SEARCH

Fitri Zainal & Integrasi Bersama Tenun Pahang Diraja

Fitri Zainal & Integrasi Bersama Tenun Pahang Diraja

Fitri Zainal Tenun Diraja Pahang

Mengindahkan yang lama pada yang baru, daya usaha yang direalisasikan oleh pereka fesyen Malaysia, Fitri Zainal bersama Tenun Pahang Diraja dan Persatuan Wanita (MATAHARI) Universiti Malaysia Pahang. Fitri mengintegrasikan Tenun Pahang Diraja dalam koleksi 15 rekaan kapsul – daripada tradisional sehinggalah kasual.

Menyimpul ikatan antara dua estetika yang berbeza. Merayakan asal-usul agar tidak hilang dalam rimba fesyen masa kini. Tercipta satu lagi detik unggul pabila pereka fesyen generasi semasa, Fitri Zainal memegahkan tradisional lama yakni Tenun Pahang Diraja, fabrik yang cukup signifikan buat negeri Pahang untuk satu himpunan istimewa. Penyatuan di antara inovasi moden Fitri dengan cita rasa azali Melayu yang sudah memakan usia lebih daripada 300 tahun.

Fitri Zainal Tenun Diraja Pahang

Kostum lama Melayu mewarnai akal budi Fitri, menjadi pangsi ilham koleksi kolaborasi ini. Di mana pola juga rekaan kostum tersebut – kerana sifat santun, kecantikan, elegan serta kelembutannya – diambil oleh Fitiri sebagai sendi atau asas utama. Melangsungkan pemeliharaan dan pemuliharaan kehalusan dahulu kala, khusus buat masyarakat sekarang.

Sementelahan, kerja tangan Tenun Pahang Diraja ini dibuat dan dihasilkan di Penjara Penor di Pahang, mengistimewakan lagi koleksi secara menyeluruh.

Fitri Zainal Tenun Diraja Pahang

“Matlamat utama integrasi ini adalah untuk menunjukkan betapa molek dan uniknya Tenun Pahang Diraja, juga versatility ia diolah dalam rupa modern wear serta kasual,” jelas Fitri yang mahu membuktikan kepelbagaian fabrik tersebut. Dalam meneguhkan lagi visi dan misi, setiap rekaan itu tersemat sekali kelainan dari aspek teknik, material fabrik juga kerencaman butir-butir hiasan. Interpretasi kebaharuan ke atas fabrik warisan yang dikecap oleh Fitri untuk himpunan kapsul ini adalah seperti mengahwinkan ia dengan renda French, menyuntik manipulasi pola dan sulaman. Dalam masa yang sama tidak memudarkan kehebatan identiti kesenian Fitri.

Di atas permitaan Persatuan Wanita (MATAHARI) Universiti Malaysia Pahang, setiap 15 looks koleksi Fitri Zainal bersama Tenun Pahang Diraja terbahagi kepada dua saiz utama yakni saiz S dan saiz M sahaja. Buat yang ingin memiliki helaian-helaian ini, ia akan mula dipasarkan pada bulan Mac dan (secara eksklusif) boleh dibeli di Universiti Malaysia Pahang.

Fitri Zainal Tenun Diraja Pahang

 

Fitri Zainal Tenun Diraja Pahang

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE