SEARCH

Kim Jones Ke Dior Homme & Riccardo Tisci Ke Burberry, Bagaimana Hala Tuju Baharu Nanti?

Kim Jones Ke Dior Homme & Riccardo Tisci Ke Burberry, Bagaimana Hala Tuju Baharu Nanti?

Belum habis lagi kita ‘mencerna’ khabar Kim Jones mengemudi Dior Homme dan Riccardo Tisci berpindah ke Burberry, keluar satu lagi berita… Virgil Abloh pula dilantik sebagai pengarah artistik Louis Vuitton menyelia bahagian menswear. Sementelahan dengan pemergian Christopher Bailey dan Phoebe Philo, 2018 adalah tahun yang sangat menarik buat industri fesyen. Kerana tahun ini bakal menyaksikan satu perubahan besar-besaran untuk beberapa rumah fesyen ternama!

Tertanya-tanya juga, bagaimana agaknya proses pertukaran ini tercetus? Apa yang terjadi di sebalik hal-hal pemilihan dan seumpamanya? Adakah kerana impak Gucci melantik Alessandro Michele yang telah menukar estetika jenama tersebut atau Maria Grazia Chiuri mengkomersialkan Dior sehingga berjaya meraih keuntungan juga sanjungan kritikal, lantas mempengaruhi jenama-jenama lain berkeputusan untuk berbuat sedemikian juga?

Sebagai contoh, seperti Chanel. Orang mahu tahu apa agaknya berlaku seandainya Karl Lagerfeld mengundurkan diri dan beri ruang kepada nama lain untuk menyelia Chanel. Pernah juga terfikir, what if Miuccia Prada ‘bersara’ dan sunting pengarah kreatif baru untuk Prada.

KIM JONES PINDAH KE DIOR HOMME, RICCARDO TISCI KE BURBERRY & VIRGIL ABLOH AMBIL ALIH LV

Yang lama biarlah bertugu jadi kisah semalam. Memang pun pembaharuan dan peralihan itu perlu. Sebab itulah agaknya Dior Homme, Burberry dan Louis Vuitton bertindak agresif menggantikan penghulu kreatif masing-masing.

Kekosongan di Burberry begitu pantas terisi. Perlantikan Riccardo Tisci menjadi pengarah kreatif Burberry memperlihatkan langit dan bumi. Burberry adalah jenama yang ‘mengepal’ kuat jati diri British, Riccardo pula asal Itali. Sama juga sewaktu Riccardo menjaga Givenchy di mana Givenchy adalah jenama Perancis dan Riccardo did a good job. Riccardo yang dipengaruhi oleh estetika Claude Montana ke sesuatu yang futurist ala Mugler, berjaya mengangkat Givenchy. Jadi rasanya, pasti tidak ada masalah antara Riccardo dengan Burberry kelak, bukan? 

Marco Gobetti yang menyunting Riccardo untuk Burberry kerana dia percaya Riccardo mampu mengubah imej Burberry. Adakah Riccardo menyaingi dirinya dengan checks ikonik Burberry, sifat Britishness dan prinsip, “see now, buy now”? Koleksi pertama Riccardo untuk Burberry bakal dilepaskan dalam masa enam bulan lagi. So, here’s what we think. We’re sure Riccardo knows what he’s doing.  Kami tak rasa Riccardo akan memunahkan Burberry. Ada kemungkinan Riccardo membawa estetika goth, futurist dan sensual itu pada Burberry. Membawa Burberry ke fasa yang berbeza, yang bisa membuatkan kita lupa seketika that whole Chav-council-house-coolness.

Seperti mana visi Marco tentang Riccardo di mana Riccarco boleh mengubah imej Burberry.   

Kim Jones yang berjaya mempersembahkan pertunjukan finale Louis Vuitton yang membekas ingatan, dengan menampilkan Naomi Campbell dan Kate Moss. Kemudiannya bila dia pergi meninggalkan Louis Vuitton, sebagai seorang insan kreatif yang punya teras keras dalam bidang menswear, tidak hairanlah dia pergi menitip tugasnya di Dior Homme.

Apabila keluar berita Kris Van Assche meninggalkan Dior Homme dan Kim menjadi galang gantinya, ada juga yang beranggapan, “It’s about time.” Tidak ada niat mahu mengeluarkan kata kasar atau seumpamanya, barangkali agak jelak juga melihat kembara Afrika Kim di Louis Vuitton dan perihal punk-new wave-youth Kris untuk Dior Homme.

Katakanlah Kim meligatkan idea mengelana ke Afrika itu ke dalam Dior Homme, agak menyeronokkan juga. Dior Homme akan nampak sedikit dewasa, meresap imej si perantau dan menjulang nilai kemewahan yang tak sama seperti sebelum-sebelum ini. Adakah Kim akan memfesyenkan motif haiwan seperti corak zebra, corak puak, warna-warna bumi juga siluet Safari di Dior Homme bulan Jun nanti? We sure hope so.

Kemasukan Kim ke Dior Homme diangkut oleh Pietro Beccari – Pietro yang dahulu pernah bekerja di Louis Vuitton dan kini ketua pegawai eksekutif di Dior. Pietro yang pernah bekerjasama dengan Kim, amat suka dengan visi kreatif Kim dan kehebatan dia menyuntik interpretasi distingtif ke rumah-rumah fesyen besar.

Bila Kim menginjak kakinya keluar dari Louis Vuitton, agak mengejutkan yang Virgil Abloh (daripada Off White) mengambil alih tempat menjadi pengarah artistik Louis Vuitton. Ada segelintir yang agak kurang berkenan dengan pemilihan ini… tidak pasti apa yang dikhuatiri mereka fasal Virgil ke Louis Vuitton. Sangsi itu mungkin kerana takut Virgil mencela darjat kemewahan Louis Vuitton? Sebab Virgil yang dikenali sebagai insan yang tidak ada latar belakang formal dalam bidang fesyen dan menjulang estetika street, dikatakan akan mewujudkan silang sengketa dengan jati diri Louis Vuitton.

But hey, we never know! Terlalu awal membuat persepsi. Entah-entah Virgil akan mencipta fenomena menerusi Louis Vuitton nanti? Virgil sudah bekerjasama dengan beberapa jenama, pernah bernaung di bawah Fendi dan tambah-tambah lagi Louis Vuitton (sewaktu di bawah seliaan Kim) berkolaborasi dengan Supreme sehingga membangkitkan budaya street, I mean, tidak mustahil Virgil boleh melangsungkan cita-cita yang sama.

Walau apapun, kita tunggu dan lihat saja selepas bulan Jun nanti. Barulah senang untuk kita rumus atau simpul apa yang sebetulnya. Seperti yang saya nyatakan awal tadi, bidang fesyen memang memerlukan perubahan atau peralihan. Sudah tiba masanya!

kim jones
Selepas Calvin Klein di bawah jagaan Raf Simons, Calvin Klein menjadi lebih artistik dan berjaya mencuri perhatian segenap pencinta fesyen

 

kim jones
Demna Gvasalia yang berani menyuntik kelucuan, kenakalan dan kemudaan pada Balenciaga telah melakukan ‘paradigm shift’ ke atas jenama mewah ini. And it worked out well!

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE