SEARCH

#REVIEW Dato’ Siti Nurhaliza (SimetriSiti) – Naskah Melankolik Cinta Yang Indah

#REVIEW Dato’ Siti Nurhaliza (SimetriSiti) – Naskah Melankolik Cinta Yang Indah

Gambar Dalam 2

Gambar Dalam 1

Album: Dato' Siti Nurhaliza (SimetriSiti)
Genre: Pop / R&B / Kontemporari
Penerbit: Siti Nurhaliza / Kenny Ong
Verdik: 4/5

Mendengar perkhabaran penyanyi nombor satu negara melepaskan album solo (studio) ke-18 yang berjudul SimetriSiti (2017) membuatkan saya teruja.

Walau sudah memasuki tahun ke-21 (1996-2017) dalam industri muzik, Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin masih konsisten menghasilkan album. Nampaknya, setiap tahun Dato’ Siti tidak pernah jemu muncul dengan karya terbaru.

Simetri itu sama bentuk dan sama ukurannya. “Persamaan” yang dimaksudkan ialah dari segi aspek keseluruhan yang terbaik dalam menerbitkan album kali ini. Untuk lagu, bait lirik, susunan muzik dan kulit album serta muzik video.

Album dimulakan dengan lagu Bersandar Cinta sebagai pembuka yang sempurna. Bait-bait lirik yang kuat serta penggunaan kosa kata yang mudah membuat lagu ini senang diterima. Pertama kali mendengar, meremang bulu roma dibuatnya.

Liriknya pula berkisahkan tentang perjalanan kehidupan Dato’ Siti sebagai seorang anak seni. Segala yang dilakukan, semua “Bersandar Cinta”.

SimetriSiti 2

“Setiap liuk jejari,
Setiap gemalai tarianku persembahkan,
Semuanya bersandar kepada cinta.”

Paling istimewa bagi saya, SimetriSiti turut mengandungi sebuah lagu hasil ciptaan Dato’Siti sepenuhnya yang berjudul Penghiburku. Trak kedua ini turut menampilkan Joe Flizzow sebagai pasangan duet. Dengan bunyi-bunyian etnik, ‘Penghiburku’ rancak dalam runut buluh dan seruling yang ceria.

Seterusnya, lagu berjudul Ikrar Cinta sebagai trak ketiga. Seperti trak pertama, ‘Ikrar Cinta’ juga mempunyai bait lirik yang mengesankan. Ia kedengaran sangat romantis. Sangat sepadan untuk mereka yang baru sahaja bernikah atau meraikan ulangtahun perkahwinan.

Segala Perasaan menjengah sebagai trak ketiga. Lirik berkisahkan tentang seorang wanita yang sanggup menempuh apa pun demi cinta. Namun bagi saya muzik video lagu ini tidak sesuai sama sekali dengan tema adiwira wanita yang diketengahkan.

Untuk trak seterusnya, Aku Bukan Malaikat menjadi antara kesukaan saya. Selain lirik yang berat, susunan muzik terdendang nyaman di telinga. Suka saya mendengar bait lirik “Hantarkan aku dengan cintamu, Pada sang maha cahaya”.

Manis Terindah dan Kisahku Inginkan pula kedengaran terlalu kormersial. Jangan salah sangka, dua lagu ini baik-baik sahaja, tetapi entah kenapa saya rasakan penangan Judika dalam lagu ‘Kisahku Inginkan’ ini tidak kena. Namun saya yakin lagu ini bakal jadi hit di corong-corong radio nanti.

Trak kelapan, Tak Perlu Ragu sangat sesuai untuk mereka yang dilamun cinta. Muziknya segar dan saya kira pasti menambat hati remaja. Ia seperti lagu magis yang menyenangkan. ‘Tak Perlu Ragu’ juga kedengaran seperti sebuah lagu Indonesia yang pernah saya dengar. Sayangnya saya terlupa tajuk dan artis/kumpulan apa. Amat mirip sekali.

Dan dalam banyak-banyak lagu dalam album ‘SimetriSiti’ ini, Kau Takdirku paling kurang menarik. Susunan muzik yang dramatik dengan rentak yang menyasar, kedengaran terlalu mencuba-cuba. Ia seperti sebuah lagu ekperimental yang tidak menjadi.

Akhirnya, Hiasi Duniaku menutupi SimetriSiti. Berentak rancak, lagu ini sesuai untuk tema-tema semangat. Seperti Siti Nurhaliza yang sedang ‘Bersandar Cinta’, ‘Hiasi Duniaku’ menutup sempurna album melankolis cinta nan indah ini.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE