SEARCH

Melawat ‘Yasmin at Kong Heng’ Untuk Persinggahan Pertama #inSTAILgramWorthy

Melawat ‘Yasmin at Kong Heng’ Untuk Persinggahan Pertama #inSTAILgramWorthy
Yasmin at Kong Heng

Melihat bangunan lama itu yang begitu gah berdiri di hadapan Jalan Sultan Yusuff, menangkap perhatian saya. Bangunan ini sangat unik, ia hampir diliputi penuh dengan hijauan malar yang menjalar. Namun itu bukan tujuan saya. Melainkan Yasmin at Kong Heng.

Di sebalik lorong kecil antara bangunan malar hijau itu tadi, tersorok muzium yang didedikasikan sepenuhnya kepada arwah. ‘Yasmin at Kong Heng’ dibuka secara rasmi tiga tahun lalu pada tanggal 18 Oktober 2014.

Ia sangat ringkas namun penuh dengan memori Yasmin Ahmad. Sebaik melepasi lorong kecil itu tadi, kami (sidang redaksi STAIL.MY) disambut dengan senyuman hangat penyambut tetamu muzium. Seorang wanita Cina yang sangat fasih berbahasa Melayu.

Begitulah uniknya Ipoh. Saya perasan orang Cina di sini tiada sedikit pun pelat atau punya slanga seperti orang Cina di Lembah Klang. Membuatkan saya terasa seperti berada di Melaka, ketika zaman saya menuntut di sana. Bangunan-bangunan Ipoh juga sangat mirip dengan bangunan warisan di Melaka.

Cuma terdapat beberapa bangunan yang begitu usang dan tidak dijaga rapi seperti di sana. Baiklah, berbalik pada wanita separuh abad itu tadi, dengan gaya seperti mak-mak, dia menawarkan untuk kami memilih aneka tanda tangan arwah untuk ditekap atas tiket masuk. Saya begitu teruja memilihnya.

Sumbangan masuk hanya bernilai RM3. Setelah bercanda dan bergurau senda dengan wanita penyambut tetamu tersebut, kami pun melangkah masuk ke dalam muzium.

Kemudian beberapa siri puisi dan kutipan mutiara kata arwah terpapar sepanjang perjalanan naik ke tingkat kedua bangunan Kong Heng ini. Serta beberapa koleksi gambar peribadi arwah di Bali yang sangat langka sekali.

Kamu akan disambut dengan sebuah mural Yasmin Ahmad yang sangat kreatif dan comel sekali.

Di tingkat dua, barulah kamu berjumpa dengan pintu masuk. Sebaik pintu terkuak, saya tidak menyangka muzium ini begitu santai sekali. Terdapat sebuah televisyen di ruang legar utama yang memainkan tanpa henti hasil-hasil kerja seni, iklan dan filem arahan arwah.

Ia menangkap memori semasa kecil tiap kali iklan raya Petronas arwah dimainkan. Iklan-iklan raya seperti “Al-kisah janda beranak tujuh” (2003) dan “Aku Ingin Pulang” (2006) sangat membekas dalam ingatan.

Petronas syarikat minyak dan gas nasional. Yasmin pada masa itu sedar bahawa jenama gergasi ini begitu jauh dengan rakyat Malaysia. Saya kira arwah ingin membawa jenama nasional ini supaya dekat dengan hati rakyat. Dan saya rasa ia berjaya.

Iklan dia juga turut menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang. Saya lihat iklan-iklan arahan arwah membuka pintu kepada perbincangan yang sering dianggap remeh dalam membina negara bangsa semasa itu. Semangat kekitaan. Semangat bangsa Malaysia.

Isu-isu kecil yang sering kali kita terlepas pandang. Isu-isu seperti menghormati orang tua, berbaik-baik sesama jiran tetangga, berbuat baik sesama insan dan ia hanya berkisar tentang kehidupan ringkas rakyat marhaen seperti kita, namun dibawa dengan cukup sempurna. Ringkas dan difahami semua.

Terdapat juga sebingkai poster kolaj filem-filem yang pernah dihasilkan arwah. Di sebelahnya pula terdapat sebingkai gambar kebaya putih kegemaran arwah yang turut dipaparkan bersama. Bagi arwah, pakaian tradisional melambangkan keperibadian seseorang. Ia membawa prestij dan asal usul si pemakainya.

Saya dan rakan-rakan redaksi datang jauh dari Kuala Lumpur untuk melihat hasil kerja seni Yasmin Ahmad. Kehidupan dia. Kepercayaan dia. Ideologi dia. Ini persinggahan pertama kami. Kami cinta akan suasana muzim ini, seni-seni, koleksi barang peribadi dan budaya yang arwah perjuangkan semasa hidupnya.

‘Yasmin at Kong Heng’ bukan hanya setakat sebuah muzium, melainkan memoir hidup untuk seorang insan seni yang berjiwa besar. Seorang sutradara yang bernama Yasmin Ahmad.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE