SEARCH

5 Cara Tradisional Mencantikkan Kuku Tanpa Perlu Pergi Spa

5 Cara Tradisional Mencantikkan Kuku Tanpa Perlu Pergi Spa

Jangan ingat rambut, wajah dan tubuh sahaja yang penting untuk kamu jaga, penampilan kuku juga penting. Berjabat tangan, bercerita dengan teman-teman, tangan antara bahagian yang paling banyak tunjuk pergerakan. Bayangkan jika kamu tidak menjaga kebersihan tangan terutama sekali bahagian kuku, apakah reaksi orang di sekeliling kamu agaknya kan? Kebersihan kuku tidak bermakna kamu harus berkunjung ke spa untuk mendapatkan rawatan bersih atau warna kuku semata-mata, kamu juga boleh mencantikkan kuku kamu itu tanpa perlu pergi ke spa pun! Kami kongsi 5 cara tradisional mencantikkan kuku ini.

1- Jus Lemon

Jus ini membantu mencerahkan lagi permukaan kuku kamu serta dapat menghilangkan kesan-kesan kotor degil. Bukan itu sahaja, buah lemon ini juga memiliki manfaat vitamin C yang boleh membantu pertumbuhan kuku yang kuat. Lakukan rutin ini dua kali seminggu, hanya sapukan pada permukaan setiap kuku dan biarkan ia kering sendiri. Selepas itu, letakkan krim pelembap untuk memberi lembapan yang optimum pada bahagian kuku tadi.

2- Bawang putih

Jika kamu hendak tahu, bawang putih ini kaya dengan selenium. Selenium ini membantu mempertingkatkan pertumbuhan kuku kamu. Apa yang kamu boleh buat dengan bawah putih ini ialah sama ada dengan menggosoknya terus pada kuku kamu, atau kamu boleh mencipta minyak bawang putih ini dan dijadikan pupur buat kuku. Cara untuk menghasilkan minyak bawang putih ini adalah dengan mencincang halus bawang putih kemudian dipanaskan di atas kuali selama 10 minit bersama adunan minyak zaitun. Pastikan bahan yang dipanas tidak menghasilkan buih atau asap ya. Selamat mencuba!

3- Madu

Banyak khasiat madu ini. Antaranya, ia dapat merawat masalah bakteria pada kuku juga memastikan bahagian kuku dan kutikel bersih dan lembut. Untuk menghasilkan pupur terbaik buat kuku kamu ini, kami cadangkan kamu adun madu bersama beberapa titik jus lemon kemudian sapu dan urutkan pada kuku kamu. Biarkan 15 hingga 20 minit dan kemudian bilas. Kuku akan kelihatan lebih cerah, lembut dan kuat.

4- Cuka epal

Ia memiliki manfaat anti-kulat dan baik untuk digunakan pada bahagian kuku kamu terutamanya yang telah terkena jangkitan atau pada bahagian yang rosak. Cuka epal juga adalah bahan yang cukup berasid, maka ia amat berkesan meneutralkan persekitaran alkali yang mana menggalakkan lagi pertumbuhan kulat ini. Caranya mudah, rendamkan kuku kaki atau tangan bersama campuran cuka epal dan air suam. Kemudian biarkan selama 20 minit sebelum di lap dengan tuala bersih.

5- Minyak kelapa

Minyak kelapa juga banyak khasiatnya. Ia mampu membuatkan kuku kekal terhidrat, selain memperkuatkan lagi kuku kamu itu. Selain itu, minyak kelapa ini ada manfaat anti-kulat yang berfungsi merawat kuku-kuku rosak. Apa yang kamu boleh buat ialah, panaskan minyak kelapa selama 20 saat di dalam ketuhar gelombang mikro kamu di rumah, kemudian sapukan minyak suam ini ke bahagian kutikel kuku sebelum tidur. Lebih elok, sarungkan sarung tangan nipis untuk melindung kuku yang sudah dirawat itu sepanjang malam ketika tidur.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE