SEARCH

‘Takdir Tercipta’, Hafiz & Adira Kembali Mesra?

‘Takdir Tercipta’, Hafiz & Adira Kembali Mesra?

Hafiz Suip dan Adira Suhaimi pernah mencipta fenomena suatu masa dahulu menerusi lagu duet popular, ‘Ombak Rindu’ yang turut menjadi runut bunyi filem dengan judul sama pada 2011, kini kembali ‘mesra’ dalam lagu duet terbaharu mereka yang bertajuk Takdir Tercipta.

Keserasian Hafiz dan Adira menyampaikan alunan romantis lagu itu dengan baik, berjaya meninggalkan kesan mendalam di hati peminat sehinggakan lagu ‘Ombak Rindu’ kekal popular sampai ke hari ini. Kali terakhir pasangan ini muncul secara duet menerusi lagu ‘Untuk Cinta’, lagu tema filem ‘Pilot Cafe’ (2015).

Kejayaan lagu-lagu duet mereka mendominasi radio dan carta lagu di Malaysia (akan datang ‘Takdir tercipta’), menjadikan Hafiz & Adira antara gandingan duo terkenal di persada muzik tempatan

Setelah 8 tahun berpisah, pasangan yang pernah bercinta di zaman Akademi Fantasi ini masing-masing sudah berkahwin dan menempa karier solo, mereka kembali bersatu untuk ‘Takdir Tercipta’. Lagu berentak balada ini turut diangkat sebagai runut bunyi drama bersiri ‘Lelakimu Yang Dulu’ lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose yang bakal bersiaran di TV3 mulai 19 September nanti.

‘Takdir Tercipta’ adalah hasil gubahan komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali, manakala lirik pula ditulis oleh Ikhwan Fatanna bersama penerbit drama ‘Lelakimu Yang Dulu’ iaitu Arisz Ab Rahman. Lagu ini turut mendapat sentuhan komposer dan penerbit terkenal, Omar K sebagai penerbit rakaman.

Persembahan Hafiz dan Adira yang penuh penghayatan untuk ‘Takdir Tercipta’, berjaya memberi jiwa kepada penceritaan lagu tersebut. Keserasian dan keharmonian vokal pasangan duet ini saling melengkapi. Persembahan vokal mereka sekali lagi terserlah menerusi ‘Takdir Tercipta’.

Mengulas tentang lagu duet ketiga bersama Hafiz ini, Adira berkata, “Kembali merakamkan lagu bersama Hafiz adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan. Sudah lama kami tidak ditemukan dalam lagu. Bagi saya, Hafiz seorang yang sangat komited dan profesional dengan kerjanya.

Kelunakan suaranya dan kemahiran seni vokalnya sememangnya kekuatan dia. Senang bekerja dengan Hafiz dan kerana itulah kami cepat serasi dalam berduet untuk sesebuah lagu.

Saya harapkan ‘Takdir Tercipta’ mendapat sambutan luar biasa dan sokongan tak berbelah bahagi daripada peminat. Semoga lagu ini sentiasa di dalam ingatan peminat sebagaimana lagu ‘Ombak Rindu’ yang pernah menjadi fenomena suatu masa dahulu,” hajat Adira dalam senyuman.

Sementara itu, lagu solo Hafiz dan Adira iaitu ‘Kisah Cinta Kita’ dan ‘Pujaan Hati’ masih mendominasi corong-corong radio tempatan. Satu fakta yang mungkin ramai tidak sedari ialah kedua-dua lagu solo mereka ini dicipta oleh penulis lagu yang sama untuk lagu duet ‘Takdir Tercipta’.

Mengulas tentang ini, Hafiz berkata,

“Sebenarnya tak dirancang pun untuk menggunakan penulis lagu yang sama untuk ‘Takdir Tercipta’.  Saya kira ia kebetulan saja kerana komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali sering bekerjasama. Secara peribadi, saya memang suka dengan karya-karya ciptaan mereka.

Lagipun sudah lama saya dan Adira tidak menyanyi bersama. Jadi saya harap penggemar muzik tempatan dapat menerima baik ‘Takdir Tercipta’ dan usaha kami untuk kembali berduet. Agar ‘Takdir Tercipta’ dihargai kerana lagu ini memang kami persembahkan khas buat peminat yang setia menyokong kami selama ini,” ucap Hafiz teruja.

Hafiz sempat berseloroh istimewanya gandingan ‘mesra’ ini adalah kerana lagu duet mereka hanya muncul 4 tahun sekali

Takdir Tercipta adalah terbitan dan edaran Nova Music (M) Sdn Bhd. Lagu ini boleh didengarkan di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox , Deezer dan iTunes.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE