SEARCH

Rumah Anak Yatim Dijilat Api, Cabaran Berat Syafiq Mobin Menjadi Sukarelawan Muda

Rumah Anak Yatim Dijilat Api, Cabaran Berat Syafiq Mobin Menjadi Sukarelawan Muda

Video: Jordi Harris
Grooming & Teks: Ryan Mohamad

Menelaah di jalur masa laman sosial Syafiq Mobin memberi saya inspirasi untuk turut berbakti kepada masyarakat. Saya dan Syafiq sudah lama berkenalan di alam maya tetapi tidak pernah menegur apatah lagi bertentang empat mata. Tertarik dengan kerja-kerja amal yang sering dikongsikan, gambar-gambar bersama golongan yang memerlukan cukup menyentuh hati dan menggambarkan betapa besar jiwa seorang Syafiq Mobin.

Kebaikan anak muda yang fasih dengan bahasa teknologi mengendalikan pusat kebajikan, digunakan sebagai platform untuk berkongsi kasih dan mengenali jerih perit golongan yang memerlukan. Selain menjadi salah seorang pengurus dalam Rumah Anak Yatim Raudhatul AlFaeez, latar belakang Syafiq diwarnai dengan program-program kebajikan serata dunia. Antaranya pernah ke Afrika selama dua bulan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, melalui Program Mycorps untuk sukarelawan antarabangsa. Syafiq juga terpilih untuk ke Amerika Syarikat selama 6 minggu di bawah Kerajaan Amerika mewakili Malaysia untuk inisiatif kepimpinan dalam bidang ni.

syafiq mobin
Program Mycorps di Afrika

 

Jerayawara ini tentang bagaimana Syafiq Mobin bergiat diri dalam program sukarela sehingga keperitan yang pernah dilalui bersama kumpulan pemimpin di rumah anak yatim tersebut. Namun Syafiq menyeru kita untuk saling berbahagi rezeki walau tak semestinya dengan wang ringgit asalkan dapat memberi sepalit kegembiraan di wajah mereka, sudah besar ertinya.

syafiq mobin
Program tajaan beriadah ke Lost World of Tambun

 

1. Apa yang Syafiq mahukan dalam membantu golongan susah?
Saya rasakan senyuman yang diukir pada wajah mereka saat saya memberi sudah cukup membuatkan saya gembira. Setiap detik kegembiraan yang mereka rai itu amatlah bermakna kerana tak selalu mereka dapat benda yang sama, tak selalu mereka dapat kemewahan yang kita ada. Dengan bantuan yang saya beri juga harapnya dapat mengubah kehidupan mereka dan daripada belenggu kemiskinan atau jika ada yang kelainan upaya, kita cuba bantu peluang dan ruang seperti pekerjaan dan sebagainya.

2. Pernah fikir untuk kembangkan lagi pusat anak yatim ini?
Memang pernah terfikir, tetapi masih tidak mampu memfokuskan lagi ke arah itu. Biarlah kualiti menjadi keutamaan daripada kuantiti dan tidak mampu terjaga. Tidak mudah untuk uruskan 30 orang yang ada sekarang. Bayangkan dari umur 2 hingga 18 tahun masing-masing punya kerenah. Mengenali mereka satu per satu bukan mudah juga, kami bukanlah pusat kebajikan yang meraih simpati malah kami ibarat satu keluarga. Sudah kami tanam di dalam dada mereka untuk saling menegur, belajar, mencontohi antara abang dan adik.

syafiq mobin
Kebakaran pada November 2018 yang memusnahkan segalanya

 

syafiq mobin
Program tajaan IlaoIlao

 

3. Cabaran paling sukar sepanjang penubuhan atau kekangan?
Kebakaran yang memusnahkan hampir 80 peratus Rumah Anak Yatim Raudhatul AlFaeez tahun lalu membuatkan kami sedang sedaya upaya mengumpul dana hasil kutipan rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin. Tabung yang dijalankan telah mengumpul sekitar RM400,000 untuk membina semula rumah ini daripada asasnya. Kini, pembinaan telah mencapai 60 peratus dan kami memerlukan lagi dana untuk melengkapkan pembinaan sehingga selesai dan selamat untuk didiami.

4. Bagaimanakah jika ada syarikat ingin berkolaborasi dengan pusat ini dan dalam bentuk apakah sumbangan diterima?
Tentunya kami mengalu-alukan pemberian daripada sesiapa pun tidak kira dari segi wang atau barangan. Saya sebagai Pengurus Kebajikan Rumah Anak Yatim Raudhatul AlFaeez. Alhamdulillah, sejak penubuhan rumah ini kami telah mendapat bantuan daripada banyak syarikat walaupun ia hanya sekali. Saya rasa jika ada lagi yang ingin bekerjasama seeloknya melalui program mampan untuk membiayai pembelajaran atau makanan anak-anak ini untuk beberapa tahun kehadapan. Boleh hubungi Syafiq ke nombor ini 012 3194964 untuk bantuan.

syafiq mobin

5. Bagaimana jika masyarakat ingin turut berbakti dalam program-program yang dianjurkan ?
Kehadiran masyarakat yang prihatin terhadap anak-anak yatim ini disapa baik dengan hati yang terbuka. Kepada semua masyarakat Malaysia tidak kira bangsa, agama, agensi dijemput datang di penempatan sementara kami di AU4 Keramat. Ada juga kumpulan pelajar universiti dan kompeni meminta untuk hadir dan membuat aktiviti bersama anak-anak ini. Saya ingin galakkan kepada golongan belia untuk hadir dan bermain dengan anak yatim ini dan buat mereka gembira daripada membazir masa membuat perkara yang tidak berfaedah.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE