SEARCH

The Rise of New R&B Era: Khalid Robinson – Kisah Ibu, Kylie Jenner, Snapchat ‘Location’ & Ikon Baru Milenial

The Rise of New R&B Era: Khalid Robinson – Kisah Ibu, Kylie Jenner, Snapchat ‘Location’ & Ikon Baru Milenial

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Peribahasa ini sesuai sekali dengan kehadiran pendatang baru ke arena R&B Hollywood bernama Khalid Robinson.

Baru sahaja berusia 19 tahun, penyanyi milenial dengan gaya rambut dan jambang yang cool ini sudah pun menduduki tangga pertama dalam carta BILLBOARD TOP10 Album R&B of The Year (2017).

Semuanya berkat Kylie Jenner yang telah berkongsi lagu dia yang bertajuk “Location” dalam sebuah rakaman video, memperlihatkan dia bersama teman-teman sedang bergembira di Snapchat.

Sungguh kuat penangan media baru dan impak adik beradik Kardashian ini, bukan? Ketika artikel ini ditulis, “Location” berada di tangga ke-16 dan sebuah lagi lagu Khalid yang bertajuk “Young, Dumb & Broke” berada di tangga ke-91 dalam carta BILLBOARD Top Hot 100 Song of The Year (2017).

Dalam dunia sekarang yang dikuasai oleh era telefon pintar dan internet, “Location” sudah mencecah lebih 58.8 juta (semasa artikel ini ditulis) layaran di SoundCloud. Apple Music juga menamakan Khalid Robinson sebagai “artis baharu yang wajib kamu dengari” di iTunes.

Khalid Robinson 2

“Because I’m Eighteen, And I still live with my parent” – 8TEEN by Khalid Robinson

Bait lirik di atas ini lah yang menangkapi perhatian saya dan secara spontan bertanya pada Ketua Pengarang kami, Azreezal Hafidz tentang lagu ini yang tak henti sudah dimainkannya di Spotify.

Melodi lagunya sangat catchy dan segar. Disulam dengan suara malas Khalid dan vibe yang tenang.

“Reezal, ini lagu siapa?” tanya saya ingin tahu.

“Oh… ini lagu Khalid Robinson,” jelas Reezal ringkas.

8TEEN mendapat inspirasi daripada ibu kandung, Linda Wolfe. Bagi Khalid, ibu tunggalnya itu adalah idola terbesar dalam perkembangan muzik seorang Khalid Robinson.

Linda membesarkan Khalid seorang diri dan sentiasa berpindah randah dari semasa ke semasa. Dia mengorbankan masa muda dan bakat artistiknya sebagai penyanyi dengan bekerja berat sebagai juruteknik bagi membesarkan Khalid. Setelah jenuh 10 tahun berkelana dan berkerja keras, Linda akhirnya mendapat peluang pekerjaan dalam tentera sebagai vokal utama untuk Kumpulan Muzik Laskar Nasional US.

Membesar pula sebagai seorang anak tentera, kehidupan memang agak ketat bagi seorang remaja seperti Khalid. Namun, itu lah yang membuat dia menjadi manusia yang lebih berdisplin dan belajar untuk hidup beradab di tempat orang. Sesuatu yang seakan hilang dalam generasi milenial sekarang.

Khalid Robinson 3

“Membesar dengan asuhan ibu menjadi tapak bagi saya meminati muzik. Di rumah kami mendengar muzik sepanjang masa.

Saya dibesarkan dengan muzik dan saya sangat meminati muzik semenjak saya berusia tiga tahun. Saya menyanyi sejak saya tidak boleh bercakap (dengan betul) lagi.

Ibu adalah idola saya,” ujar Khalid dalam satu temuramah bersama Teen Vogue.

Dan meskipun sekarang dia menetap di sebuah negeri yang dikatakan kuat dengan sentimen perkauman dan bersifat sedikit konservatif di bandar sempadan dengan Chihuahua, Mexico – Khalid berbangga memanggil El Paso, Texas sebagai rumah.

“Sepanjang berkelana, saya tidak pernah merasa seperti berada di rumah sendiri sebelum saya dan ibu berpindah ke El Paso. Cinta dan persahabatan di sini mempengaruhi perkembangan muzik saya. Saya rasa mungkin saya tidak dapat menghasilkan “American Teen” (2017) jika kami tidak berpindah ke El Paso,” jelas Khalid sambil tersenyum manis.

Bagi Khalid, walau di mana sahaja dia berada atau ketika melakukan konsert jelajah, hati dia akan selalu terkenangkan El-Paso dan dengan hati yang rendah dia tetap berpegang dengan nasihat dan prinsip minda terbuka sang adiwira wanita: ibunya, Linda Wolfe.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE