SEARCH

PFW F/W 2019 : Pendapat Kami Tentang Fahaman Centre Pompidou Louis Vuitton

PFW F/W 2019 : Pendapat Kami Tentang Fahaman Centre Pompidou Louis Vuitton

Nicolas Ghesquiere malas? Rasa teruja tidak tersemat dalam dadanya untuk mengeluarkan himpunan Louis Vuitton seperti musim-musim terdahulu yang nampak ‘arsitektural’ dan sculptured? Sebaliknya membayangi jenama-jenama lain yang bersandarkan pendekatan eklektik?

Nicolas berubah hati mungkin. Dia tidak malas dan benar, dia memanifestasikan sesuatu yang eklektik menerusi himpunan Louis Vuitton musim luruh 2019 kali ini. Louis Vuitton mengumpamakan hal hidup di dunia pascamoden – mencorakkan karakter seragam baharu perempuan futuris perempuan. Seragam yang menggabungkan siluet 80an dengan motif vintaj dan tersisip aspek teknologi.

Ingat lagi himpunan Saint Laurent (sebelum ini, Yves Saint Laurent) dan Miu Miu musim luruh dingin sepuluh tahun yang lalu? Di mana waktu itu, dasar pandang ke masa hadapan merangkum jiwa Stefano Pilati dan Miuccia Prada, mempamerkan nada-nada gaya futuristik seorang perempuan. Siluet baharu, teknologi, inovasi pada butiran, material neoprena, tidak merujuk house codes lama dan segala benda yang bersangkutan dengan kemodenan menjadi sendi utama Stefano juga Miuccia. Guess what, Nicolas pun seolah-olah menghidangkan idea yang sama.

Sebagai seorang anak jati Perancis, sudah tentulah Nicolas mengerti bagaimana untuk menghasilkan produksi pertunjukan yang benar-benar mewujudkan pengalaman Perancis. Mengadakan pertunjukan di mercu tanda terkemuka Paris yakni di Louvre. Kemudiannya, ‘membawa’ Centre Pompidou ke Louvre, untuk memesrai ruang luas Louvre. Lalu terbangunlah gedung struktural ekspresionis Centre Pompidou di tengah-tengah Louvre. Bukan Centre Pompidou yang sebetulnya, tetapi hanyalah sebuah replika. Seperti Russian Doll – pertunjukan di Paris, diadakan di muzium bersejarah Paris dan dalamya ada kompleks terkemuka Paris lagi. Get it?

Jadi, berbalik kepada perenggan pertama kami yang menyatakan tidak ada sesuatu yang bersifat ‘arsitektural’ untuk musim luruh 2019… nah, perkiraan kami silap. Nicolas mengambil konteks ‘arsitektural’ itu secara harfiah dan Centre Pompidou menjadi pilihannya.

Sebab apa contoh go-to senibina teknologi tinggi Centre Pompidou yang direka oleh Renzo Piano dan Richard Rogers mengilhami Nicolas, adalah kerana budaya yang mengitari bangunan kompleks tersebut. Nicolas menjurus ke arah celik budaya. Dia mahu berkias dalam menggambarkan ‘kehomogenan’ Centre Pompidou. Berdasarkan pendapat peribadi kami, tidak hairanlah ada integrasi kontra – siluet 80an yang siap ada cantuman yoke dengan butiran gathers, aspek teknologi, perincian romantik seperti motif botani juga ropol-ropol keras, ada geometric details dan corak ala-ala seni op – untuk memerihalkan penyatuan. Ditambah lagi senda ria Louis Vuitton dengan konsep perindustrian. Malah ada juga look yang terlihat mengingatkan kita pada gaya perempuan Mormon fundamentalis. Oh, Nicolas’s favourite shape is also making a comeback. Contohnya, ceraian-ceraian berbahu tegap yang disaingi oleh rekaan pola lengan baju kembang atau biskop membuat kemunculan semula. Membuktikan kehebatan dan identiti Nicolas masih lagi terpelihara kali ini.

 

louis vuitton fall winter 2019 centre pompidou

Melihat pertembungan gaya, butiran dan pembaharuan ini, himpunan Louis Vuitton musim luruh dingin 2019 bagai membangkitkan kembali kontroversi Centre Pompidou. Sorot balik waktu pembinaan Centre Pompidou pada awal tahun 70an di tengah-tengah kota Paris dan bangunannya kelihatan asing, menyerupai sebuah kilang. Radikal? Ya. Sementara pada waktu itu, senibina lain berhala kepada sifat neo-klasik juga moden, Centre Pompidou menyongsong arus. Melawan kenormalan. Barangkali Nicolas kutip faktor ini ketika menghasilkan himpunan musim luruh dingin 2019. Foreign looking, but in a good way.

Kami fikir mengapa Louis Vuitton musim luruh dingin 2019 menggemilangkan siluet 80an, adalah kerana mungkin mahu mengaitkan ia dengan kepopularan stail senibina struktural ekspresionis pada tahun 70an dan 80an, yang selalu disebatikan bersama teknologi.

louis vuitton fall winter 2019 centre pompidou

Bercakap fasal falsafah, Nicolas turut menyimpul sekali makna “kehidupan” Centre Pompidou. Sebelum berlangsungnya pertunjukan, Louis Vuitton melepaskan beberapa imej berserta kapsyen ringkas dalam Instagram stories. “Blue for circulating air”, “red for circulating people” dan sebagainya. Kerana Nicolas mahu mencerminkan imej sebenar Centre Pompidou yang bertunjangkan practical reason. Centre Pompidou tidak malu mendedahkan rangka sebenar senibinanya – yang terang-terangan terlihat setiap paip – dan setiap paip di Centre Pompidou adalah colour-coded atas sebab-sebab tertentu. Dan apabila memikirkan kata-kata Nicolas sendiri yang menjelaskan Louis Vuitton kali ini berkonsepkan kemanusiaan, kami jangka “kehidupan” itulah yang dicedok oleh Nicolas adalah untuk menceritakan himpunannya yang berkaitan dengan sosiologi manusia.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE