin wanita?). Nampaknya, hanya babak yang melibatkan Ustaz Adam dan penunggu ini sahaja yang jelas. Bahasa yang digunakan juga indah dan klasik. Beri tepukan kepada penulis skrip yang berjaya menangkap esen bahasa orang lama (walaupun terselit perkataan ‘bisa’) untuk hantu penunggu ini. Babak ketika mereka bertemu di sungai sangat merinding dan membuat saya kagum kerana mereka sanggup berlakon di lokasi yang sebegitu angker. Bagi saya, hantu ini paling menyerlah.

Dan akhirnya, saya sebenarnya kurang bersetuju dengan pengakhiran filem. Sepertinya Ustaz Adam mempunyai semacam ‘mukjizat’ pula apabila bumi bergoncang dan mematikan seluruh pengikut ajaran sesat dan Abuja itu sendiri. Apakah Ustaz Adam menyamakan dirinya setaraf nabi? Babak ini jika tidak diperlihat dan diprihatinkan, boleh memesongkan akidah. Dari filem pertama lagi saya sudah perasan dengan corak penghabisan filem ini. Akhirulkalam, maaf cakap pengakhiran Munafik 2 terlalu dramatik dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE