SEARCH

#REVIEW The Phantom of The Opera Menghantui Istana Budaya!

#REVIEW The Phantom of The Opera Menghantui Istana Budaya!

The Phantom of The Opera sedang berlangsung selama tiga minggu mulai 15 Jun sehingga 7 Julai 2019 di Panggung Sari, Istana Budaya. Saya diberi kesempatan menonton malam gala teater muzikal arahan Andrew Lloyd Webber ini, Selasa (18 Jun 2019) lalu dan apa yang boleh saya katakan ia suatu pengalaman yang menakjubkan!

Baru sahaja melangsungkan dua minggu persembahan di Singapura, terdahulu di Filipina, produksi yang terbang jauh dari Broadway, New York ini berjaya merubah Istana Budaya menjadi Opera House era 1911 di Paris, lengkap dengan muzik dan kostum-kostum klasik yang mengagumkan.

Pada sebelah petangnya, saya bersama rakan media terpilih yang lain diberi kesempatan pula untuk meninjau belakang pentas secara eksklusif. Saya sempat kagum dan terpegun melihat persiapan yang dilakukan krew produksi. Padanlah persembahan teater yang satu ini bertaraf dunia. Melihat prop-prop nya sahaja boleh membuat kamu semua terpesona.

The Phantom of The Opera ini adalah persembahan paling lama dalam sejarah Broadway yang bermula sejak 9 Januari 2009. Tahun lalu, pementasan legenda ini baru sahaja merayakan 30 tahunnya sejak pertama kali dipentaskan di Her Majesty’s Theatre di West End, London pada 9 Oktober 1986.

Berdasarkan novel klasik Le Fantôme de L’Opéra karya Gaston Leroux. The Phantom of The Opera menceritakan kisah romantis seorang genius muzikal yang cacat dan hanya dikenali sebagai ‘Phantom’ (lembaga) yang menghantui Rumah Opera Paris.

Terpukau dengan bakat dan kecantikan bintang soprano muda, Chirstine Daaé (Megan Picerno) – Phantom (Jonathan Roxmouth) mengorak langkah untuk memikat, tanpa menyedari cinta Christine terhadap Raoul (Matt Leisy). Obsesi Phantom itu menyebabkan pelbagai peristiwa dan adegan dramatik terjadi, di mana ego, cemburu dan nafsu sang lembaga teater ini berkelahi sesama sendiri.

Lampu-lampu gas lama yang menyala-menyala di atas pentas. Bayangan demi bayangan karakter muncul menjulang dan jauh di atas semua, Chandelier (yang dipasang khas untuk pementasan ini) yang berkilauan itu berkedip-kedip dan bergoyang setiap kali ‘Phantom’ membuat kemunculan.

Mungkin boleh dikatakan sebagai salah satu watak utama, Chandelier itu menerangi tindakan melodramatik Phantom dan menyapa mereka dengan marah bersama iringan muzik bernada tinggi, digubah oleh Andrew Llyod Webber sendiri.

Diatur dengan serba mewah oleh David Andrews Rogers selaku pengarah muzik dan konduktor, muzik ini membasahi jalan cerita dengan penuh dramatik. Lagu-lagu seperti ‘The Music of the Night” dan lagu tema ‘The Phantom of The Opera’ memainkan emosi dan getaran perasaan yang tak tertahankan.

Pemandangan pentas dan kostum yang direncana untuk pementasan The Phantom of the Opera ini sangat terperinci dan luar biasa. Kandil-kandil lilin muncul dengan menakutkan dari kabus ‘sarang’ bawah tanah milik Phantom. Tangga dan bangunan cantik untuk babak “Masquerade” yang mengesankan. Di tiap sosok dan wajah-wajah yang terlibat, membikai aksi dan diterangi oleh seni yang menyeramkan.

Memperkukuhkan semua elemen yang cemerlang ini adalah persembahan dramatis dan koreografi ciptaan Jee Hyun Noh. Tentunya ada yang bilang pertunjukan ini sedikit panjang, tetapi bagi saya ia berbaloi dan berharga setiap masa dan ketika, berada di Istana Budaya yang berubah menjadi Broadway malam itu.

The Phantom of The Opera bakal ‘menghantui’ Panggung Sari, Istana Budaya sepanjang 15 Jun sehingga 7 Julai ini. Tiket boleh dibeli di ticketcharge.com.my

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE