SEARCH

Kami Cuba Pupur Muka Terbaru Innisfree Jeju Volcanic Color Clay Mask dan Dr. Jart+ Rubber Mask Firm Lover, Ini hasilnya…

Kami Cuba Pupur Muka Terbaru Innisfree Jeju Volcanic Color Clay Mask dan Dr. Jart+ Rubber Mask Firm Lover, Ini hasilnya…

Seperti biasa, kamu juga sudah tahu saya sememangnya peminat setia pupur muka. Malah dalam seminggu, saya pasti melakukan rutin ini sekurang-kurangnya tiga kali. Ini kerana kulit saya yang sering terdedah kepada pencemaran luar dan memerlukan saya merawat, membersih serta mengembalikan keserian kulit wajah saya ini. Istimewanya kali ini, saya turut mengundang Editor Fesyen STAIL.MY, Ardi Idewani, bersama-bersama mencuba dua jenis pupur dan menguji rahsia keberkesanannya.

Mungkin ada di luar sana yang belum mencuba pupur terbaru daripada Innisfree ini iaitu Innisfree Jeju Volcanic Color Clay Mask kerana ternyata masih baru sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia. Manakala, buat pupur Rubber Mask daripada Dr. Jart+ yang dicuba Ardi ini sudahpun berada di pasaran sejak beberapa bulan lalu, namun kami masih belum punya peluang untuk mencuba pupur getah ini.

Tentang Pupur Muka Ini…

Innisfree Jeju Volcanic Color Mask RM39/satu terdiri daripada 7 jenis warna yang melambangkan 7 jenis rawatan yang berbeza-beza mengikut kondisi kulit kamu. Kesemua pupur ini mengandungi satu bahan yang sama iaitu Jeju Volcanic Scoria sejenis batu yang diperbuat daripada lava yang telah sejuk selepas letusan gunung berapi. Sesuai untuk semua jenis kulit terutama untuk yang kulit berminyak. Selain itu pupur jenis tanah liat ini juga memiliki beberapa jenis tekstur yang berbeza iaitu gel air, krim dan juga tanah liat. Yang menariknya lagi, pupur-pupur ini boleh disapu sebanyak mana yang kita mahukan. Oleh kerana itu, pupur ini digelar multi-masking.

Ketujuh-tujuh pupur ini memiliki fungsi yang berbeza:-

  1. Kuning (Pencerahan) membantu mengawal penghasilan sebum dan seterusnya mencerahkan lagi kulit. Selain itu ia turut mengandungi Vitamin C yang berfungsi mencerah serta menyerikan lagi kulit wajah. Pupur ini bertekstur gel air.
  2. Merah Jambu (Menguatkan Kulit) membantu merawat kulit yang kusam dan mengembalikan keserian kulit wajah. Ekstrak biji buah delima adalah antara bahan utama di dalam pupur ini jenis gel air ini.
  3. Biru (Penghidratan) berfungsi memberi lembapan pada kulit selain turut mengawal penghasilan sebum berlebihan. Ia turut memiliki ekstrak asid Hyaluronik yang membantu menyeimbangkan kadar lembapan dan minyak yang terkandung dalam kulit wajah. Pupur ini turut memiliki tekstur jenis gel air.
  4. Hijau (Cica) berfungsi untuk menyembuh kulit yang mengalami kesan-kesan cela. Ia mengandungi ekstrak madecassoside iaitu sejenis tumbuhan yang mampu merawat bahagian kulit yang rosak. Pupur ini hadir dalam tekstur krim lembut.
  5. Ungu (Menenangkan) memiliki fungsi dalam mengawal penghasilan minyak berlebihan pada wajah serta membantu memberi efek yang menenangkan pada kulit yang sensitif selepas terdedah kepada faktor yang menyebabkan keredangan kulit. Pupur ini juga memiliki tekstur krim lembut.
  6. Hitam (Membersih) Mengandungi bahan seperti lumpur di dalam pupur ini membantu merawat kerosakan kulit serta menyahkan sel kulit mati agar kulit wajah lebih bersih dan bebas cela. Pupur ini memiliki tekstur jenis tanah liat.
  7. Putih (Penapisan) Ia membantu melembutkan lagi permukaan kulit wajah serta mengawal penghasilan sebum. Pupur ini turut mengandungi bahan ekstrak garam laut dan membantu merawat permukaan kulit yang kasar. Pupur ini juga memiliki tekstur jenis tanah liat.

Manakala pupur yang dicuba Ardi iaitu Dr. Jart+ Firm Lover Rubber Mask (RM52) ini pula juga antara pupur yang saya suka. Malah saya turut sarankan buat setiap wanita dan juga lelaki di luar sana untuk memiliki satu pupur yang mempunyai manfaat menegang kulit wajah. Tidak semestinya kulit wajah yang kendur itu berpunca daripada faktor usia semata-mata. Gaya hidup seseorang itu turut memainkan peranan penting pada struktur kulit wajah.

Pupur ini sesuai buat semua jenis kulit. Ia memberikan manfaat penyejukan pada kulit wajah dan pada masa yang sama membantu menegang serta memberi hasil wajah yang lebih berkontur dan berdefinisi. Sesuai buat mereka yang memiliki garis halus pada wajah, serta mereka yang memiliki kulit yang kendur.

Ia memiliki dua langkah dalam mengaplikasikan pupur ini. Langkah pertama adalah dengan menyapu ampul yang telah disediakan pada keseluruhan wajah dan kemudian barulah mengaplikasikan pupur getah ini tadi. Fungsi pupur jenis getah ini adalah untuk membantu penyerapan esen tadi jauh lebih dalam serta mampu menegangkan lagi kulit wajah. Pupur getah ini diperbuat daripada ekstrak algae serta kalsium yang membantu menenangkan lagi kulit wajah. selain itu, ia turut mengandungi bahan yang memberi lembapan pada kulit wajah.

Hasilnya…

Apa yang boleh saya katakan tentang pupur yang saya cuba daripada Innisfree ini, ia sedikit sebanyak menampakkan perubahan pada kulit saya. Kulit lebih lembut serta lebih cerah berbanding sebelumnya. Ia juga meninggalkan kesan permukaan kulit yang lebih selesa dan segar.

Manakala buat Ardi, dia ternyata amat berpuas hati dengan hasil daripada pupur ini. Kulitnya lebih lembap dan merasakan kulit lebih tegang serta-merta selepas memakai pupur ini. Namun satu kekurangan yang terdapat pada pupur ini adalah ia cepat terkoyak. Maka, kamu harus berhati-hati saat mengaplikasikan pupur ini pada wajah.

Bagi kami, kedua-dua pupur ini memberi manfaat yang tersendiri, ternyata kami berpuas hati dengan hasilnya. Mungkin kamu juga patut mencubanya sendiri dan rasai pengalaman memakai pupur jenis tanah liat serta getah ini! Buat yang masih tidak pasti ingin mendapatkan pupur ini atau tidak, jom tonton video kami di bawah.

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE