SEARCH

Teater Sejarah & Budaya Melaka Bertaraf Dunia di Encore Melaka

Teater Sejarah & Budaya Melaka Bertaraf Dunia di Encore Melaka

Warga tempatan dan pelancong asing di negeri Melaka kini berpeluang untuk menyaksikan persembahan teater bertaraf dunia, ENCORE MELAKA di IMPRESSION CITY, yang bakal menjadikan kunjungan mereka ke negeri bersejarah ini lebih mengujakan.

Encore Melaka by stail.my 1

Persembahan teater bertaraf dunia dalam produksi yang belum pernah dipertontonkan ini diarahkan oleh Wang Chaoge dan mendapat ilham daripada sejarah Melaka yang kaya dengan budaya dan adat resam. Sebelumnya, Wang ialah pengarah seni bagi Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008 yang lalu.

Selepas mengkaji sejarah, budaya dan ketamadunan masyarakat Melaka yang majmuk selama hampir dua tahun, penceritaan semula Wang akan membawa penonton menyelusuri waktu, bermula daripada empayar Melaka sehingga pembangunannya yang kini sudah pun menjangkau sehingga enam abad.

Dipentaskan dengan pelbagai lagu dan tarian yang menarik, pementasan ini adalah kompilasi cerita budaya yang mencerminkan masyarakat majmuk dalam meraikan kepelbagaian dan keberagaman serta bersifat inklusif. Ia menzahirkan keharmonian yang wujud di negeri Melaka.

Ia adalah cetusan idea daripada visi Datuk Wira Boo Kuang Loon, Ketua Pegawai Eksekutif Yong Tai Berhad, yang mencintai kampung halamannya di Melaka.

“Ïni detik bersejarah bagi Melaka. Saya percaya ENCORE MELAKA akan berupaya menaikkan lagi status bandar bersejarah ini sebagai lokasi pelancongan terunggul di Malaysia, sekaligus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara serta menambah peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. Bersedialah untuk mendengar dan melihat suara hati sebenar masyarakat Melaka,” ucap Datuk Wira Boo.

Encore Melaka by stail.my 2

Persembahan teater mega berdurasi 70 minit ini bakal mengimbas kembali kisah yang semakin dilupakan seperti kisah-kisah pelayaran awal di Melaka, pelayaran misi diplomatik Laksamana Cheng Ho, penempatan orang Asli Melaka serta pertembungan budaya seperti Baba Nyonya.

Penonton akan terus-terusan dihiburkan menerusi pelbagai era, yang dipersembahkan dalam Bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil dan dialek Melaka serta Portugis.

“Saya teruja dan sangat terinspirasi dengan sejarah dan budaya masyarakat Melaka yang berwarna-warni. Ia seperti syurga untuk keharmonian bangsa. Saya terpesona dengan orang tempatan yang sangat menghormati dan bertimbang rasa terhadap perbezaan budaya.

Tiada tembok pemisah antara dahulu dan sekarang, Melaka kekal sebagai tamadun dan tauladan keharmonian sosial. ENCORE MELAKA satu perjalanan yang indah buat saya dan saya mahukan penonton merasakan pengalaman yang sama menerusi persembahan teater ini,” ujar Wang teruja.

Encore Melaka by stail.my 3

ENCORE MELAKA menampilkan projeksi video yang inovatif dan mengagumkan serta set pentas haudralik bertingkat dengan pencahayaan dan teknik akustik termaju. Ia pentas teater terbesar di Asia yang boleh menempatkan lebih 2,000 penonton dalam satu sesi pementasan, di atas platform unik yang boleh berputar 360 darjah.

Bangunan teater ini direka oleh Wang Ge dari Institut Reka Bentuk Seni Bina Beijing, China dan merangkumi kawasan seluas 15 hektar tanah yang berhadapan permandangan Selat Melaka. Struktur bangunan berkonsep moden dan menggunakan porselin putih dan biru sebagai hiasan luaran serta kanopi organik, yang terbentang dari pintu masuk menuju ke ruang legar.

Encore Melaka by stail.my 4

Kunjungi dan rasai sendiri pengalaman seni persembahan teater sejarah dan budaya bertaraf antarabangsa hanya di ENCORE-MELAKA yang terletak hanya 3.5km dari Jonker Street di alamat No. 1 Jalan KSB, Impression 8, Impression City @ Kota Syahbandar, 75200, Melaka, Malaysia.

Waktu tayangan:
BERMULA 1 OGOS 2018
ISNIN-SABTU (5:30pm & 8:30 pm)
AHAD (2:30pm & 5:30 pm)

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE