SEARCH

Tip Terbaik Buat Kamu Yang Mahu Mekap Sendiri di Hari Perkahwinan

Tip Terbaik Buat Kamu Yang Mahu Mekap Sendiri di Hari Perkahwinan

Semakin dekat hujung tahun ini semakin banyak lah nanti jemputan perkahwinan yang akan berkunjung. Dan mungkin ada antara kamu yang kini sedang lagi sibuk mengatur itu dan ini di saat-saat akhir ini sebelum hari paling bahagia kamu itu tiba. Jika bukan hari perkahwinan, mungkin juga hari pertunangan kamu. Dan pasti ada antara kamu yang sedang lagi mengira-ngira bajet untuk hari besar kamu ini. Buat kamu yang mungkin mahu berjimat dan masih terfikir-fikir untuk mengambil jurusolek atau tidak, jika kamu pandai bersolek sendiri, apa salahnya! Cuma di sini saya ingin kongsikan beberapa tip terbaik buat kamu yang mahu mekap sendiri di hari perkahwinan kamu itu nanti.

Mula menitik-beratkan soal penjagaan kulit wajah. Jika kamu mahukan solekan yang mulus dan tahan lama, prep kulit wajah dengan sebaiknya. Bukan saat hari perkahwinan kamu sahaja, malah kamu sudah patut mula menjaga kulit wajah dengan baik sebulan lebih awal. Kamu harus berdisiplin menjaga kulit. Elakkan tidur dengan solekan di wajah, pastikan tidur yang cukup serta berdisiplin dalam melakukan rutin penjagaan wajah. Jika ada masa, kunjunglah ke klinik estetika atau spa pilihan kamu untuk belaian facial!

Dan di hari berbahagia kamu itu nanti, pastikan malam sebelum itu, kamu cuba untuk mendapatkan tidur yang secukupnya. Elakkan tekanan yang melampau serta amalkan minum air putih dengan banyak. Ia secara tidak langsung membantu kulit kamu tampak lebih sihat dan berseri dari dalam. Oh ya, pastikan sebelum kamu mula bersolek, pilih primer wajah yang memiliki manfaat pelembap. Ia mampu membuatkan solekan wajah tampak lebih berseri dan cantik sepanjang hari.

Mekap Sendiri di Hari Perkahwinan

Baik di akad nikah, majlis bersanding atau bertunang, seeloknya kamu layangkan maskara jenis kalis air. Jangan ingat perkara ini remeh! Sekental manapun hati, kalau sudah berpelukan bersama ibu bapa, siapa yang tidak sedih. Pasti akan melerai juga air mata itu. Bayangkan jika kamu tidak menyarung maskara kalis air, habis rosak solekan kamu itu.

Jangan bersolek melampau seperti hendak ke majlis makan malam syarikat! Banyak yang saya lihat pengantin perempuannya memilih solekan ala barbie doll lah, smoky eyes yang terlampau beratlah, macam-macam lagi. Ramai jurusolek profesional kita yang tidak setuju dengan solekan ini. Memandangkan ini hari bahagia kamu, buat wajah kamu nampak cantik dan manis. Solekan berat ini hanya akan buat kamu nampak menakutkan sahaja. Jika kamu mahu sarung bibir merah, bahagian wajah lain jangan sama bold. Beri keseimbangan dalam solekan kamu.

Elak sarung pelindung sinar. Ini satu lagi tip yang kamu tidak harus abaikan. Jika kamu harus pilih satu hari tanpa pelindung sinar, hari perkahwinan kamulah jawapannya. Bak kata jurusolek profesional Bobbi Brown, Zara Findlay yang memberitahu Glamour,

“Memakai bedak asas tanpa kandungan SPF atau menyarung pelindung sinar tidak lebih daripada SPF15 mampu mengelakkan solekan wajah menjadi terlebih putih akibat kesan flashback ketika mengambil gambar. Pastikan sebarang produk penjagaan wajah kamu juga tidak memiliki sebarang SPF.”

Akhir sekali, latih diri dengan kerap sebelum kamu melakar solekan di hari penting kamu ini. Ini kerana setiap kali kamu melatih diri, mungkin kamu akan senantiasa memperbaharui serta mempelajari secara tidak langsung teknik mekap yang lebih baharu. Jika ada masa, rajinkan diri untuk berkunjung ke mekap kaunter untuk mencuba pelbagai teknik solekan atau tonton video tutorial di Youtube. Yang penting, jangan di hari persandingan nanti baru hendak menentukan solekan apa yang hendak kamu sarung. Itu bagai mimpi ngeri ya.

Selamat mencuba kepada semua bakal-bakal pengantin!

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE