SEARCH

Spektrum Muzik Zak Abel – Cereka EDM, Akustik & Afro Music

Spektrum Muzik Zak Abel – Cereka EDM, Akustik & Afro Music

Zak Abel penting. Sepenting genre muzik pop sedia ada. Zak menggubah lagu yang mutakhir. Ia bernadi dan bernyawa serta membekas. Muziknya tidak hanya sebatas melodi dan kata-kata, ia seakan-akan boleh disentuh, boleh dirasa. Seraya itu, saya terpanggil untuk menemuramah dan menulis tentang pemuzik dan artis baharu yang menarik, yang satu ini.

Ia sesuatu yang jarang ada pada seseorang artis, namun Zak punyainya. Sama ada menulis tentang kehidupan, menggubah unsur-unsur muzik elektronika, yang berat bernada afrohouse atau hanya bermain piano, penyanyi baru berbakat yang baru sahaja berusia 22 tahun ini beranggapan komposisi lagu adalah harus dan perlu disuntik sifat optimistik.

Menjalani kehidupan yang kurang bertuah, tidak seperti artis-artis barat yang lain, dia bermula dari bawah. Bagi Zak, membikin muzik adalah harapan dan keinginan yang tulen supaya pendengar dapat merasa dan berkaitan dengannya.

Dia yang sebelum ini belum lagi bergelar artis secara rasmi, mempunyai fanbase yang kuat, sekitar tiga juta mainan lagunya di SoundCloud dan 1.1 juta tontonan di Youtube. Sampi hari ini, lagu-lagu dia sudahpun dimainkan sebanyak 50 juta kali di seluruh platform digital yang ada (Apple Music, Spotify dll).

Zak juga pernah berkolaborasi bersama komposer-komposer muzik yang terkenal seperti White, Joker, Bondax, Kaytranada, Wookie dan Gorgon City. Dia pernah ditampilkan di laman muzik indie yang terkenal seperti i-D dan Noisey. Baru-baru ini, gig dia tak tersangka dihadiri lebih 1500 peminat di London.

Dengan dua EP dan festival-festival musim panas yang menanti nanti, Zak kini bersedia melancarkan album debut pertamanya bertajuk “Only When We’re Naked”. Sebuah album yang menyulam citarasa muzik Afrika dan Caribbean dengan unsur EDM dan soul. Album ini bercirikan peribadi seorang Zak Abel.

“Saya suka bercerita” – Zak Abel

‘Only When We’re Naked’ bukan sahaja bercerita tentang kecelaruan remaja, malah tentang cinta dan kepercayaan. Dengan berkongsi cerita suka dan duka, Zack meruntun perasaan, mengangkat emosi pada setiap yang mendengar, “Ini cara saya melihat dunia, sama ada dengan menggubah lagu atau hanya mendengar muzik.

Dan saya tidak merasa saya sendirian, manusia punya cerita. Ia membantu mereka dalam kata-kata dan muzik, akan perasaan atau apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran. Itu muzik bagi saya, pemahaman saya tentang kendiri dan dunia,” jelas Zak tentang muziknya.

 

Terbaru, Zak Abel melepaskan single terbaru berjudul Love Song, hasil kolaborasi bersama penerbit legenda pop, Steve Mac (penerbit yang sama untuk Charli XCX & Ed Sheeran). Perkahwinan audio ini melahirkan lagu yang mengangkat vokal kasar Zak yang shahdu, disulam pula dengan tanda dagang Mac yang popular.

Zak berkata, “Saya harus jujur, ‘Love Song’ adalah ‘lagu marah’ saya yang pertama, yang pernah saya nyanyikan. Ia tentang kisah perpisahan dengan orang yang selalu memandang rendah terhadapmu. Ucap selamat tinggal dengan perspektif negatif mereka.

Ia juga tentang muhasabah diri, self-respect dan hidup dengan nilai kehormatan kamu sendiri, sekali lagi. Ia sebuah lagu yang penting bagi saya dan ia bukanlah lagu cinta!,” jelas Zak lega.

Zak Abel by STAIL.MY 1

Single terkenal Zak yang bertajuk All I Ever Do (Is Say Goodbye) pula bercakap langsung dari hatinya, bercerita tentang pengalamannya kehilangan seseorang yang tersayang. Ia satu trak yang menarik perhatian ramai, juga pengkritik-pengkritik muzik di London dan didengar lebih 3 juta penstriman.

Ramai orang menyangka yang mereka tidak berhak untuk bercinta, dan saya rasakan ia ‘bodoh’ kerana kita semua mampu” – Zak Abel

Bekerjasama bersama White (komposer yang sama membikin lagu untuk Adele dan Sam Smith), Zak yakin berkata, “Akhirnya saya rasa saya membuat sesuatu yang pendengar boleh kaitkan. Itu lah sebabnya kenapa kamu menggubah lagu, kerana kamu ada sesuatu yang ingin disampaikan.”

Anak lelaki yang mengendong darah Maghribi di sebelah bapa dan Yahudi-British di sebelah ibu ini dibesarkan di utara London, England setelah ibubapanya berpisah. Walaupun hak penjagaan Zak memihak kepada si ibu, Zak selalu berjumpa bapanya di Israel (lokasi pertama ibubapa Zak bertemu) sehingga kali terakhir pada usia 12 tahun, ketika bapanya mati akibat kanser paru-paru dan jantung.

Dekat dengan bapa, Zak membesar dengan lagu-lagu dan muzik legenda kulit hitam seperti Michael Jackson, James Brown, Stevie Wonder, Ray Charles dan Barry White, “Ia mungkin kedengaran klise, tetapi ia adalah muzik yang mempengaruhi diri saya. Dan saya rasakan kerana ia saya bermain muzik,” ujar Zak.

Zak menambah, “Saya pernah berpindah ke Perancis untuk belajar muzik, di mana saya berlatih muzik sehingga lima jam sehari, enam kali seminggu. Persaingan muzik di sana sangat sengit dan ia membawa saya ke tahap yang seterusnya. Saya sedar saya lebih cintakan muzik, namun saya juga suka wanita,” ucap dia berseloroh.

Pulang ke England, Zak secara spontannya memuatnaik beberapa video ke laman Youtube, dia bernyanyi lagu-lagu cover seperti lagu Amy Winehouse dan Drake, yang akhirnya menarik minat beberapa pengurus dan pencungkil bakat rumah-rumah rakaman besar di London.

Masa depan Zak cerah. Dengan wajah kacukan Arab-Magribi-Yahudi-British yang tampan, tak menjadi satu kejutan jika suatu hari nanti dia mengembangkan sayap ke pentas muzik Hollywood pula. Punya humor dan selalu tertawa kecil layak remaja yang lain, siapa sangka anak muda yang baru setahun jagung ini amat berdedikasi dengan muzik.

Malah segalanya yang dilakukan Zak, terlihat sangat bersahaja. Dia punya karisma yang tersendiri dan boleh dinobatkan sebagai nama-nama baru yang makin naik di industri muzik antarabangsa sekarang. ‘Only When We’re Naked’ meletakkan Zak di atas kelas penulis-penulis lagu yang teratas, satu kurniaan yang jarang berlaku pada artis lelaki muda baharu seperti Zak.

“Saya mahu pendengar percaya dengan diri saya ketika saya menyanyi. Saya mahu membikin sesuatu yang jujur dan berguna. Boleh sahaja saya menggubah lagu yang hot dan trending seperti sekarang, namun saya mahu membikin lagu yang punya makna dan bertahan merentas zaman,” akhiri Zak Abel.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE