SEARCH

Marc Jacobs X Anna Sui, Koleksi ‘Sekutu’ Yang Pertama Kali

Marc Jacobs X Anna Sui, Koleksi ‘Sekutu’ Yang Pertama Kali

Friends that sweat together, stay together. Friends that fashion together, stay together. Hashtag, BFF! Semangat taulan yang tak pernah rapuh bagai burung belatuk dengan semut, Marc Jacobs dan Anna Sui bergabung akal mengeluarkan koleksi kapsul bersama buat julung kalinya.

Koleksi kapsul yang memakan jangka masa bertahun untuk dihasilkan, akhirnya bakal dilepaskan jua!

Kami membayangkan dialog perbualan Marc Jacobs dengan Anna Sui di Ristorante Il Cantinori – seperti mana yang pernah terlihat dalam Style.com sebelum-sebelum ini, di mana mereka bergebang fasal trivia dan New York Fashion Week. Marc dan Anna tak berhenti membicarakan hal masing-masing.

Barangkali dalam pada waktu itu terbit idea mereka untuk berpadu tenaga, menampilkan koleksi kolaborasi bersama. Mereka berdua yang rapik bermula daripada zaman sama-sama menuntut di Parsons School Of Design sehinggalah sekarang seperti sukar untuk dipisahkan, pasti tidak rumit dalam mencapai kesepakatan.

Maka pernahlah juga himpunan musim luruh 2007 Marc mencetus kontroversi pabila dikatakan meniru sebiji corak rekaan Anna musim bunga 1992. Oh well, rakan karib, kan? Great minds think alike!

Koleksi kapsul Marc Jacobs X Anna Sui terdiri daripada beg tangan Marc Jacobs, pakaian sedia pakai, bag charms dan juga sniker yang disuntik kebaharuan. Setiap item ini disempurnakan dengan ilustrasi ikonik yang dilukiskan oleh Will Broome. Ingat lagi jelmaan karakter kartun Marc Jacobs? Will adalah insan kreatif yang bertanggungjawab di sebalik watak-watak itu. Kali ini Will memunculkan semula karakter-karakter tersebut, tetapi menggambarkan Marc Jacobs dan Anna Sui sendiri! Termasuklah anjing milik Marc yakni Neville.

marc jacobs x anna sui

Koleksi kapsul ini bakal dilancarkan pada 2 Mei nanti di gedung Isetan terpilih di Jepun. Kemudiannya ia boleh didapati di mana-mana butik Marc Jacobs dan Anna Sui terpilih pada 16 Mei. Tak sabar menanti!

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE