SEARCH

Realiti ‘Rizalman’: 7 Soalan Kepada Pereka Fesyen Dengan Program Di LITV Ini

Realiti ‘Rizalman’: 7 Soalan Kepada Pereka Fesyen Dengan Program Di LITV Ini

Mulanya daripada program Tastemakers ke Lifestyle Advocates – kedua-duanya program yang meraikan figura-figura serta bakat-bakat Asia – dan kini ikon fesyen dan gaya hidup Malaysia, Dato’ Rizalman Ibrahim pula diberikan peluang screen time selama setengah jam dalam saluran Life Inspired (LiTV)! ‘Rizalman’ adalah judulnya, program realiti yang menyelak riwayat kisah pereka fesyen dan pereka dalaman rumah ini.

Kata Rizalman kepada saya, “Sebab dunia sekarang accessible dan pantas. Orang sudah tahu apa kita buat, ke mana kita pergi dan apa cerita terbaru kita kerana teknologi. Terutama sekali, dengan adanya media sosial.

Jadi, daripada orang sekadar tengok saya menerusi post video selama satu minit di laman Instagram… here you go, I give you a-25 minutes of my story.”

LiTV mengorkestrakan program Rizalman sebanyak lapan episod dan ia menyingkap kesibukan Dato’ Rizalman yang multitasking, kesibukannya sebagai seorang insan kreatif, kisahnya sebagai bos serta bapa kepada dua anak dan sudah tentu cerita sebalik tabir.

“Saya mahu menginspirasikan orang luar sana. Tentang kerjaya profesional saya, kehidupan peribadi saya dan sebagainya,” jelas Dato’ Rizalman. ‘Rizalman’ bakal ditayangkan pada 30 Mei ini dan akan bersiar bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia, Singapura, Vietnam dan negara-negara Asia yang lain.

Mengapa sekarang? Dan mengapa orang harus dan perlu menonton Rizalman?

It’s a show without boobs and bums! Haha! Ia adalah rancangan tentang Rizalman (tentang diri saya). Ia umpama dokumentari tentang saya. Orang yang tidak berpeluang melihat dunia sebenar saya…inilah masanya. Mengenali dan mendekati dunia saya dengan lebih teliti lagi. Orang akan lihat sisi saya yang bukanlah terlalu eksklusif ala Karl Lagerfeld, fasal itulah saya tidak berkira untuk berkongsi kisah hidup saya ini. Jika kamu tanya mengapa sekarang baru ada program realiti sendiri? Sebenarnya, ia sudah dicadangkan lima tahun yang lalu. Cuma belum ada masa yang tepat untuk merealisasikannya lagi. Prosesnya juga bukan mudah, lebih-lebih lagi pabila memerah otak mencari content atau pengisiannya. Malah untuk memikirkan saluran mana yang bersesuaian pun mengambil masa.

Dan Life Inspired menjadi pilihan?

Ya! Kerana untuk program sebegini, ia harus dipertontonkan menerusi saluran yang bukan calang-calang. Kami mahukan wider audience. Jadi, LiTV yang dipilih dan saya sendiri pun suka menonton saluran LiTV.

Rizalman shows the real you. Is there any part of the show that’s not real?

Not real? Kalau di Instagram, senang untuk kamu ‘tipu’ – dengan filter, sudut mana yang menampakkan wajah kamu elok. Tetapi dalam program yang berupa motion, mustahil untuk kamu tipu. Rata-ratanya Rizalman akan memperlihatkan realness. Kalau yang not real itu mungkin tidak ada agaknya. Benar, misalnya dalam Rizalman nanti, kamu akan lihat saya berpakaian seperti orang lain, tidaklah berfesyen melampau. Kerana saya mahu ia relatable dengan penonton dan pabila orang menonton, ia membuahkan satu ilham buat mereka. Mana tahu ada yang menonton nanti merasakan apa yang saya buat itu achievable, akses ke dunia saya untuk mereka rembat sebagai ilmu dan sebagainya.

Kamu risau tak nanti bila keluar saja Rizalman, orang umum sama ada akan suka atau benci?

Terpulang dengan cara editing Rizalman. Saya tidak pasti sama ada hujung pangkalnya nanti orang akan suka atau benci. Tetapi itulah lumrahnya… whatever it is, I’ll just have to accept it.

Adakah Rizalman akan berpangsikan kata kunci ‘fesyen’?

Rizalman itu bukan lagi ‘pereka fesyen’ semata-mata. Rizalman mentakrifkan satu gaya hidup. Atmosfera program Rizalman nanti lebih menjunjung pangsi gaya hidup. Sekali lagi, ia terpulang kepada audiens kelak. Sama ada mereka mahu mengadaptasikan ‘gaya hidup Rizalman’ itu sebagai gaya hidup mahupun fesyen. Dan seperti yang saya nyatakan tadi, saya mahu mereka lihat Rizalman itu tuan badannya multi tasking dan bagaimana individu bernama Rizalman ini tak pernah lelah dalam mencari rezeki. Macam-macam dia buat!

Do we get to see you sharing your ‘secret ingredients’, when it comes to creating your fashion pieces?

Mungkin. Haha! Bukan itu saja. Sebenarnya, jika diikutkan ada banyak yang mahu saya kongsikan dalam Rizalman. Tetapi saya harus tahu ada fine line-nya juga. Apa yang boleh dan apa yang tak boleh dipertontonkan dalam kaca televisyen. At the end of the day, saya tidak mahu menyinggung mana-mana pihak.

Dalam banyak-banyak episod Rizalman, yang mana satukah yang patut ditunggu-tunggu?

Secara peribadinya, saya rasa episod akhir atau finale. Kerana episod itu adalah episod yang benar-benar menggambarkan dunia fesyen Rizalman. Iyalah, saya sudah berada di industri ini 25 tahun dan baru saja meraikan ulang tahun jubli perak. Untuk episod akhir itu, ia mengupas akar umbi saya yang asalnya memang seorang pereka fesyen. Nantikan saja! 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE