SEARCH

Ada Apa Dengan Rumah Hantu Yang Sangat Terkenal Ini?

Ada Apa Dengan Rumah Hantu Yang Sangat Terkenal Ini?

Rumah Hantu Paling Terkenal di Maine, USA

 Rumah Hantu Stephen King

Berdiri megah di tengah Bandar Bangor, Maine. Tersergam indah sebuah rumah agam merah darah, menangkap perhatian setiap mata yang memandang. Rumah dengan rekabentuk Victorian gothic itu sangat asing dengan landskap perumahan lain yang terdapat di sekitarnya. Rumah agam ini bukan rumah agam biasa. Selayaknya rumah hantu, rumah agam ini sebenarnya milik penulis prolifik, Stephen King.

Melihat pagarnya sahaja sudah meremang bulu roma. Rumah ‘hantu’ ini siap dibina pada 1982 dan pernah menjadi kediaman rasmi Stephen King. Bersimbahan cat merah dan putih dengan atap kelabu asap, ia seperti menyimpan 1001 rahsia. Atau mungkin sahaja boleh merasuki sesiapa sahaja yang berani mencerobohi. Saya dapat melihat kenapa Stephen membina dan pernah tinggal di sini.

 Rumah Hantu Stephen King 1

Rumah hantu ini sangat dekat dengan hati Stephen King seperti ratusan karya-karya momok nukilannya

Dan jika kamu boleh mendengar dari kata-kata Stephen sendiri, rumah hantu ini memang agak ‘berhantu’, “Tentu sahaja kami (Stephen dan isteri, Tabitha King) merasa jatuh cinta dengan rumah yang kami bina dan diami ini. Tidak pernah sekali kami kecewa dengannya.

Namun, apakah kami yang mengecewakan ‘ia’? Kecewa bukan kata yang tepat. Saya rasa ‘ia’ tidak ‘berkenan’ dengan kami pada mulanya,” ujar Stephen pada 1983, setahun selepas ‘ia’ siap dibina.

Pun begitu, Stephen dan isteri yang kini banyak menghabiskan masa di jerayawara dan rumah agam mereka di Florida, tidak berniat sama sekali untuk mengubah rumah ‘hantu’ lama mereka ini menjadi sekadar lokasi tumpuan pelancong.

“Kami dalam rancangan untuk merubah rumah ini menjadi rumah komuniti untuk golongan penulis, menyediakan ‘ia’ selesa untuk lima penulis sahaja buat satu-satu masa,” tulis Stephen di Facebook.

 Rumah Hantu Stephen King 3

Rumah ‘hantu’ Stephen King tersebut dalam pengawasan University of Maine dan hanya boleh ditempah (secara ketat) untuk tujuan akademik dan penulisan sahaja. Rumah agam yang turut menjadi tumpuan pelancong dari serata US dan dunia ini tidak akan diubah menjadi muzium dan tidak akan dibuka untuk kunjungan orang awam.

Ini kerana Stephen sangat menghormati privasi kejiranan dan tidak mahu rumah angkernya itu dibanjiri pelancong sehingga menggangu-gugat keharmonian tetangga. Majlis Bandaraya Bangor juga bersetuju untuk mengazetkan rumah agam itu sebagai bangunan warisan yang bertindak sebagai arkib istimewa, menempatkan hasil kerja dan karya-karya sepanjang hayat Stephen King.

“Keluarga King sangat pemurah kepada Bandar Bangor. Dari masa ke masa, mereka menderma berjuta-juta dollar dalam pelbagai lapangan demi kesejahteraan penduduk Maine. Kami berbesar hati menjaga dan memelihara legasi King untuk kepentingan komuniti kami,” ucap Ben Sprague, Pegawai Majlis Bangor.

Sayangnya, kita sebagai pelancong tidak dapat melawat dan tidak akan berpeluang untuk memasuki rumah hantu terkenal yang satu ini. Namun, sekurang-kurangnya kamu masih boleh bergambar di pintu pagar (masih dibenarkan buat masa ini) sekiranya kamu melancong ke Maine di masa mendatang.

 Rumah Hantu Stephen King 3

Lihat juga perbandingan watak pelakon muda & dewasa ‘IT CHAPTER 2’

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE