SEARCH

#REVIEW Tombiruo – Memartabat Sastera & Hikayat Malaysia

#REVIEW Tombiruo – Memartabat Sastera & Hikayat Malaysia

REVIEW TOMBIRUO STAIL.MY

Sudah berapa ketika tidak saya kunjungi panggung wayang untuk menonton filem Melayu. Jujurnya kali terakhir saya menonton filem Melayu di panggung wayang Disember tahun lalu untuk filem ‘Interchange’. Namun entah kenapa saya terpanggil untuk menonton Tombiruo: Penunggu Rimba arahan bersama sutradara Seth Larney dan Nasir Hani ini.

Mungkin kerana sinematografinya yang cantik di iklan acah, membuatkan saya berkenan untuk membeli tiket bagi menonton. Lagi pula, filem ini diadaptasi sepenuhnya dari novel nukilan Ramlee Awang Murshid (novel-novel dia selalu saya baca ketika remaja), Tombiruo adalah hasil terbitan tiga nama besar industri – Astro Shaw, Karangkraf dan Layar Sunan.

Ditambah lagi dengan penampilan Zul Ariffin (Ejim), Datuk M.Nasir (Tan Sri Berham), Hasnul Rahmat (Juslan), Faizal Hussein (Pondolou) dan Farid Kamil (Amiruddin), saya kira tidak mungkin filem tempatan yang satu ini menghampakan.

Paling menarik perhatian saya sebenarnya adalah konsep mitos yang jarang sekali diangkat ke layar perak negara.

Seperti yang saya katakan di perenggan kedua, sinematografi Tombiruo sangat menarik dan menangkap perhatian. Permulaan filem berjaya memukau pandangan penonton. Bercakap pasal Astro Shaw, mungkin ini kekuatan mereka yang paling ketara yang dapat kita lihat. Sinematografi Tombiruo setaraf Ola Bola. Sangat cantik dan mengesankan.

Untuk #review kali ini, saya tidak mahu langsung mendedahkan tentang jalan cerita dan plot filem ini. Biarlah kamu sendiri yang menontonnya di pawagam. Saya hanya mahu berbincang soal aspek luaran.

Seperti lakonan Zul Ariffin yang wajib diberikan tepukan. Bukan mudah untuk berlakon dengan hanya memakai topeng sepanjang filem berlangsung. Asal kamu kamu tahu, antara rahsia lakonan yang berkesan adalah datang dari riak muka dan pergerakan mata.

Zul Ariffin berjaya menyampaikan mutu lakonan dengan hanya bahasa badan. Tanpa dialog yang banyak, watak Ejim yang sedang marah, suka, takut, bangga dan jatuh cinta dibawa dengan bahasa badan yang sangat menyakinkan.

Adapun, terdapat terlalu banyak aksi lawan yang dipaparkan. Jangan salah sangka, aksi-aksi lawan ini dikoreografi dengan begitu baik sekali, namun lelah juga melihat mereka berlawan tak henti sudah.

Aksi gerak-perlahan juga terlalu berlebihan sehingga membuat saya menjadi bosan. Ya, memang filem ini cantik tetapi tidak perlu lah semuanya dalam gerak-perlahan. Naik rawan saya hendaknya.

Terdapat juga beberapa kesalahan kecil seperti babak kenduri yang tiada kelibat orang dan loghat Farid Kamil yang langsung tidak kedengaran Sabahan (meskipun dia adik kepada Tombiruo).

Bahasa tulisan dari novel juga tidak dibiaskan menjadi bahasa lisan yang baik. Peralihan dari satu babak ke babak yang lain juga agak canggung. Ia seperti babak-babak drama yang meleret dan tergesa-gesa. Penggunaan CGI juga sedikit sebanyak mencacatkan filem.

Butiran-butiran kecil ini membuatkan Tombiruo kelihatan kekok. Namun usaha Tombiruo mengangkat martabat sastera dan hikayat rakyat Sabah wajar diberi puji-pujian. Kalau tidak kita, siapa lagi?

Pada akhirnya, saya berpuas hati menonton Tombiruo: Penunggu Rimba. Sekurang-kurangnya filem kita sudah bersedia untuk melangkah ke hadapan. Tidaklah hanya bermodalkan rempit jalanan, kongsi gelap dan kisah cinta pukul 7 petang.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE