SEARCH

Gucci Bangkit Semangat Anak Muda Untuk Pre-Fall 2018

Gucci Bangkit Semangat Anak Muda Untuk Pre-Fall 2018

Gucci juga taasub dengan protes. Gucci menongkah langit ke Paris dan beranjak ke tahun 1968. Ia memestakan suasana pemberontakan, memerihalkan anak-anak muda menuntut perubahan sebagai tema utama kempen musim pra-luruh 2018!

Gucci mempersembahkan… Dans Les Rues.gucci pre-fall 2018 campaign

Tahun 2018 galak menghidupkan protes, hal-hal membangkang eksploitasi, kemelut dunia dan menghapuskan beza-membeza antara jantina. Harakah ini secara tak langsung mendasari medan fesyen, memanfaatkan fesyen sebagai ‘senjata’ menegakkan keadilan. And for some reason, konsep protes atau pembantahan menjadi obsesi fesyen tahun ini.

Jenama-jenama fesyen memperhitungkan kembali kisah semalam yang pernah terbetik sebagai sejarah terbesar dunia mengilhami mereka. Menariknya, dua jenama – Dior dan Gucci – sama-sama bersinggah ke tahun 1968, mementaskan revolusi protes anak-anak muda di Paris.

Gucci mengangkut kita ke peristiwa yang sama untuk kempen fesyen musim pra-luruh 2018. Retrospektif bulan Mei tahun 1968 di Paris, menyandiwarakan anak-anak muda mengendong tekad di minda dan akal, berhimpun di Sorbonne University berarak memperjuangkan perubahan. Ia dipandu oleh tiga pemangkin utama yakni – rock and roll menjadi lingua franca budaya baharu, meneguhkan falsafah Jean-Paul Sartre dan pembabitan politik demokrasi.
gucci pre-fall 2018 campaign

Riak, ragam dan tindakan pemberontakan ini membekas golongan pekerja serta insan-insan intelektual dalam memperbaharui revolusi Perancis pada masa itu.

Kononnya Gucci membangkitkan anti-establishment. Anak-anak muda yang tidak gentar mengekspresikan diri berpadu tenaga mencabar ekosistem yang sedia ada. Ia menyimpul anak-anak muda yang optimis, idealis dan penuh semangat.

Imej kempen Gucci musi pra-luruh ini dirakam oleh Glen Luchford berbekalkan inspirasi ikonoklastik juga eksperimen Vouvelle Vague pada akhir tahun 50an – gerakan yang disertai pembikin-pembikin filem seperti Francois Truffaut dan Jean-Luc Godard.

Namun, daripada mengolah ia dalam rupa agresif dan penuh amarah, sebaliknya Gucci mengatur imej-imej kempen ini dalam mood romantik dan menikmati keindahan yang tersemat dalam protes tersebut. Ia mengiaskan dreamers, menyemarakkan kebebasan dan rapsodi bohemian.

Memang benar, dalam ketiga-tiga kempen Gucci musim pra-luruh yang diarahkan oleh Glen Luchford ini memperlihatkan model-model beraksi sebagai pelajar-pelajar universiti dalam kelas belajar deklamasi sajak, seraya bertukar-tukar nota yang mengandungi slogan-slogan cinta.

Saksikan kempen fesyen penuh Gucci musim pra-luruh 2018 di bawah. 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE