SEARCH

‘Terbanglah’ Sekumpulan Orang Gila Sambil Bermain Irama Gamelan Jawa

‘Terbanglah’ Sekumpulan Orang Gila Sambil Bermain Irama Gamelan Jawa

“Cinta akan selalu memberi tahu bila perlu lari, bila perlu berhenti”

Sungguh mengesankan kata-kata ini. Ini lah bait lirik dalam tulisan jawi sebagai pembuka muzik video lagu terbaru yang bertajuk “Terbanglah” oleh Sekumpulan Orang Gila (SOG).

Antara campursari yang begitu cantik sekali. Cukup indah di telinga dan terdengar tak keterlaluan. Dengan lirik yang membekas, ‘Terbanglah’ tidak merosakkan sama sekali seni muzik Langgam Jawa ini, malah menambah rencah bersama instrumen-instrumen moden yang ikut bermadu sempurna.

Kali terakhir saya mendengar campursari seperti ini 13 tahun yang lalu, dalam lagu yang berjudul “Asmaradana” nyanyian Tiara Jacquelina untuk lagu tema filem “Puteri Gunung Ledang” (2004). Itupun dalam rentak balada, ‘Terbanglah’ pula datang dalam rentak yang lebih garang – rentak Post-Hardcore sebagai konsep utama penghasilan melodi.

Sekumpulan Orang Gila

Sangat mengagumkan. Sungguh tidak tersangka rentak yang keras seperti ini dapat bermain selari bersama alatan dan irama muzik tradisional. Masih ingat ketika berkelana ke Yogyakarta April yang lalu, saya terdengar ‘Asmaradana’ dimainkan di sana. Dan mungkin bila nanti saat ‘Terbanglah’ pula didendangkan bersama.

Bagi yang kurang mengenali, mereka adalah kugiran muzik Metalcore tempatan yang terdiri daripada lima anak muda berbakat seperti Riko (Vokal / Peneriak), Amsyar (Gitar), Nazrin (Gitar / Suara / Seruling / Cello), Adek (Drum) dan Qayyum (Bass).

SOG pandai memadukan elemen muzik pribumi seperti rentak dan melodi Nusantara, Afrika, India, Arab serta muzik asli dan tradisional Melayu bersama pengaruh elemen-elemen muzikal klasik dari zaman Baroque (abad 16) hinggalah ke zaman Romantis (abad 18). Sehingga menghasilkan muzik seakan hibrid yang baru dan segar dalam industri Heavy Metal tempatan.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE