SEARCH

5 Soalan Bersama SKL0 Tentang Kontroversi Seni Di Singapura

5 Soalan Bersama SKL0 Tentang Kontroversi Seni Di Singapura

Berjalan di bangunan rumah kedai zaman peninggalan British yang panjang di Lebuh Victoria ini sangat mengujakan. Art Lane adalah rumah seni yang didedikasi untuk pelukis-pelukis tempatan, juga dari luar negara, untuk menzahir dan meluahkan ekspresi seni mereka secara terbuka. Kemasukan adalah percuma untuk pengunjung merayap dan sesat dalam kehalusan seni-seni dan mural yang terdapat di sini. Terdapat juga gerai-gerai kecil yang menjual aneka barangan seni yang bervariasi.

Sedang khayal mengamati seni-seni yang dipamerkan, saya akhirnya berjumpa dengan pelukis asal Singapura, Sam Lo atau SKL0 yang tersenyum lebar di satu sudut. Mulanya saya mahu menemuramah SKL0 bersama Akid One, pelukis asal Malaysia yang berkolaborasi bersama SKL0 untuk mural harmoni antara Singapura dan Malaysia di Art Lane ini. Namun akibat kecemasan yang dihadapinya dan kekekangan masa, saya hanya ditemani SKL0.

SKL0 x akid one STAIL.MY 1

Sebelumnya, saya diundang ke George Town Festival 2018 bagi menghadiri acara #ConneXions: Passion Made Possible yang berlangsung selama tiga hari dari 31 Ogos hingga 2 September 2018 yang lalu. Ikuti temubual eksklusif saya bertanyakan 5 soalan bersama SKL0, berbicara tentang isu dan perkembangan serta kontroversi seni di Singapura, seperti di bawah:

 

Sam Lo @ SKL0 STAIL.MY
Sam Lo @ SKL0
1 – Pandangan kamu tentang perbezaan antara industri seni di Malaysia dan Singapura?

Saya rasa di Malaysia, terdapat banyak medium seni yang digunakan untuk menghasilkan mural atau seni dinding. Bukan hanya sekadar menggunakan cat sembur (spray paint), terdapat juga medium-medium lain yang digunakan seperti catan dan cat air. Sedangkan di Singapura pula, kami banyak menggunakan cat sembur untuk menghasilkan graviti.

Malah saya lihat mural di sini bukan hanya memainkan perkataan sahaja (seperti graviti tipikal), mereka (pelukis Malaysia) juga pandai melukis karakter atau watak di seni mural mereka. Konsep seni amat berbeza. Ia lebih interaktif, saya kira. Saya melihat seni dinding dan mural di Malaysia lebih bersifat eksperimental dan abstrak. Terutama di Pulau Pinang.

2 – Jelaskan sedikit sebanyak tentang industri seni di Singapura?

Kebelakangan ini, terdapat banyak tempat-tempat seni yang dibuka di Singapura, saya percaya. Terdapat banyak lokasi dan kedai-kedai makan seperti café yang menyokong pelukis dan orang seni Singapura. Kerajaan bersama organisasi bukan kerajaan juga banyak menganjurkan festival seni sepanjang tahun. Mereka menggalakkan artisan tempatan untuk lebih banyak menghasilkan seni untuk kawasan awam.

Saya boleh katakan, kami mempunyai “legal wall” untuk pelukis-pelukis menghasilkan graviti dan mural mereka sendiri. Kerajaan membenarkan pelukis-pelukis bebas untuk menghasilkan seni mereka di sini. Singapura juga mempunyai banyak taman papan seluncur dan kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti Arab Street dan Little India yang mereka boleh secara ‘halal’ mengekspresikan karya mereka.

 

3 – Lokasi-lokasi seni di Singapura?

Muzium Seni Singapura, Galeri Nasional Singapura, Muzium Seni & Sains Marina Bay Sands, The Arts House, Art Stage, SAM aT 8Q, Aliwal Arts Centre, LUMAS, Intersections Gallery dan banyak lagi.

4 – Pada hemat kamu, adakah undang-undang Singapura yang ketat mencengkam industri seni di negara kamu?

Saya rasakan ia memberi kami, penggiat-penggiat seni di Singapura semacam satu cabaran. Kadang-kadang sebagai pelukis, apabila kita menyentuh isu-isu sensitif, kami harus berwaspada dan pastikan ia tidak melampaui batas. Umum mengatakan industri seni di Singapura ditekan, tetapi bagi saya ia memberi cabaran positif yang ideal.

Saya percaya, penggiat seni di Singapura sudah cukup matang untuk berdikari. Masakan kami boleh mengembangkan sayap hingga ke Malaysia, bagi menghasilkan seni dan mewakili Singapura. Maknanya kami mampu. Katakan memang benar kalau-kalau industri seni di Singapura diabaikan, kami harus mencabar diri untuk mengatasinya. Yang penting strategi dan cara kamu merancang. It’s a fun part.

Bagi saya, ia menarik. Akhirnya dek ‘cabaran-cabaran’ ini, kami menghasilkan seni-seni yang berkenaan dengan era dan perkembangan semasa di Singapura. Kami lakukan secara teliti dan melukis apa yang terjadi di masa sekarang. Seni-seni yang kami hasilkan memberi satu gambaran tentang Singapura di era saya. Mungkin di masa mendatang, pelapis-pelapis seni di Singapura akan melihat perkembangan seni ini secara lebih mendalam.

5 – Harapan & visi kamu untuk seni di Singapura

Saya mahu melihat lebih banyak pendidikan seni di Singapura. Saya berharap agar orang-orang seni di Singapura supaya meneruskan karier seni mereka. Melihat mereka melangsungkan kehidupan dengan perkara yang mereka suka, bukan menjalani perkara yang mereka tidak suka. Paling penting, saya mahu pelajaran seni yang baik untuk masyarakat lebih menghargai.

Singapura masih muda. Saya faham dasar negara yang lebih memberi fokus kepada ekonomi dan infrastruktur. Pengenalan seni di Singapura masih baru, jadi kami mula mengadakan festival-festival seni bagi memberi pengetahuan seni kepada orang awam. Strateginya ada. Langkah demi langkah.

Saya harap langkah seterusnya adalah mengajar orang Singapura tentang proses seni, mengapa seni penting untuk perkembangan dan sahsiah negara dan menghargai orang-orang seni itu sendiri. Dari sini, saya harap kami, penggiat seni di Singapura mendapat sokongan padu daripada penduduk Singapura, sebelum bergerak ke langkah yang seterusnya di masa hadapan. Dengan izin tuhan.

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE