SEARCH

Tanah Akhirku: Erti Merdeka Dari Perspektif Gadis Cina

Tanah Akhirku: Erti Merdeka Dari Perspektif Gadis Cina

Aeril Zafril sebagai Tengku Khalis dan pelakon teater wanita, Mei Fen Lim sebagai Yue Feng untuk sebuah teater patriotik bertajuk Tanah Akhirku sempena Hari Merdeka ke-61 yang bakal berlangsung sepanjang bulan kebangsaan ini, dari tanggal 28 Ogos hingga 2 September 2018 di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tiket Tanah Akhirku Istana Budaya oleh STAIL.MY 1

‘Tanah Akhirku’ mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis Tiong Hua yang berasal dari tanah besar China ke Tanah Melayu bernama Yue Feng (Mei Fen Lim). Yue Feng lari daripada perang saudara di China bersama adiknya ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu. Mereka kemudiannya bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai oleh kumpulan kongsi gelap.

Dengan ketidakstabilan politik dan pentadbiran pada ketika itu antara pembesar istana, pihak British dan juga pengusaha lombong, tidak ada langkah mudah untuk mereka meneruskan kehidupan di situ. Semakin hari, Yue Feng pula semakin jatuh hati dengan Tanah Melayu yang sudah dianggap sebagai tanah airnya sendiri. Cintanya juga turut mekar terhadap seorang lelaki Melayu yang baik hati bernama Tengku Khalis (Aeril Zafril).

Menurut Aeril Zafril, “Kali kedua ke pentas Istana Budaya yang berprestij ini tetap sama sahaja rasa teruja berbaur gementar, namun kali ini berbeza kerana bersama tenaga kerja anak-anak muda yang berjiwa besar. Teater yang kaya semangat rasa bersama dan pesan peringatan tentang adanya pemakai-pemakai topeng yang mampu membinasakan segenap jiwa hanya melalui kata-kata dan tingkah yang berpaling dari adab dan agama kita ini, membuatkan saya menyahut cabaran ini meski dalam masa yang terbatas. Semoga dipermudah dan diperindahkan-Nya,” ungkapnya.

A post shared by STAIL.MY (@stail.my) on

‘Tanah Akhirku’ adalah naskah yang mengajak penonton untuk melihat pembentukan negara Malaysia melalui perspektif kaum yang berbeza. Kaum Cina dan India yang datang berhijrah ke Tanah Melayu pada era penjajahan British turut memainkan peranan besar dari segi ekonomi dan dalam pembentukan budaya masyarakat Malaysia yang majmuk seperti yang ada sekarang.

Sebelumnya, Lim pernah mementaskan teater ini sebagai salah satu penilaian sewaktu bergelar pelajar tahun akhir Fakulti Teater di ASWARA. Dia bukan hanya berperanan sebagai watak utama, tetapi juga bertanggugjawab sebagai pengolah cerita asal ‘Tanah Akhirku’. Lim begitu komited memastikan jalan cerita tentang penghijrahan awal masyarakat Tiong Hua ke Tanah Melayu pasca Kemerdekaan dipaparkan dengan begitu teliti melalui naskah ini.

Menariknya pementasan teater ‘Tanah Akhirku’ ini mendapat respons yang baik dari pelbagai pihak dan pihak Istana Budaya merasakan naskhah ini bersesuaian untuk dipentaskan pada bulan Ogos demi menyemarakkan lagi rasa cinta pada negara. Elemen-elemen kemerdekaan dan rasa cinta negara yang terkandung dalam teater ini bakal menaikkan lagi rasa patriotisme rakyat Malaysia sebagai penonton.

Lim berkata, dia mendapat idea untuk pementasan ini semasa sesi pembelajaran di ASWARA. Persekitaran majmuk di kampus memberi dia pengalaman sebenar masyarakat Malaysia yang dia idamkan. Di ASWARA, kepelbagaian budaya diraikan oleh setiap pelajar dan mereka mempunyai peluang untuk memahami budaya selain daripada budaya mereka sendiri tanpa perlu meminggirkan akar budaya masing-masing.

Tiket Tanah Akhirku Istana Budaya oleh STAIL.MY 2

ASWARA memperuntukkan dana khas untuk ‘Tanah Akhirku’ walaupun dalam kekangan kewangan semasa, demi untuk melihat pelajar ASWARA berkeyakinan dan karyanya setanding dengan karya profesional dalam industri. Peluasan seni dan budaya adalah salah satu agenda utama ASWARA untuk mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang meminati bidang seni memasuki ASWARA peringkat diploma atau ijazah”

– Prof Dato’ir Dr Hj Mohd Rizon Juhari, Rektor ASWARA

Teater arahan Naque Ariffin ini akan menemui penonton pada 28 Ogos hingga 2 September 2018 bermula jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya. Antara pelakon yang terlibat seperti Aeril Zafril, Mei Fen Lim, Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Akmal Ahmad, Alfred Loh, Iskandar Zulkarnain dan Angeline Tan.

Tanah Akhirku bakal dipersembahkan di dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris, lengkap dengan sarikata Bahasa Malaysia. Tiket boleh dibeli di http://airasiaredtix.com

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE