SEARCH

Remy Ishak & Izara Aishah Bintangi Ombak Rindu 2019

Remy Ishak & Izara Aishah Bintangi Ombak Rindu 2019

Melengkapkan kisah trilogi cinta agung yang pernah ‘menggetarkan’ jiwa rakyat Malaysia, iflix melancarkan drama Ombak Rindu 2019.

Hasil adaptasi novel trilogi terlaris nukilan Fauziah Ansari ini mengandungi empat episod yang bakal melengkapi kisah cinta antara Hariz (Remy Ishak) dan Izzah (Izara Aishah) dalam bentuk drama web bersiri.

Imbas semula pada 2011, ‘Ombak Rindu’ adalah sebuah filem adaptasi daripada novel pertama, mengisahkan tentang Izzah, seorang gadis naif yang dijual sebagai pelacur oleh bapa saudaranya. Kemudian Hariz mengambil Izzah sebagai perempuan simpanan. Di dalam filem tersebut, cinta berputik antara mereka yang akhirnya membawa ke jinjang pernikahan.

Populariti filem ini turut mendapat pengiktirafan atas kejayaannya yang menyeluruh – untuk barisan pelakon, pengarah, serta anugerah untuk sinematografi dan lagu tema yang menguatkan lagi status ‘Ombak Rindu’ sebagai sebuah kisah cinta yang ikonik. Walau bagaimanapun, filem ini turut terpalit kontroversi dengan adanya adegan rogol yang dikritik hebat oleh pengkritik dan penonton filem tempatan.

Remi Ishak & Izara Aishah Bintangi Ombak Rindu 2019 1

Ombak Rindu terus mekar di antara filem yang berada di tangga 15 filem Malaysia teratas dan berjaya mengutip lebih daripada RM10 juta kutipan. kita nantikan pula bagaimana prestasi dan penerimaan terhadap drama ombak rindu 2019 ini yang bakal menyusul kelak.

Lapan tahun kemudian, bersama Infinitus Entertainment, iflix melengkapi kisah cinta trilogi ini daripada novel adaptasi ‘Cinta Tiada Akhirnya’ (Ombak Rindu 2) dan ‘Rindu Cintaku’ (Ombak Rindu 3), yang berkisar tentang perjalanan Hariz dan Izzah menempuhi onak, duri dan ranjau dalam percintaan setelah rahsia silam mereka muncul kembali.

Barisan pelakon drama ‘Ombak Rindu 2019’ ini terdiri daripada bintang filem yang terkenal seperti Remy Ishak sebagai Hariz, Izara Aishah sebagai Izzah, Diana Danielle sebagai Mila, Hanna Aqeela sebagai Elin dan Uqasha Senrose sebagai Hazirah. Osman Ali, satu nama yang bukan asing lagi dalam industri filem tempatan, kembali selaku pengarah drama web bersiri ini.

Remi Ishak & Izara Aishah Bintangi Ombak Rindu 2019 2

Gayatri Su-Lin Pillai selaku penerbit eksekutif berkata, “Pada peringkat awal pengembangan konsep dan visualisasi novel terlaris ini, kami berhasrat berjaya menghasilkan sebuah produk yang bukan sahaja visualnya menarik tetapi juga menampilkan gabungan barisan pelakon yang terbaik dan pengarah yang berwawasan tinggi.

Novel-novel karya Fauziah menjadi asas cerita yang ingin dipersembahkan, tetapi kami juga mengakui hakikat bahawa ia perlu diberi nafas baru untuk mempamerkan kisah wanita Melayu moden, namun tetap mengekalkan aspirasi novel asal. Apa yang kami tawarkan kepada penonton ialah suatu siri yang diinspirasikan dari novel, yang akan membawa penonton merentasi pengalaman pahit-manis, debaran kehidupan, drama dan yang paling penting, takdir dalam percintaan,” ujarnya.

Ombak Rindu 2019 bakal ditayangkan di iflix pada penghujung 2019.

Remi Ishak & Izara Aishah Bintangi Ombak Rindu 2019 3

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE