SEARCH

Fresh Face 2017: Raja Nadia Sabrina

Fresh Face 2017: Raja Nadia Sabrina

RajaNadiaSabrina2_stailMY

Gambar: Chee Wei/ Yipieyaya Teks: Zaidi Che Solekan: Fendi Sani Pakaian: aere Sitting editor: Azreezal Hafidz

RAJA NADIA SABRINA, 32 – PEREKA FESYEN 

1 – Pertama, terangkan segalanya tentang diri kamu, apa yang kamu lakukan dalam hidup dan karier?

Nama saya Raja Nadia Sabrina. Saya seorang pereka busana, usahanita, ibu dan juga satu-satunya anak perempuan sulung kepada kedua ibubapa. Sudah enam tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta dan anak di syurga.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Buat masa sekarang, sedang menjalankan perniagaan label fesyen saya sendiri yang diberi nama “aere”. Saya juga seorang blogger fesyen di rnadia.com.

2 – Inspirasi terbesar dan apa yang menggerakkan kamu untuk memulakan label sendiri?

Ayah dan ibu. Ayah selalu mengajar saya tentang seni sedari usia kecil. Ibu pula seorang yang kreatif dan sangat stailish. Melihat dia bersiap-siap adalah perkara yang selalu saya perhati dan kagumi sejak dari kecil.

Ingin memberitahu terlebih dahulu, sebelum bergelar seorang usahanita, saya menjalani bidang guaman selama lebih kurang tujuh tahun. Pengalaman guaman itu mengajar saya erti ketabahan dan rasa berani.

Pada masa sama, menulis membuatkan saya yakin untuk berkomunikasi. Pengalaman bidang guaman dan penulisan itu lah yang membantu saya untuk memulakan label fesyen jenama saya sendiri.

3 – Ceritakan serba sedikit tentang jenama kamu itu?

Bermula sejak Julai 2014, ia fesyen persalinan wanita yang versatil dan functional. Sedia untuk dipakai dan punya tiga kategori: aere MIGHT (kerja), aere NIGHT (libur) dan aere LIGHT (kasual).

aere (baca: airy) bermaksud “UDARA” dalam sebutan Latin. Udara itu suatu yang tak dapat dilihat. Tidak boleh ditangkapi mata kasar. Sering kali kita terlupa tentang peri pentingnya udara. Padahal kita tak mampu bernafas tanpanya. Itulah aere.

4 – Pentas peragaan pertama jenama kamu dan kongsikan perasaan kamu ketika itu?

KL Fashion Week 2015 (KLFW 2015). Perasaannya, sangat teruja. Dan baru sahaja melancarkan koleksi ‘HOPE’ pada pentas peragaan KLFW 2016, lewat Ogos lepas. Kami juga melancarkan koleksi ‘LOVE’ di pentas Jakarta Fashion Week 2016 dan menjadi satu-satu wakil jenama fesyen dari Malaysia.

5 – Koleksi kamu itu diberi nama ‘Hope’, boleh terangkan makna di sebalik nama ini?

Dalam kehidupan, pasti ada ribut datang membadai. Lalu, diri seperti terperangkap dalam lohong kekecewaan atau pun terjerat dalam kesedihan. Hati mulai retak, malah menunggu belah. Cabaran datang bertubi-tubi, tak berhenti tanpa sempat pun kita sedari.

Namun percayalah, selepas hujan pasti muncul pelangi. Di balik pelangi ada matahari. Yang menyinari HARAPAN. Harapan yang hari esok mungkin lebih baik dari hari ini.  Harapan adalah sauh. Harapan adalah kompas. Yang mengemudi bahtera kehidupan.

Melalui koleksi ‘HOPE’, kami mahu berkongsi  HARAPAN dan CINTA pada sekalian pelanggan setia aere. Saya sendiri mereka-cipta stuktur yang lebih KUAT, potongan yang lebih BERANI dan menyulam sekali HARAPAN dalam koleksi ini.

6 – Saya melihat warna-warna pastel mendominasi koleksi ini dan sebahagian besar koleksi-koleksi kamu yang lain. Kenapa?

Saya senang dengan rona pastel. Bagi saya, warna-warna pastel bersifat lembut dan mudah disuai-padankan. Saya juga merasakan wanita-wanita di luar sana setuju dengan kenyataan ini kerana sebahagian besar koleksi aere yang berwarna pastel pasti laris dan terjual terlebih dahulu berbanding warna-warna berona gelap.

7- Pada pendapat kamu, apakah rona pastel masih relevan pada 2017 ini?

Rona pastel sentiasa relevan bagi saya. It’s timeless. Walau begitu, saya juga bakal mempersembahkan warna-warna yang strong, vibrant, deep dan bold kesukaan saya, yang belum pernah dicuba untuk koleksi-koleksi saya sebelum ini pada koleksi mendatang.

8- Bagaimana kamu mengimbangi nilai kreativiti dengan nilai komersial?

Selalu membuat penilaian dalam beberapa aspek terutamanya dari sudut kreativiti dengan sellability (keboleh-jualan). Keseimbangan antara dua perkara ini sangat penting.

Kalau terlebih-lebih kreativitinya, takut pula orang mahu membelinya. Terkala saya terpaksa korbankan kreativiti demi jualan. Masih mencuba-cuba belajar mengimbangi keseimbangan antara kedua-duanya.

9 – Nasihat kepada mereka di luar sana, terutama wanita berhijab yang ingin menceburi bidang fesyen dan perniagaan?

Jika ini minat kamu dan sesuatu yang kamu rasa kamu sangat-sangat mahu lakukan. Jadi berani, ambil risiko dan pantas lakukan. Dalam dunia perniagaan, HIJAB BUKAN HALANGAN. Hijab juga bukanlah suatu “KELEBIHAN”. Yang penting SEMANGAT kamu.

10 – Sebelumnya, kamu berkata yang kamu pernah menjalani bidang guaman, bukan? Lalu atas sebab apa kamu tegar berubah bidang?

Fesyen sangat pantas, segalanya bergerak selaju cahaya. Jika kamu lambat, kamu kalah. Guaman pula membuat saya lebih berhati-hati dan sentiasa waspada bagi mencapai sasaran.

Bidang fesyen dan guaman ini memang sangat kontras antara satu sama lain. Namun saya ikut kata hati untuk mencuba sesuatu yang baru. UNTUK CINTA SAYA PADA FESYEN.

RajaNadiaSabrina1_stailMY

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE