SEARCH

Raf Simons Tinggalkan Calvin Klein & Kesan Yang Diingati

Raf Simons Tinggalkan Calvin Klein & Kesan Yang Diingati

raf simons calvin klein

Dalam pada merayakan Krismas tahun ini, selepas satu persatu, lapangan fesyen sekali lagi riuh dengan gempar berita Raf Simons meninggalkan Calvin Klein. Hashtag astonished face! Tidak ada ribut, tidak ada angin, tiba-tiba khabar ini terhebah. Raf tak lagi mengepalai Calvin Klein dengan serta-merta. Apakah sebab atau puncanya, itu belum pasti.

Tak sampai dua tahun pun Raf Simons di Calvin Klein. Daripada debut dia untuk himpunan CALVIN KLEIN 205W39NYC lelaki musim luruh 2017 ke koleksi musim bunga panas 2018 dan yang terbaru adalah pra-musim luruh 2019, seperti tak puas melihat Raf berkarya sepenuhnya di Calvin Klein. Calvin Klein tidak akan mementaskan himpunan Raf pada Februari tahun hadapan.

Raf umpama baru sahaja hendak menitipkan daya inovasi dan menebarkan kelebihan daripada yang lain di Calvin Klein, namun semua itu sementara sahaja. Percanggahan visi kreatif antara Raf dan Calvin Klein adalah antara yang memungkinkan faktor sepemergian tersebut. Sungguhpun tidak ada ulasan atau kenyataan lanjut mengenainya.

Sayang sekali, kerana pelantikan Raf di Calvin Klein begitu mengujakan. Kerana dia membawa pembaharuan kepada sifat Americana Calvin Klein. Raf menafaskan inovasi dan keunikan di Calvin Klein. Sehinggakan dia mencipta sejarah di CFDA, menggondol kemenangan Menswear Designer Of The Year dan Womenswear Designer Of The Year pada 2017 sewaktu pucuk pimpinannya di Calvin Klein. What went wrong? Entahlah.

Selepas keberangkatan Raf daripada Calvin Klein, ini adalah kesan-kesan atau perkara-perakra yang kami akan ingat sepanjang dua tahun mereka bersama.

MEMBANGKITKAN BUDAYA POP

Sewaktu Raf di Calvin Klein, dia tidak gentar dalam menyisip sekali budaya pop dengan estetika Calvin Klein. Selama ini, kita ‘disodok’ oleh semangat minima Calvin Klein, namun Raf menukar paradigma tersebut. Sebagai contoh, baru-baru ini untuk himpunan musim bunga panas 2019, Raf menggunakan ilham filem Jaws dan The Graduate sebagai tunjang utama sehingga meraih perhatian umum.

TIDAK TAKUT BERMAIN DENGAN POLA

Seperkara tentang Raf adalah dia tidak kenal erti takut bermain dengan pola dari aspek rekaan. Dari zaman dia di Jil Sander, ke Christian Dior sampailah di Calvin Klein, manipulasi pola serta penataan gaya adalah senjata utamanya. Menjadikan keseluruhan rekaannya mencapai keunggulan.

MENGUBAH NAMA ‘CALVIN KLEIN’

Apabila Raf dilantik mengepalai Calvin Klein, sekali lagi dia membuktikan keberaniannya yakni mengubah logo ikonik Calvin Klein. Dia bersatu tenaga dengan Peter Saville, menyuntik kebaharuan pada nama jenama Calvin Klein. Dia menukarkan nama jenama tersebut kepada semua huruf besar dan huruf-huruf tersebut dirapatkan sedikit. Malah, Raf membuang nama ‘Collection’ pada Calvin Klein, sebaliknya digantikan oleh ‘205W39NYC’. Lalu, ia menjadi CALVIN KLEIN 205W39NYC. Well, we are not entirely sure bout that 205-thingy. Namun, kami terfikir juga sama ada nama ini akan dikekalkan atau tidak selepas Raf tidak lagi bersama Calvin Klein.

KEMPEN FESYEN LEBIH ARTISTIK

Raf telah meningkatkan taraf kempen fesyen Calvin Klein menjadi lebih artistik berbanding sebelum-sebelum ini. Tidak pernah melihat kempen fesyen Calvin Klein sebegitu rupa, di mana ia disusun dalam konsep kepelbagaian dan visual yang mempunyai nilai kesenian tersendiri. Raf malah bekerjasama dengan fotografer terkemuka yakni Willy Vanderperre dalam menghidupkan cita-citanya untuk kempen fesyen Calvin Klein.

FLAGSHIP STORE BAK GALERI SENI

Seandainya kamu berkunjung ke New York atau Paris sekarang, singgahlah ke stor-stor utama Calvin Klein. Kamu akan terpesona melihatnya! Lihat bagaimana Raf berkolaborasi dengan Sterling Ruby, mengolah kembali stor-stor atau butik-butik utama Calvin Klein dan mengisi ruang-ruangnya dengan konsep seni. Sehingga ia menyerupai galeri seni! Sama juga dengan ibu pejabat Calvin Klein yang diubah mengikut visi Raf.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE