SEARCH

Bottega Veneta BVXNY : Debut F/W 2018 Di New York!

Bottega Veneta BVXNY : Debut F/W 2018 Di New York!

Bottega Veneta berkelana ke New York, melangsungkan Bottega Veneta BVXNY! Buat julung kalinya, Bottega Veneta mempersembahkan koleksi musim luruh 2018 yang terbaru di Big Apple, mengambil sempena pembukaan maison flagship di 740 Madison Avenue, New York.

Pertunjukan fesyen masa kini bagaikan bercempera. Sebelum-sebelum ini ada yang belayar menongkah arus, tidak mengikut kalendar tradisional minggu fesyen Paris dan lari pergi ke Palladium Theater di Los Angeles untuk mempersembahkan himpunan musim luruh 2016. Ada pula yang menarung langit selama dua jam, dari Milan ke London, lalu membuat pertunjukan di Tobacco Dock bagi mengiringi pembukaan butik terbarunya di Bond Street.

Bottega Veneta BVxNY
Tomas Maier

 

Kali ini, giliran Bottega Veneta pula sambil melaung tema dari Milan ke Manhattan. Ya! Bottega Veneta menyeberangi hampir sepuluh jam ke kota New York untuk memperlihatkan sandiwara rekaan-rekaan yang meligatkan citra seorang New Yorker, memegahkan kehidupan di New York di pentas minggu fesyen New York.

New Yorkers have a real bravery and boldness,” kata Tomas Maier.

Barangkali Tomas membayangkan New York being… New York. Lagak orang New York berjalan dengan dada menerpa ke depan, masing-masing seperti menagih damba dan cita, gambaran orang-orangnya yang berkarakter rencam atau bersifat individualistik yang tidak takut mengekspresikan diri, anak dagang datang bertandang menggenggam tekad juga suasana kota yang sibuk dan tidak pernah tidur lelap. New York tidak pernah terbelenggu oleh sesuatu yang menyirnakan jiwanya sebagai kota yang dahsyat.

Maka itulah himpunan Bottega Veneta musim luruh dingin kali ini – yang diadakan di bawah bumbung bangunan American Stock Exchange, dengan set yang direka oleh Scott Pask yang mereplikakan ia menjadi pentas fesyen BVxNY – mengirai imej individu berkerjaya dalam sut warna-warni, perempuan yang berseronok di Soho, lelaki yang merantau dan si wanita yang pada tengah malam memesan Chinese take-out sambil memakai pajama. Tomas memikirkan satu perjalanan hidup metropolitan, daripada sesuatu yang ekstrem kepada sesuatu yang konformis.

Tekstur, fabrik berkilat dan motif corak haiwan menjadi fokus utama. Namun Tomas menyaingi rekaan-rekaannya bersandarkan kecintaannya pada seni bina – sesuatu yang sudah lama terbina dalam dirinya. Biarpun bunyinya klise, namun Tomas bijak dalam menyisip sendi-sendi struktur bangunan-bangunan moden serta ikonik di New York. Dia mengeluarkan idea daripada seni bina bangunan New York yang berlenggek-lenggek sementelahan melakarkan motif kiub itu sebagai butiran pada rekaan-rekaan perempuan dan lelaki.

Menyambung ‘kisah cinta’ seni bina yang mengilhami Tomas, dia juga mengambil sifat geometri yang ringkas dan sederhana sebagai motif grafik yang diolah dalam rupa ilusi optik. Malah ada rekaan yang secara jelas mencedok perincian literal seni bina New York, seperti besi pada anjung kecil apartmen New York, dan dijadikan pelet warna.

BOTTEGA VENETA BVxNY musim luruh dingin 2018 : womenswear

BOTTEGA VENETA BVxNY musim luruh dingin 2018 : MENSWEAR

PEMBUKAAN MAISON BOTTEGA VENETA DI NEW YORK!

“The Maison is inspired by the city in which it’s located, but it’s filled with Italian-made products and even Italian art,” jelas Tomas.

Lima aras, disempurnakan dengan keluasan 15,000 meter persegi, ini adalah Maison ketiga Bottega Veneta dan antara yang terbesar! Maison Bottega Veneta ini tersergam indah di pinggiran jalanan Upper East Side, di 740 Madison Avenue.

Bangunan yang beridentitikan rumah bandar abad ke-19, asalnya adalah residen peribadi. Setiap aras terbahagi kepada bahagian masing-masing – aras mezanin membariskan himpunan kasut juga haruman buat perempuan, tingkat tiga pula tersusun ready-to-wear serta aksesori-aksesori perempuan, aras empat khusus untuk koleksi lelaki manakala tingkat lima dikenali sebagai The Apartment yang mempamerkan barang-barang rumah dan dekorasi.

Bangunan-bangunan pencakar langit mendayai akal budi Tomas untuk Maison ketiga ini. Elemen-elemen metalik seperti siling gangsa dan pameran kiub-kiub logam menyerupai pancaran sinar cahaya mentari.

Malah warna-warna yang digunakan pada setiap aras juga bebeza-beza. tingkat bawah disimbah warna kelabu juga beige untuk mencerminkan sifat jalanan Manhattan dan warna hijau washed di bahagian The Apartment mengimaginasikan jeladeri yang melingkari bumi New York. Ia benar-benar menterjemahkan cinta Tomas pada kota New York.

Dalam merai pembukaan Maison Bottega Veneta di New York, Tomas memperkenalkan himpunan kapsul, ‘Icons Of New York’ dengan 33 rangkaian aksesori untuk lelaki dan perempuan (di bawah). 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE