SEARCH

Sihir Gaun Givenchy Meghan Markle, Ringkas & Memukau!

Sihir Gaun Givenchy Meghan Markle, Ringkas & Memukau!

Meghan Markle hanyalah seorang perempuan biasa. Dibesarkan oleh Thomas Markle dan Doria Ragland, Meghan memulakan kerjayanya sebagai pelakon picisan untuk siri-siri televisyen juga bekerja sebagai jurukhat untuk menyara hidupnya. Siapa duga, perempuan yang pernah bergambar bersama temannya di hadapan Buckingham Palace sewatu berusia 15 tahun dahulu dan janji temu bersama Putera Harry itu adalah menerusi blind date, akhirnya kini bergelar Duchess Of Sussex!

Meghan won the ultimate blind date lottery! Seperti cerita cinta dewa-dewi. Meghan berjaya menambat hati Putera Harry. Sehinggalah hari Sabtu lepas, hari indah yang bersaksikan ratusan undangan-undangan di St. Georges Chapel, Windsor Castle, Putera Harry memperisterikan Meghan. #love.

Seri wajah Meghan naik. Umpama bulan baru mengambang, wajahnya cantik menawan hati. Riak Putera Harry detik melihat Meghan, girang bukan kepalang. Bagai boleh mengagak dalam lubuk hatinya melumat seribu janji, “This is the woman I want to spend the rest of my life with.”

Beberapa jam sebelum ‘terbongkar’ gaun kahwin Meghan, rencam pendapat fasal pereka gaun Meghan dihamburkan. Ada yang memperhitungkan Sarah Burton di Alexander McQueen akan mereka gaun kahwin tersebut. Ada juga yang begitu yakin bahawa Meghan akan bersiap dalam gaun rekaan Ralph & Russo atau Stella McCartney, kerana kedua-dua jenama ini berpotensi besar menjadi pilihannya di hari persandingan – kerana Meghan memakai Ralph & Russo pada hari pertunangannya.

Terjawab juga tempoh hari. Terbetik sejarah buat Clare Waight Keller, pabila Meghan berkahwin dalam gaun Givenchy yang direka oleh Clare. Sebaik saja Meghan menjangkah keluar daripada kereta, menaiki tangga luas St. Georges Chapel, gaun putihnya mengharumi ruang mesra dan mengukir senyuman pada wajah-wajah yang menyaksikannya.

Kita menjangkakan gaun kahwin Meghan akan ada butiran-butiran dramatik, bertekstur jalinan sutera tafeta, kraf seni Inggeris dan renda bersejarah Carrickmacross milik Ratu Mary atau renda yang menudungi tubuh untuk tampil romantik ala dress Kate Middleton. Tidak. Gaun kahwin Givenchy Meghan menyingkir semua tradisional dan konvensional itu.

It was just a plain simple dress. Semuanya bersandarkan kemahuan juga kehendak Meghan. Kena dengan karakter Meghan yang rendah diri. Potongan bersih dan ringkas juga menjadi pilihan Meghan. Leher luas umpama leher bateau atau sampan pada gaun Givenchy untuk Meghan mengkhayalkan kita pada asas feminin klasik. Tiada manipulasi, tiada adunan hiasan berlebihan. Sungguhpun potongan leher ini biasa terlihat pada dress-dress lain sebelum ini, idea Clare meminjam potongan klasik yang memanifestasikan kod ikonik Givenchy ini dan merencanakan ia semula, membuatkan kita berfikir bahawa tidak mengapa seandainya kita mulih kepada sesuatu yang tradisional.

Kiranya Clare berjaya mengolahnya. For some reason, ia tampil moden di sebalik kesederhanaan rekaannya. Secara tak langsung ia menegaskan bahagian bahu Meghan dan lemah gemulai tubuhnya. Barangkali kerana gaun kahwin dalam rekaan leher sebegini sudah lama tak kelihatan dan pabila dijelmakan kembali di antara belukar gaya ultra-canggih masa kini, ia menonjol!

Gaun kahwin putih murni bak putih bunga serigading, menyinar di balik bayang mentari pagi hari itu. Siluet gaun yang tampil seperti distrukturkan dan keras, mencetuskan kebaharuan yang tidak semestinya perlu sarat dengan unsur romantik atau poetic. Disempurnakan lagi dengan vel jarang labuh yang menyungkup lantai sepanjang lima meter. Apa yang menjadikan vel ini unik adalah sisipan idea Givenchy menyemat tekstur sulaman bunga di sepajang kaki vel tersebut yang mewakili setiap satu negara Komanwel. Tertanya-tanya juga adakah bunga kebangsaan kita, bunga Raya disulam bersama? Sudah tentulah!

Orang bilang Meghan meneladankan rebel princess atau modern princess kerana keberanian dia ‘melanggar’ apa yang mesti diturut. Benar sekali tanggapan dan gambaran orang fasalnya. Meghan adalah puteri moden. Dia tidak menstereotaipkan rupa seorang puteri bernikah. Usaha Clare dan Givenchy memerihalkan ‘modern princess’ pada Meghan berhasil.

Mana tahu, satu hari kelak (percayalah) pengantin-pengantin yang bakal berkahwin akan mula memilih gaun ringkas berleher bateau untuk majlis bersanding. Seperti mana gaun berlengan renda yang dipakai oleh Kate Middleton tujuh tahun yang lepas telah meningkatkan permintaan orang ramai untuk berkahwin dalam gaya gaun yang sama. Sehingga naik jualan gaun yang sebegitu rupa. Barangkali selepas ini, permintaan gaun nikah ringkas bersih berleher bateau pula menjulang naik?

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE