SEARCH

#AdamXAlis : Bersama Hatta Dolmat Singkap Baju Nikah Yuna

#AdamXAlis : Bersama Hatta Dolmat Singkap Baju Nikah Yuna

#adamxalis Yuna Hatta Dolmat

Pernikahan #AdamXAlis, Yuna atau Yunalis Mat Zara’ai dengan Adam Sinclair masih tersimpan lagi dalam ingatan. Rasa seperti baru semalam mereka berdua bernikah, walhal majlisnya pada hujung minggu lepas. Mengapa masih terfikirkan pernikahan #AdamXAlis? Kerana kami rasa pernikahan itu sangat cantik.

Suasana Puncak Rimba diiringi kabus dingin yang menyelimuti acara, menyaksikan seorang penyanyi antarabangsa menyimpul cintanya bersama si teruna bernama Adam tanda berakhirnya zaman bujang lalu tersemat satu momen indah. Pabila Yuna muncul mendandani diri dalam gaun kahwin daripada Hatta Dolmat… sempurna!

Gaun kahwin putih murni dengan skirt menudungi bumi, yang bahagian atasnya menyerupai baju kebaya, terletak elok pada tubuh Yuna. Jelas Hatta, “Begitu senang mereka pakaian Yuna. Saiz badannya hampir sama dengan saiz patung. Hanya sekali sahaja fitting and it fits her beautifully.”

Yuna mengumpamakan Hatta sebagai keluarga. Tidak rumit langsung bekerja dengan Yuna dalam hal-hal rekaan baju kahwin. Memudahkan kerja masing-masing.

Yuna sendiri memiliki gambaran tentang bagaimana rupa baju nikahnya. Dia mahu butiran seperti mutiara sebagai perincian (kerana Yuna sukakan mutiara) dan saya merealisasikan kehendaknya,” kata Hatta lagi.

Persiapan Hatta bersama Yuna berakhir dengan jayanya. Hatta puas hati melihat gaun nikah itu begitu sempurna digayakan oleh Yuna. Malah jarang sekali Yuna memakai putih. Namun atas kepercayaannya terhadap Hatta, untuk satu hari yang istimewa itu, Yuna memakai putih. Ditambah lagi solekan oleh jurusolek Noriana Nazuir maka lengkaplah penampilan Yuna.

#AdamXAlis : Bersama Hatta Dolmat

Apakah inspirasi di sebalik rekaan gaun nikah Yuna?

Tidak ada inspirasi spesifik. Saya mereka gaun nikah itu berdasarkan kemahuan serta kehendak Yuna. Malah, saya melihat juga faktor-faktor dari segi lokasi pernikahan, rupa pelamin, solekan yang bagaimana dan sebagainya. Daripada situ, saya membayangkan bagaimana rupa gaun nikah Yuna. Cuma rekaan pakaian tradisional Melayu mengilhami saya di mana bahagian atasnya saya menggabungkan siluet baju kebaya dengan sesuatu yang moden seperti kolar mandarin.

Nampak kontemporari. Asalnya lengan baju nikah hanyalah lengan biasa yang slim fit kerana mengenali Yuna, dia sukakan keringkasan. Tetapi semasa fitting, kami berdua terfikir untuk mengubah lengan itu kepada bentuk ala bell shape dan Yuna juga bersetuju! Ia nampak cantik saat dipakai olehnya.

Untuk majlis persandingan pula?

Juga sama. Tidak ada inspirasi secara spesifik. Siluet baju kebaya diteruskan untuk majlis persandingan. Leher baju kebaya bentuk ‘V’ dengan tambahan manik-manik bergemerlapan. Saya menyuntik ciri-ciri kemelayuan untuk mengekalkan ciri tradisonal, cuma pembaharuan pada skirt kembang. Dalam masa sama masih menjaga kesopanan Yuna.

Idea untuk baju nikah dan sanding itu adalah idea Yuna sendiri?

Ya. Sewaktu perbincangan kami tentang baju nikah serta baju sanding, idea-idea itu datang daripada Yuna sendiri. Senang, kerana Yuna tahu apa yang dia nak. Jadi ia memudahkan proses. Dan tujuan saya menggabungkan elemen moden itu kerana ia adalah identiti Yuna. Kita semua tahu bahawa Yuna orangnya moden. Saya tidak menepiskan jati diri itu pada rekaan ini.

Berapa lama persiapan ini?

Ia mengambil masa berbulan-bulan juga dari tahun lepas lagi. Sebaik saja tamat majlis pertunangan Yuna tahun lalu, terus saya membincangkan rekaan baju nikah dan sanding bersamaYun serta ibunya.

Fokus diberi sepenuhnya pada persiapan ini?

Betul. Sebab itulah tahun lepas saya jarang-jarang membuat kemunculan di acara tertentu dan tidak membuat apa-apa pertunjukan fesyen khas. Kerana saya mahu memberi perhatian pada baju nikah dan sanding ini.

Untuk baju nikah dan sanding, fabrik apakah yang kamu gunakan?

Untuk baju nikah, fabrik daripada pembelian Yuna di Mood Fabrics di Los Angeles dan kain yang diberi oleh keluarga belah Adam. Saya ingat lagi sewaktu pemilihan kain, kami berhubung menerusi Whatsapp untuk memastikan apa yang dibeli itu betul. Dia sangat suka pada butiran mutiara, jadi kain yang dipilih untuk nikah ada perincian tersebut. Saya cantumkan ia bersama kain sifon bagi mencipta efek lembut itu. Manik-manik turut ditambah (Yuna pertama kali memakai baju penuh manik) dan dia suka pada perincian itu. Renda yang digunakan juga adalah renda moden.

Manakala untuk bersanding pula, saya merekakan baju yang ada perincian berlian serta batu berkilau-kilau kerana saya mahu sesuatu yang lain buat Yuna. Saya gabung ia bersama kain Italian satin untuk mendapatkan expansivity pada bahagian skirt yang ditambah can-can. Pacak ketor sanggul dan kain selendang panjang itu adalah idea Yuna juga ibunya, kerana mereka mahu menyelitkan budaya Melayu klasik dalam pakaian sanding.

Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang proses membikin pakaian kahwin Yuna?

Alhamdulillah, tidak ada kekangan atau cabaran besar. Mungkin cabaran kecilnya adalah mencari kain di sini untuk dipadankan dengan kain yang dibeli oleh Yuna di Los Angeles (untuk baju nikah). Kerana palet warna kain tersebut yang seakan-akan off white, barangkali tidak ada di Malaysia. Jadi agak susah untuk menjumpai kain yang sama. Tetapi, mujur ada kain yang dalam keluarga warna sama dan ia nampak sedondon.

Yuna jarang memakai baju yang penuh berlian, manik dan baju yang berlengan bell sleeve. Apa lagi yang baharu buat Yuna?

Haha! Saya mengajar dia memakai can-can. Saya ingat lagi Yuna meminta saya menunjukkan cara menyarung can-can untuk baju bersanding. Bukan senang, ya! Malah siluet kembang itu juga baru buat Yuna. Bersempena hari istimewa ini, Yuna memberanikan diri untuk mencuba kelainan. She is such a good sport. 

Untuk veil pula, kamu menggunakan…

Saya menggunakan kain net halus polos. Kerana bajunya sudah penuh manik, berlian, mutiara dan batu. Jadi veil polos untuk tidak nampak keterlaluan.

Kamu dengan Yuna ada citarasa berbeza. Bagaimana kamu berdua selaraskan stail masing-msing?

Benar. Kami mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Seperti yang kamu tahu, saya sukakan rekaan yang berkilau-kilau dan dramatik. Yuna pula lebih menjurus kepada sesuatu yang moden, minimum dan ringkas. Saya belajar banyak daripada Yuna, terutama sekali dalam hal simplify rekaan. Dia mengajar saya bagaimana untuk menyeimbangkan rekaan. Oleh kerana kami sudah kenal sesama sendiri, ia memudahkan kami untuk berunding, input idea masing-masing dan sebagainya.

Semasa di Puncak Rimba dengan baju nikah putih itu… rasa ‘tertekan’ tak untuk memastikan baju itu tidak kotor dan tidak rosak?

Pada mulanya memang saya terfikirkan hal itu. Gementar pun ada. Kerana saya tidak boleh membayangkan keadaan tempat tersebut. Tetapi di sana ada rumah Melayu lama Pulau Pinang yang dijadikan holding room, tempat kami menyiapkan Yuna. Dan semasa berjalan menuju ke arah pelamin, ada laluan pejalan kaki. Phew! Haha! Alhamdulillah, semuanya sempurna!

Menjadi salah seorang yang menyaksikan pernikahan Yuna dan Adam, apakah emosi atau perasaan yang bermain dalam jiwa kamu?

Secara peribadinya, ia adalah momen yang penuh emosi. Melihat Yuna menyarung dress kahwin, bersedia untuk ke pelamin itu sahaja sudah membuatkan saya rasa terharu. Lebih terbaru lagi apabila melihat ibu Yuna mengalirkan air mata tanda gembira. Saya faham perasaan ibunya waktu itu. We are so happy for Yuna!

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE