SEARCH

Haute Couture SS 2018: Menyimpul Apakah 6 Trend Utama?

Haute Couture SS 2018: Menyimpul Apakah 6 Trend Utama?

Haute Couture SS 2018 atau musim bunga panas 2018 menjanjikan sesuatu yang menarik? We sure hope so. Benteng Paris teguh dengan landaan cabang falsafah serta keindahan rekaan si pereka-pereka atau couturier – yang berdrama, mengabui mata kita dengan fantasi dan jalan cerita menerusi karya masing-masing.

Sungguhpun minggu haute couture musim bunga panas 2018 pada hujung Januari lepas mendatangkan kontroversi, kehebatan pemain-pemain utama seperti Chanel, Dior, Elie Saab dan yang lain, mujurlah tidak runtuh dimamah isu-isu yang bisa menimbulkan pertelingkahan. Sayang sekali kerana Ulyana Sergeenko tidak berpeluang menjadi sebahagian daripada sejarah fesyen ini, disebabkan kegobolokan dirinya mengeluarkan kenyataan rasis. Terutamanya masa sekarang, di mana #BlackLivesMatter tengah hangat dan isu perkauman begitu sensitif.

Manakala Zuhair Murad pula dilihat telah mencetus cultural appropriation dengan mendukung idea rekaan berkiblatkan pengaruh budaya orang pribumi.

Jadi, bagaimana dengan rumah fesyen lain yang masih utuh memperjuangkan rekaan HAUTE couture SS 2018 atau musim bunga panas 2018?

Di Dior, Maria Grazia Chiuri menjulang seni surealis sebagai pendorong yang mengilhami dirinya untuk rekaan couture kali ini. Sementara yang lain seperti Valentino antaranya bersandiwara dengan imej flamboyan moden. Bagi Pierpaolo Piccioli, dia tidak membiarkan kreativiti berfesyen itu terbendung di kepalanya. Melangsungkan inovasi pada butiran, pola, aksesori hiasan dan sebagainya yang akhirnya membuatkan kita terpekong dengan apa yang dipamerkan.

Karl Lagerfeld pula berlagak seperti seorang wisatawan. Karl yang asal Jerman, namun barangkali jati diri Perancis melingkari dirinya sepanjang menghasilkan Chanel. Dia tebar semua estetika tipikal Perancis – rekaan bak ratu sehari dengan hiasan kepala veil, berlatarkan setting taman puspa Perancis. Siluet yang purely Chanel, kekal klasik dan tidak langsung membenamkan identiti Chanel dalam kelam.

Tetapi berbicara fasal kesenian yang membaluti daya pemikiran pereka, Elie Saab pun menyemarakkan lapangan yang sama. Cuma Elie menyemai Art Deco dari segi gambaran seni serta stail pada himpunan couture-nya. Dia mengimaginasikan kembali tarian Charleston, era Jazz dan cereka bandar West Egg di Long Island, agaknya. Terasa nostalgia itu pada rekaan-rekaannya yang mewah dan halus buatannya.

6 Trend Haute Couture SS 2018

POLA MANIPULASI, IKATAN DASI
Haute Couture SS 2018 Trend Paris

Dari kiri : Valentino, Elie Saab dan Armani Prive. Manipulasi pola pada bodice menerusi teknik draping pada dress form – sesuatu yang standard dalam couture – sekali lagi menjadi fokus utama musim ini.

PENGARUH GAUN CHARLES JAMES

Dari kiri : Ralph & Russo, Alexis Mabille dan Givenchy. Entahlah. Kami rasa seperti semangat Charles James dijelmakan. Kalau tidak pada siluet gaun kembang – imej gaun oleh Cecil Beaton untuk Vogue – mungkin juga daari segi warna yang digunakan.

FUN FEATHERS

Dari kiri : Chanel, Givenchy, Elie Saab, Dior dan Armani Prive. The usual. Butiran bulu sebagai perincian pada pola rekaan atau tekstur masih lagi menjadi perhitungan pereka-pereka dalam menghasilkan busana couture.

INOVASI HIASAN KEPALA

Dari kiri : A. F Vandervorst, Chanel, Alexandre Vauthier dan Valentino. Hiasan kepala aneh, penuh drama dengan rekaan exaggeration menjadi pelengkap utama musim ini.

ILUSI OPTIK

Dari kiri : Dior, Iris Van Herpen, Jean Paul Gaultier, Viktor & Rolf dan Maison Margiela. Kerana seni begitu kuat dijunjung di atas pentas haute couture, perincian yang diilhamkan daripada seni visual seperti surealis, ilusi optik dan seumpamanya menjadi perincian.

STRONG SHOULDERS

Dari kiri : Givenchy dan Armani Prive. Rekaan bahu yang nampak tegap, melambangkan keperkasaan wanita membentuk siluet baru. Hashtag, women empowerment!

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE