SEARCH

#Review Polis Evo 2 – Penuh Dengan Aksi Mendebarkan

#Review Polis Evo 2 – Penuh Dengan Aksi Mendebarkan

Penuh aksi dan sangat mendebarkan! Itu yang saya rasakan saat tamat tayangan filem Polis Evo 2 (PE2) ketika malam gala filem tersebut pada Rabu lalu. Pabila saya katakan penuh aksi, saya benar-benar maksudkannya. Dari permulaan jalan cerita sahaja kami sudah dihidangkan dengan aksi tangkas pelakon bertarung ketika adegan tembak-menembak di antara pihak Polis dan penjenayah. Memang hebat!

Pada pemerhatian saya PE2 lebih gempak, lebih impak dan lebih aksi berbanding filem Polis Evo sebelumnya. Jalan cerita PE2 kali ini berkisarkan tentang kes jenayah berskala besar yang mempertanggungjawabkan Inspektor Sani (Zizan Razak) dan Inspektor Khai (Shaheizy Sam) untuk mengetuai misi keselamatan apabila sebuah pulau ditawan oleh ekstremis ajaran sesat.

polis evo 2

Situasi menjadi rumit apabila mereka harus merancang strategi dengan penuh teliti berikutan lebih 200 penduduk pulau telah menjadi tawanan Hafsyam (Hasnul Rahmat) dan pengikutnya. Di sinilah bermulanya aksi penuh mendebarkan di mana penonton berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana anggota Polis sanggup bergadai nyawa demi menjaga keselamatan orang awam serta mempertahankan kedaulatan negara.

Plot filem ini menjadi semakin menarik saat Rian (Raline Shah) yang ditugaskan sebagai pengitip pihak berkuasa Indonesia terperangkap dalam tugasnya sendiri angkara sifat tamak pegawai atasannya. Tapi berbekalkan keberanian dan semangat juang yang tidak pernah padam dalam diri Rian, dia bangkit membuktikan dirinya tidak bersalah dan hanya menjalankan tanggungjawab untuk mengheret Riky (Tanta Ginting) si penjahat yang dibencinya ke muka pengadilan.

polis evo 2

Bonus point untuk PE2 kerana tiada kisah cinta klise! Saya bangga dengan filem ini kerana tidak perlu mengetengahkan unsur percintaan untuk menarik perhatian penonton. Malah tiada langsung babak mengaitkan kisah cinta sepanjang dua jam durasi filem berkenaan. Jujurnya saya jangkakan mungkin salah seorang antara Inspektor Sani atau Inspektor Khai akan jatuh cinta kepada Rian dek kerana rupanya yang menawan namun jangkaan saya meleset sebaliknya mereka membantu Rian dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

PE2 lebih serius berbanding filem sebelumnya, tidak tahu mengapa saya selalu merasakan PE2 bakal membuatkan saya gelak tak kering gusi. Mungkin kerana kehadiran Zizan Razak yang popular dengan sikap kelakarnya. Tapi sekali lagi saya salah membuat tafsiran, PE2 langsung tidak meletakkan komedi sebagai salah satu elemen utama filemnya. Boleh dikatakan saya hanya gelak dalam dua kali sepanjang menonton filem ini. Selebihnya saya diselubungi perasaan gusar dan tidak tenteram melihatkan banyak nyawa yang terkorban.

polis evo 2

Dari segi pemilihan pelakon, tak dapat saya nafikan bahawa Zizan Razak dan Shaheizy Sam sememangnya mempunyai chemistry yang kuat. Tidak sia-sia usaha pihak produksi penerbitan untuk mengekalkan dua figura terkenal ini sebagai peranan utama. Terutamanya Shaheizy Sam, saya benar-benar terpukau dengan lakonan mantapnya. Dia bijak menterjemahkan bahasa badan membuatkan penonton dapat merasai sendiri debaran ketika aksi pertempurannya dengan pihak lawan.

Saya teruja saat menonton Fir Rahman yang memegang watak Mikael dalam PE2. Jejaka kelahiran Singapura ini sebelumnya telah berjaya membuatkan saya ‘jatuh cinta’ menerusi lakonannya dalam filem ‘Apprentice’. Pada saya Fir Rahman mempunyai sosok yang sempurna untuk memegang watak seorang anggota Polis, parasnya yang tinggi dan tegap membuatkan imejnya sebagai salah seorang anggota ‘UKAP’ (unit khas Polis) nampak sangat menyakinkan. Lakonanannya pula sedikit pun tidak menghampakan saya, masih lagi sehebat lakonanya dalam ‘Apprentice’ cuma kali ini saya dapat lihat sisinya yang berbeza. Melalui PE2 dia lebih banyak bermain dengan senjata dan berjaya menjiwai wataknya dengan penuh penghayatan.

Naskah hebat hasil garapan sutradara Joel Soh dan Andre Chiew ini turut dimantapkan dengan lakonan hebat Soffi Jikan, Syafie Naswip, Riz Amin, Dennis Yin, Hairul Azreen, Jeff Catz, Erra Fazira, Rusdi Ramli, Hairie Othman, Jaspen Supayah, Mike Lucock dan Ramdan Misnon.

polis evo 2

polis evo 2

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE