SEARCH

Bual Santai Eksklusif bersama Marco Castro, Jurusolek Profesional NARS Tentang Inspirasinya Untuk Pentas PaYaHui

Bual Santai Eksklusif bersama Marco Castro, Jurusolek Profesional NARS Tentang Inspirasinya Untuk Pentas PaYaHui

Mercedes-Benz Fashion Week Kuala Lumpur (MBFWKL) berlangsung baru-baru ini di Chin Woo Stadium. Menampilkan beberapa nama besar antaranya Julien Macdonald dan Francis Libiran serta ramai lagi, kami begitu teruja sekali untuk menonton acara penting ini. Bukan itu sahaja, saya juga berpeluang untuk ke belakang pentas bersama salah seorang jurusolek professional khas yang telah diterbangkan khas oleh kumpulan Nars dari New York iaitu Marco Castro, yang bertanggungjawab mengetuai team mekap untuk menghasilkan look buat beberapa rumah fesyen. Selain sering berkolaboraasi bersama majalah-majalah, kempen rumah fesyen serta jurufoto tersohor, Marco pernah berkerjasama bersama nama-nama besar seperti Bella Hadid, Penelope Cruz, Naomi Campbell dan ramai lagi. Tentunya dia amat berpengaruh di dalam industri kecantikan. Jom ikuti temu bual eksklusif kami bersama Marco serta inspirasinya dalam menghasilkan look mekap untuk pentas PaYaHui di MBFWKL ini.

Marco Castro

1- Bolehkah kamu kongsikan konsep solekan yang kamu lakukan untuk pentas PaYaHui ini?

Saya melihat koleksinya lebih berkonsepkan seperti gadis daripada masa depan, dan kebanyakan pilihan warna yang digunakan dalam busananya adalah hitam dan kelabu serta mainan cetakan yang mencerminkan perekanya. Jadi, idea saya tercetus setelah melihat kesinambungan ini. Saya mahu mencipta sesuatu yang simple, moden dan masih sofistikated. Saya pilih untuk menggunakan pembayang mata jenis krim rona kelabu, kemudian kulit wajah dibiar mulus. Ia nampak seperti berkonsepkan futuristik tetapi masih mengekalkan elemen chic di dalam look keseluruhan.

Marco Castro

2- Apakah antara trend solekan yang boleh kami jangkakan daripada pentas ini?

Saya rasa trend solekan mata smoky yang moden. Seperti yang saya lakukan untuk pentas koleksi PaYaHui ini. Mereka mempersembahkan koleksi musim luruh dan saya rasakan solekan ini amat sesuai sekali. Ia nampak moden dan bukan solekan smoky yang tipikal.

3- Boleh kongsikan produk Nars yang telah kamu gunakan untuk pertunjukan pentas ini?

Saya gunakan produk seperti Radiant Creamy Concealer, beberapa Dual-Intensity Eyeshadow bersama Transvaal Eye Paint. Ini adalah bagi memberi efek solekan mata yang bersepah dan tidak berstruktur.

4- Apakah mainan rona yang menjadi pilihan dan kegemaran kamu buat masa kini?

Saya sebenarnya sudah lama mahu menggunakan rona hijau tetapi masih belum jumpa momen yang sesuai untuk menggunakannya. Saya sememangnya obses dengan rona ini. Pembayang mata hijau, pensel mata hijau, maskara rona hijau…

5- Bagaimana pula rahsia dan tip kamu dalam mencapai kulit wajah bersinar dan mulus menggunakan produk Nars?

Kunci utama kepada kulit bersinar yang sihat adalah bermula dengan cara kamu prep kulit wajah. Memang penggunaan bedak asas dan produk highlight wajah yang betul adalah sangat penting. Akan tetapi, perkara pertama sekali yang perlu kamu ambil berat adalah cara kamu menjaga kulit wajah. Minum air banyak, lakukan rutin exfoliate kulit wajah serta gunakan produk penjagaan wajah seperti pelembap yang betul. Rangkaian penjagaan wajah daripada Nars yang menjadi kegemaran saya sudah tentu Nars Double Refining Exfoliator. Ia membantu menyah sel kulit mati pada permukaan kulit wajah saya. Selain itu, saya turut gunakan Nars Aqua Gel Luminous Mask. Pupur ini memiliki 75 peratus kuantiti air di dalamnya.

Marco Castro

6- Boleh kamu kongsikan trend solekan kegemaran kamu?

Saya tidak memiliki sebarang kegemaran. Tapi apa yang boleh saya katakan, saya obses dengan mata. Seperti solekan bibir merah, kita semua tahu, ia seksi dan klasik. Namun itu adalah sesuatu yang mudah untuk kamu lakukan. Pada saya, mata sesuatu yang tidak mudah. Ada sesuatu tentang solekan mata yang saya suka. Mata ini mencerminkan personaliti seseorang.

7- Bagaimana pula dengan trend solekan yang kamu tidak suka?

Over contouring. Pada saya ia sudah terlalu jauh tersasar. Apabila menonton video-video tutorial seperti ini, ia seolah-olah memberi satu persepsi baru buat golongan wanita yang ingin mengenali apa itu mekap. Mereka ini mungkin akan percaya itulah cara sebenar untuk mencapai solekan kontur wajah terbaik. Padahal salah. It’s crazy. Ia sangat mengelirukan. Sebenarnya, kamu tidak perlukan terlalu banyak produk pun untuk mencipta ilusi kontur wajah yang sempurna.

8- Apa mantra solekan kamu?

Mekap mampu menaikkan mood kamu. Bila kamu merasa rendah diri mahupun dalam keadaan yang selesa. Mekap boleh menceriakan hidup kamu. Pada saya itu adalah magis yang terdapat dalam solekan. Jika kamu ada produk yang betul dan tahu di mana hendak kamu oleskan pada wajah dengan betul, itu sahaja sudah boleh merubah hari kamu. Oh ya, keep it as simple as possible. Juga, jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Jangan gentar untuk ke kaunter solekan, takut pula nanti mata kamu dicontengnya rona yang kamu tidak gemar. Give it a try. Jangan risau, ia semua bersifat sementara, you can take it off.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE