SEARCH

Sky51 Di EQ Lokasi Baharu Makan Malam Mewah Disaksikan Pencakar Langit Terbaik Dunia

Sky51 Di EQ Lokasi Baharu Makan Malam Mewah Disaksikan Pencakar Langit Terbaik Dunia

Hotel bertaraf 5 bintang terbaharu Kuala Lumpur, EQ rancak melakukan pengenalan kepada tetamu. Tambahan lagi, ia telah mendapat ranking nombor 1 di TripAdvisor sejak pembukaannya Mac lalu. Belum lagi berpengalaman menginap di hotel ini, tetapi saya diberi peluang antara media pertama yang melakukan reviu makanan di Sky51, restoran atas bumbung yang terletak di aras 51 bernama Sabayon.

Sabayon Beri Kejutan Rasa Eropah-Malaysia

Sabayon adalah restoran Eropah kontemporari dengan sentuhan artisanal Malaysia berderetan dengan Blue, sebuah bar dan ruang santai yang mempunyai kugiran pada waktu-waktu tertentu. Kedua-dua konsep ini adalah evolusi dua jenama yang sangat terkenal pada jenama terdahulu iaitu Hotel Equatorial, Chalet dan Blue Moon.

Lapan hidangan yang sempat saya rasa di Sabayon, masing-masing mencetuskan rasa yang pelbagai. Dari hidangan permulaan, keju-keju dari seluruh dunia dan Borneo, hidangan utama dengan daging itik, manisan dan coklat yang mempunyai perisa cendol, durian, jeli yang cuba sedaya upaya di fusion-kan ke cita rasa Malaysia. Semuanya disediakan oleh Cef Hans Boren yang mempunyai 20 tahun pengalaman Michelin star di Restaurant 28+ di Gothenburg, Sweden.

Bersaksikan bangunan pencakar langit Kuala Lumpur, pemandangan di Sabayon EQ Sky51 tidak dihalang oleh bangunan lain, sememangnya EQ menghadap mercu tanda ikonik KL iaitu KLCC, Menara Kuala Lumpur dan sebagainya. Jika kamu ke sini di waktu malam, jadilah insan yang begitu dekat dengan bintang-bintang untuk menggapainya. Sungguh kagum dengan cahaya lampu pada bangunan-bangunan sambil ditiup angin malam.

Lepak Santai Penuh Kelas Di Blue

Blue adalah tempat untuk bersantai, berborak kosong dan berhibur bersama teman. Suka saya sarankan, kamu harus mencuba menikmati apa saja koktel yang disediakan oleh ‘pereka air’ di sini. Mereka pasti mengejutkan kamu dengan kebijaksanaan mereka membuat air yang boleh saya katakan sebagai ‘sedap menggila’. Saya rasa minuman koktel yang mengandungi buah kiwi dengan campuran limau dan beberapa bahan lain, cukup mencetuskan rasa segar yang maksima.

Bosan dengan suhu penyaman udara di Blue, kamu boleh menikmati minuman kamu di kawasan terbuka melalui pintu keluar di Blue, kamu akan mendapati tangga lingkaran ke tingkat atas yang turut diletakkan beberapa meja dan kerusi untuk bersantai.

BLUE

Waktu operasi: 6 petang – 1 pagi (Isnin-Ahad)
Tempahan: Harus dibuat terlebih dahulu untuk dek atas.

SABAYON

Waktu operasi: 7 malam – 11 malam (Isnin-Sabtu, Ditutup pada cuti umum)
Tempahan: Diperlukan.

Tetamu boleh menghubungi +603 27897777 atau email dineateqkl@kul.equatorial.com untuk membuat tempahan. Segala maklumat lanjut, layari EQKUALALUMPUR.COM, atau lihat kemas kini di Facebook dan Instagram @eqkualalumpur

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE