SEARCH

7 Alasan Jatuh Cinta Dengan Tasmania Di Musim Luruh & Salju

7 Alasan Jatuh Cinta Dengan Tasmania Di Musim Luruh & Salju

Setiap hari adalah hari yang baik untuk mengunjungi Tasmania. Untuk sesetengah pengunjung, musim panas di bulan Disember – Februari menjadi pilihan. Namun jika kamu sukakan suhu yang lebih dingin dan kurang pelancong, melawati Tasmania pada musim luruh (Mac – Mei) atau salju (Jun – Ogos), menjadi pilihan terbaik di hati.

Pulau yang berada di bahagian tenggara Australia ini menawarkan pelbagai perkara dan aktiviti menarik untuk dilakukan sepanjang musim luruh dan salju. Sama ada kamu berkelana secara solo, mahupun secara berpasangan, berkumpulan atau keluarga, pulau yang juga terkenal dengan jolokan “Pulau Epal” ini amat sesuai dikunjungi semua.

Berikut saya senaraikan 7 perkara menarik untuk kamu lakukan sepanjang musim luruh & salju di Tasmania:

 

1 – BONORONG WILDLIFE SANTUARY

Terletak hanya 30 minit perjalanan dari utara Hobart, Bonorong Wildlife Santuary ialah pusat perlindungan haiwan yang membolehkan kamu bertemu dengan aneka spesis dan haiwan liar Australia yang pelbagai. Misalnya, Tasmanian Devil – maskot rasmi pulau Tasmania ini. Terdapat juga haiwan-haiwan eksentrik Australia yang lain seperti kangaroo dan koala.

 

2 – TAPAK BERSEJARAH PORT ARTHUR

Terletak di Hobart, Port Arthur adalah tapak bersejarah yang harus kamu kunjungi jika ke Tasmania. Ia tapak penempatan yang menempatkan pesalah-pesalah dari England yang dibuang negara ke Australia di masa lampau, yang masih lagi dijaga dengan baik dan rapi. Terdapat 30 bangunan di sini termasuk bangunan penjara, puing-puing gereja dan rumah-rumah pegawai yang dibaik-pulih semula.

 

3 – BERJALAN DI TITIan TERPANJANG DUNIA

Pemandangan di Cataract Gorge, Launceston adalah salah satu tarikan utama di Tasmania. Melewati titian terpanjang dunia yang merentasi ‘Permata Launceston’ ini selama satu jam, pengalaman yang tidak boleh kamu lepaskan jika berkunjung ke Tassie.

 

4 – KEMBARA JERAYA GREAT EASTERN DRIVE

It’s roadtrip time! Great Eastern Drive ialah kembara jeraya berlingkungan 180km yang merentasi timur Tasmania, dari bandar pantai Orford sehingga perkampungan nelayan di St Helens. Nikmati pemandangan laut biru di sebelah kanan dan damai menghijau di sebelah kiri sepanjang kembara jeraya kamu itu tadi. Di penghujung kembara, hadiahi diri kamu dengan aneka makanan laut yang segar dan lumayan di St Helens.

 

5 – DARK MOFO

Berlangsung pada 15 – 24 Jun, Dark MOFO adalah festival seni, budaya dan muzik yang dianjurkan oleh MONA (Museum of Old and New Art).  Festival ini menyambut kegelapan malam menerusi seni-seni awam, muzik, cahaya dan budaya peribumi Australia.

 

6 – MELEWATI HUTAN LURUH YANG SPEKTAKULAR

Di hujung bulan April dan awal Mei, hutan pokok Fagus bertukar warna, memperlihatkan peralihan warna dari hijau ke jingga, kuning, emas dan kemerah-merahan. Pokok Fagus adalah satu-satunya pokok beriklim sejuk dunia yang hanya terdapat di kawasan tanah Tinggi Tasmania, seperti di Cradle Mountain-Lake St Clair National Park dan sekitar Tasik Fenton di Mount Field National Park.

 

7 – Freycinet experience walk, MENYULUSURI JALAN PANTAI YANG DAMAI

Salah satu daripada 12 lokasi ‘Great Walks’ di Australia, Freycinet Experience Walk ialah perjalanan kaki berjadual selama empat hari, melewati sepanjang persisir pantai Tanjung Freycinet di timur laut Tasmania. Sedia menikmati hembusan lembut bayu laut dan pemandangan matahari terbit dan tenggelam di pantai yang terbentang luas saujana mata memandang.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE