SEARCH

Apresiasi Buat Si Pengasas Di Givenchy Couture Fall 2018

Apresiasi Buat Si Pengasas Di Givenchy Couture Fall 2018

givenchy couture fall 2018

Di Musee des Archives Nationales di Paris kelmarin menjadi saksi kepada detik yang bersifat peribadi buat Clare Waight Keller. Setelah membumbung tinggi-tinggi kejayaan Clare untuk Givenchy Couture yang lalu, musim luruh kali ini dia kembali semula mengulang kemenangan. Clare menyelam ingatan kekal si pengasas Givenchy, mendiang Hubert De Givenchy dan merencanakan setiap satu rekaan couture-nya – baik untuk perempuan mahupun lelaki – bersendikan estetika-estetika Hubert.

Tahun 2018 adalah tahun masyghul buat Givenchy. Tiga bulan lepas, selepas kematian Hubert De Givenchy yang mengejutkan, ia meninggalkan bekas terutama sekali terhadap Clare. Dia yang dikira agak baru di Givenchy, dilanda khabar sedih sebegini membuatkan dirinya seperti harus mengandar satu tanggungjawab yang lebih besar. Namun, ia tidak mematahkan semangat Clare sebaliknya mengilhami dia untuk meneruskan perjuangan yang tidak ada titiknya.

Clare mengazamkan haluan rekaan-rekaan tahun ini mendasari estetika Hubert, sebagai tanda menjasai si pengasasnya itu. Di dada Clare tersisip seribu harapan, di kepalanya ada ribuan fikiran untuk menjadikan tahun ini cukup bermakna. Ingat lagi rekaan baju kahwin Meghan Markle Mei lepas yang terbit daripada inspirasi baju dewi ilham Hubert yakni Audrey Hepburn? Di pentas couture kali ini, Clare mengulang jejak. Menjunjung estetika-estetika Hubert sebagai asas rekaan – seperti teknik-teknik yang pernah digunakan oleh Hubert, mempersonifikasikan keindahan keanggunan juga elegan yang bersangkut paut dengan jati diri Hubert serta apa-apa yang ikonik fasal hasilan Hubert.

Tidak hairanlah mengapa Clare sungguhpun baru di Givenchy, dia mencipta satu tanggapan yang bagus mengenai dirinya sebagai penyandang jawatan penghulu kreatif selepas Riccardo Tisci. Dia berjaya membentuk momen-momen indah di Givenchy.

Julukan himpunan couture Givenchy kali ini adalah ‘Caraman’. Clare mencedok nama tema  ‘Caraman’ itu kerana mahu merujuk kepada rumah yang menjadi couture atelier Givenchy – Hubert memilih lokasi tersebut dan membuka atelier-nya di sana – dan rumah ini terdahulu dibina untuk Duke Of Caraman. Clare mengamati kembali cabang falsafah Hubert di pentas couture musim luruh ini, katanya ia menjelmakan semula kesemua yang kita kenang fasal Hubert, namun diperbaharui mengikut interpretasi Clare.

Ia seakan-akan ‘mesin masa’, di mana Clare merantau ke era Hubert yang dipengaruhi oleh esetika-estetika Jacques Fath, Lucien Lelong dan Elsa Schiaparelli juga zaman dia berkawan rapat dengan Cristobal Balenciaga. Clare menghidupkan seni kraf jahitan, peribadi keperempuanan, juga kualiti chicness yang pernah dibawakan oleh Hubert.

Malah ada blaus yang dipersembahkan oleh Clare di pentas couture musim luruh 2018  menggunakan fabrik satin Bettina, mencerminkan ‘Bettina blouse’, blaus ikonik yang Hubert reka untuk dewi ilham kegemarannya yakni Bettina Graziani. Selain itu, siluet seperti cape labuh, ceraian-ceraian tailleur, gaun labuh tiub, elemen-elemen interchangeable juga manipulasi pola meminjam semula inovasi Hubert namun Clare menafaskan ia dalam rupa moden.

“LEGASI HUBERT HARUS DIRAIKAN,” KATA CLARE

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE