SEARCH

Jurnal : Berambut Perm Selama Hampir 3 Bulan & It Grows On Me!

Jurnal : Berambut Perm Selama Hampir 3 Bulan & It Grows On Me!

Sepanjang hayat, tidak pernah terfikir oleh saya pun untuk berambut perm. Selama ini, saya sudah terlalu biasa dengan gaya rambut side parting, pompadour dan buzz cut. Malah pernah sekali itu, saya berambut cacak-cacak – pengaruh gaya rambut boyband zaman milenium. Tetapi berambut perm, berkerinting lebat…belum pernah lagi. Seperti yang saya nyatakan awal-awal tadi, tidak pernah terkandung dalam ingatan sekali pun, saya menggayakan rambut perm atau kerinting!

Sehinggalah saya mencecah usia 33 tahun ini. Bisik dalam hati saya, “Let’s just try perm. Go for it. See how it goes.” Pada mulanya, berdebar juga serasa sewaktu membotakkan kepala, kerana tidak tahu sama ada sesuai dengan diri atau tidak. Sedikit menyesal dahulu (setelah membotakkan kepala) kerana saya jangka kepala saya sesuai dengan gaya botak. Namun, bentuk kepala saya sepertikan kepala Pachycephalosaurus, jadi tak usah beranganlah nak botak.

Saya sebelum ini punya satu teori tentang lelaki yang gaya rambutnya perm atau keriting. Hanya wajah-wajah tertentu sahaja yang sesuai dan seandainya seorang lelaki berambut keriting, ia harus disaingi satu lagak cool. Dalam erti kata lain, jika berambut keriting, tetapi gayanya suka berkemeja ketat, berseluar slim fit, berkasut loafer dan menjinjit beg clutch… it’s a big no. Dia kenalah sesuaikan gaya rambut keriting itu dengan gaya street, sedikit sporty dan seumpamanya. Saya khuatirlah juga, “Let’s say if I go with perm hair, gaya-gaya saya sesuai ke dengan gaya rambut sebegitu rupa? Perlukah saya ubah penampilan diri, hanya semata-mata untuk berambut perm?”

Saya minta pendapat beberapa teman serta kenalan. Mereka bilang, “Why not?!” Terus saya menghubungi kenalan saya yang juga seorang hairstylist di Chez Hair Studio, Miedy Daniel. Sarannya kepada saya untuk cuba sahaja. Ia tidaklah sampai merosakkan terus rambut dan jika tidak berhasil juga, potong pendek sahaja. Kembali kepada gaya rambut normal saya.

Jadi, akhir bulan Ogos yang lepas, saya memutuskan untuk berambut perm atau keriting. Tambahan pula, minggu yang sama adalah Kuala Lumpur Fashion Week dan saya fikir inilah masa yang sesuai untuk ‘debut’ rambut baharu saya. Saya ke Chez Hair Studio dan seperti biasa, meminta Miedy untuk trim serta mendandan rambut saya.

berambut perm 3 bulan

Lazimnya, untuk mengeriting rambut, prosesnya sama sahaja buat lelaki – mencuci serta mensyampu rambut, memasang penggulung rambut, mencurahkan neutralizer dan seterusnya meletakkan mesin stim rambut di kepala selama lebih kurang setengah jam. Usai semua proses tersebut, saya mencuci serta mensyampu rambut sekali lagi. Miedy berpesan bahawa untuk rambut perm atau keriting (yang bukan natural seperti saya), seeloknya dibiarkan kering sendiri. Jangan keringkan secara kasar dengan tuala, kerana ia boleh meleraikan tekstur perm tersebut. Malah jika hendak mengeringkan rambut dengan menggunakan pengering rambut pun, sebaiknya pengering rambut yang kepalanya khusus untuk rambut volume dan frizz free curl.

Malah untuk menggayakan rambut perm yang bukan natural, saya digalakkan untuk menggunakan mousse atau apa-apa sahaja krim lembut dan bukannya wax.

MEMBIASAKAN DIRI BERAMBUT PERM

Bila saya menanya Miedy tentang daya ketahanan rambut perm, katanya ia mampu bertahan selama dua bulan lebih juga. Apatah lagi bila sudah dicurahkan krim neutralizer, jangkanya tidaklah terlalu singkat.

Setelah berambut perm atau keriting, banyak juga yang harus saya lakukan demi menjaga teksturnya. Selepas mandi (oleh kerana saya tidak mempunyai pengering rambut yang kepalanya untuk volume dan frizz free curl), saya lebih senang membiarkan rambut saya kering secara naturally. Terkadang saya akan balut dengan tuala – ala-ala turban – kemudiannya, menundukkan kepala supaya rambut perm itu jatuh. Saya mengeringkan tekstur rambut itu perlahan-lahan untuk tidak meleraikannya.

Seelok-eloknya, saya membiarkan rambut begitu sahaja dan tanpa meletakkan apa-apa dalam lebih kurang sepuluh ke 15 minit. Selepas itu, saya akan melakukan tiga langkah utama, seperti mana yang dicadangkan oleh Miedy yakni : menyapu serum rambut, mousse rambut atau apa-apa sahaja krim lembut dan kembali menyapu serum rambut yang sama awal-awal tadi. Mengapa perlunya menyapu serum rambut yang sama dua kali adalah untuk memastikan tekstur perm atau keriting untuk kelihatan tidak terlalu kering. Bila ditambah lagi dengan mousse rambut, teksturnya lebih jelas.

Ramai juga yang terkejut dengan perubahan gaya rambut saya. Ada yang suka dan ada yang kurang gemar. Bila ditanya adakah saya suka rambut perm, sejujurnya saya suka! Tidak menyesal pun. Kerana kelainan yang ditonjolkan, malah dengan gaya rambut sebegini, ia membenarkan saya untuk tidak menyempadani diri dari aspek penampilan. Gaya rambut perm ini disesuaikan dengan penggayaan sut, pemakaian ala-ala high street dan macam-macam lagi. And it works well.

Sungguhpun agak ‘renyah’ sedikit dalam bab menjaga teksturnya, namun ia hanya memerlukan sedikit disiplin sahaja. Terutama sekali setelah seharian, lebih baik mandi di malam hari, cuci dan syampu rambut perm tersebut. Seterusnya, letakkan krim pewangi bagi memastikan ia senantiasa harum dan biarkan semalaman. Keesokan harinya, selepas mandi, lakukan saja proses seperti yang dijelaskan di atas tadi.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE