SEARCH

5 Seni Kontemporari Di Langkawi Sempena Pameran AICAD 2018

5 Seni Kontemporari Di Langkawi Sempena Pameran AICAD 2018

Langkawi terpilih sebagai tuan rumah untuk tahun kedua The Art and Design Exhibition 2018 (AICAD 2018) yang meraikan hasil seni kontemporari di Malaysia.

AICAD 2018 mendapat kerjasama tiga badan seni utama seperti Balai Seni Negara (cawangan Langkawi), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak dan Creative Design Centre (CDC). Ketiga-tiganya mempunyai rencana yang sama iaitu mengangkat dan memberi inspirasi untuk kegiatan seni kontemporari di Malaysia, juga negara-negara luar yang ikut mengambil bahagian.

Pameran seni kontemporari ini turut memaparkan nilai-nilai kreatif dan kemahiran seni yang tinggi dari negara-negara Asia berdekatan. Pameran ini juga terbuka untuk kunjungan rakyat Malaysia dan pelancong asing yang berkunjung ke Langkawi.

“Seni memberi gambaran tentang budaya yang dimiliki manusia dan sangat penting untuk menyatukan rakyat sebagai sebuah negara. Kami teruja untuk mempersembahkan pameran ini untuk pengamatan kerana kami percaya ia akan membantu seni kontemporari dan moden ke satu tahap yang lebih tinggi,” ucap Mohamad Majidi Amir selaku kurator Balai Seni Negara, Langkawi.

Kami berbangga menerima baton dari Indonesia selaku tuan rumah AICAD (2017) pertama dan mendapat penghormatan untuk mengendong tanggungjawab menaikkan industri seni kontemporari ini serta mengangkat nama artisan dan pelukis-pelukis yang terlibat untuk mereka mengekpresikan diri mereka, seterusnya mendapat pengiktirafan yang sepatutnya.

Langkawi adalah lokasi strategik sebagai tuan rumah untuk tahun kedua kerana ia pulau yang terkenal di kalangan pelancong, dalam dan luar negara. Dengan harapan supaya pameran seni kontemporari ini boleh diamati oleh peminat seni tempatan dan antarabangsa,” tambahnya lagi.

AICAD 2018 memaparkan 50 hasil seni kontemporari yang merangkumi medium-medium seni seperti lukisan, fotografi, instalasi seni, seni cetak dan seni campuran daripada 50 penggiat seni, bukan sahaja dari Malaysia, malah Indonesia, Jepun, Pakistan dan Singapura.

Balai Seni Negara (cawangan Langkawi) baru sahaja dibina di Pusat Komersial Dayang Walk, Kuah, Langkawi dan dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang (kecuali Jumaat). Kemasukan adalah percuma dari 3 September hingga 4 Oktober 2018. Layari https://aicad.asia/langkawi2018/ atau www.artgallery.gov.my untuk maklumat lanjut.

AICAD 2018 by STAIL.MY 1
Hamdan Sharani

 

AICAD 2018 by STAIL.MY 2
Aznan Omar

 

AICAD 2018 by STAIL.MY 3
Back to Nature (Shibata Masaaki)

 

AICAD 2018 by STAIL.MY 4
Fotografi oleh tukang gambar terkenal Jepun

 

AICAD 2018 by STAIL.MY 5
Pengunjung mengamati sebuah lukisan di AICAD 2018
P/S GAMBAR UTAMA AICAD 2018 OLEH SITI BALKIS MOHD SALLEH

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE