SEARCH

Majestic Malacca, Hotel Yang Memberi Pengalaman Penginapan Klasik Paling Istimewa

Majestic Malacca, Hotel Yang Memberi Pengalaman Penginapan Klasik Paling Istimewa

Beberapa hari pertama di Melaka, kami menginap di sebuah hotel eksklusif serba mewah, Majestic Malacca, yang bertempat di Jalan Bunga Raya, di tengah-tengah kota bandaraya bersejarah ini. Lokasi hotel ini juga berhadapan dengan tebing laluan perairan Sungai Melaka. Cukup terpegun dengan keindahan hotel ini saat pertama kali kami sampai. Tidak rugi buat siapa yang ingin meluangkan masa dua jam memandu dari Kuala Lumpur.

Majestic Malacca

Majestic Malacca

Ruang lobi Majestic Malacca

Bentuk bangunannya yang begitu klasik menggambarkan usianya. Pada 1929, Majestic Malacca dibina dan pada asalnya ia adalah sebuah kediaman peribadi milik seorang hartawan Cina terkemuka yang memperoleh tanah itu daripada pihak Gereja St. Peter. Ia sebuah rumah agam yang memiliki enam bilik dan dibina dengan inspirasi gaya seni bina gabungan unik Straits dan Neo-Klasik. Pada 1955, rumah agam itu kemudiannya bertukar menjadi sebuah hotel yang diberi nama The Majestic Hotel. Namun pada 2000, hotel itu telah menghentikan operasinya dan kemudian diambil alih oleh pihak Kerajaan Negeri Melaka. Akhirnya, pada 2008, selepas menjalani proses pemulihan yang meluas, Majestic Malacca (nama baru) membuka pintunya buat orang ramai dan kini hotel ini adalah milik penuh syarikat rangkaian YTL Hotels.

Majestic Malacca

Kolam renang outdoor untuk kamu yang mahukan percutian relaks

Majestic Malacca

Majestic Malacca

Bilik hotel kami sepanjang penginapan di Majestic Hotel

Sehingga ke hari ini, Majestic Malacca memiliki sebanyak 52 bilik, 2 suite dan Spa Village. Masih mengekalkan warisan asal bentuk rumah ini, namun ia disuntik sedikit nafas baru. Saat kami tiba di hotel ini, sudah tentu sambutan mesra menyapa kami saat di pintu masuk lagi. Setibanya di bilik hotel, kami disambut dengan hidangan minum petang teh laici, teh signatur hotel ini yang dihidang indah di dalam pot teh rekaan tradisional masyarakat Cina.

Petang itu, kami sertai Heritage Tour bersama pihak hotel. Antara aktiviti percuma buat pengunjung yang menginap di hotel ini. Ia antara aktiviti yang perlu kamu sertai kerana di sini kamu akan dapat rasai sendiri pengalaman mendekati sejarah Melaka. Staf hotel akan membawa sekumpulan tetamu berjalan sekitar kota Melaka sambil menceritakan setiap sejarah Melaka semenjak abad ke-16. Aktiviti ini mengambil masa selama 2 jam setiap hari (kecuali Rabu) bermula 10 pagi hingga 5 petang.

Keesokan harinya, kami menyertai aktiviti memasak yang turut disediakan oleh pihak hotel. Kami cukup bertuah kerana dapat mempelajari ilmu masakan lokal Peranakan dan Kristang bersama Chef Selebriti, Melba Nunis. Masakan Kristang adalah masakan yang mengetengahkan masakan Melaka Portugis dan mengenali Chef Melba, dia juga seorang yang tekun, mempelajari ilmu masakan warisan semenjak turun temurun lagi menerusi ibu dan neneknya. Pada pagi itu, kami ke pasar basah bersama Chef Melba, pelbagai ilmu yang dikongsi ketika membeli bahan-bahan untuk kami memasak sekembalinya ke hotel. Menu yang kami masak pada hari itu adalah Soy Limang Terung dan Kari Debal. Usah risau, jika kamu tidak berpeluang menyertai aktiviti ini, singgah di Melba at The Mansion yang juga terletak di hotel klasik ini. Lebih daripada 40 hidangan masakan Kristang yang boleh kamu cuba dan ternyata ia tidak menghampakan.

Majestic Malacca

Melba at The Mansion untuk mencuba hidangan Kristang

Majestic Malacca

Kari Keluak, antara menu istimewa Chef Melba

Buat kamu yang kepenatan setelah berhari-hari menyelongkar Kota Melaka, jangan lupa singgah ke Spa Village milik hotel ini. Ia memberikan pengalaman yang tidak mungkin kamu lupakan. Diinspirasikan daripada rutin upacara 12 hari Perkahwinan masyarakat Peranakan, setiap tetamu yang berkunjung ke spa ini dapat menikmati rawatan pre spa seperti ritual rawatan rambut. Menggabungkan remedi tradisional masyarakat Cina dengan menggunakan bahan-bahan agung membantu tetamu kembali lebih segar daripada segi fizikal dan mental.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE